Pages

Saturday, 10 December 2011

Celaka

Astaghfirullahal 'azim.

Ya Allah, sesungguhnya aku sangat jarang mensyukuri segala nikmat kebaikan yang telah Engkau berikan kepadaku. Ternyata masih tebal debu-debu jahiliyyah pada wajah ini yang selayaknya ditabur tanah. Aku khuatir, jika usaha yang aku lakukan ini hanyalah sebuah drama boneka yang dimainkan si penghibur demi mencari keredhaan manusia di atas nama ketuhanan.

Tatkala aku mencipta mahligai di dunia, apakah mahligai akhiratku telah lama runtuh kerana dibangunkan dengan batu-bata dari lembah kepura-puraan?

Sungguh ikhlas dan riak itu bermain di antara dua tali yang nipis. Dikala aku sedang leka memintalnya, tali itu terputus dan jariku terluka dengan halusnya gesekan kemunafikan.

Wahai hati yang rapuh, mengapakah engkau meminta-minta secara memaksa dan menjatuhkan semangat dirimu seolah-olah Allah tidak pernah memberimu apa-apa kebaikan? Celakalah kamu, celakalah.

Sungguh aku hina. Aku tidak layak beroleh hadiah indah kerana aku hanyalah manusia yang tamak luaran tetapi hatinya pengecut untuk merembat segala kebenaran dan kepastian. Mengapa aku tidak menyalahkan diri sendiri sebagaimana terlihat salahnya hati aku bangkit menyambut deruan itu? Tatkala mereka melangkah pergi dahulu, apakah aku layak mengharapkan panggilan yang sama?

Celakalah kamu, celakalah.

Ya Allah, Engkau lebih mengetahui apa yang selayaknya buat diriku yang hina ini. Hanya kepada-Mu aku berharap, hanya kepada-Mu aku sembah dan hanya kepada-Mu aku memohon pertolongan.
 

Wednesday, 16 November 2011

Action wa Reaction

"That man plays with pig."

Dalam hidup, kadang-kadang kita bertemu dengan falsafah dan teori yang aneh dan lucu tetapi benar. Contohnya, sunnatullah yang berjaya diinterpretasikan oleh Newton sebagai hukum gerakan ketiga Newton (Newton's 3rd Law of Motion). Hukum ketiga Newton menyebut bahawa bagi setiap daya yang dikenakan, terdapat satu daya yang sama bertindak ke atasnya di arah yang bertentangan.

Sebagai contoh, apabila kita ingin melompat keluar daripada sampan ke tebing, kita menyedari bahawa sampan itu akan bergerak ke arah bertentangan dengan tebing. Susah nak lompat kan? Dan jika kita memakai kasut roda dan menolak seseorang, kita pun merasakan suatu daya ke atas diri kita lalu kita tertolak ke belakang. Ini dinamakan sebagai action dan reaction.

Dan saya selalu membuat ayat-ayat lucu mengenai Newton's 3rd Law of Motion seperti:
Buah epal jatuh di atas kepala Isaac Newton. Kepala Isaac Newton jatuh di atas buah epal.
Kakinya menyepak punggung kucing. Punggung kucing menyepak kakinya.
Tangannya menepuk-nepuk lantai. Lantai menepuk-nepuk tangannya.
Saya bersandar pada tunggul. Tunggul bersandar pada saya.
Saya berdiri di atas padang. Padang berdiri di atas saya.
Tangan kamu menampar pipi saya!?! Pipi saya menampar tangan kamu!!

Dengan itu tercapailah equilibrium (keseimbangan) yakni net force equals to zero. Anda boleh duduk dengan statik (atau bergerak dengan dinamik) tanpa ada risiko disedut oleh graviti lalu terperosok ke dalam mantel bumi :D

Action Reaction Rohani

Dan sebagai seorang muslim, kita sepatutnya melihat perkara ini dengan lebih halus dan mendalam. Kita sepatutnya menyedari, setiap tindak tanduk atau lintasan hati sekalipun, adalah daya-daya yang sedang keluar dari jasad kita. Maka, menurut hukum sunnatullah melalui Newton tadi, daya akan dibalas dengan daya yang sama kuat.

Kebencian akan dibalas dengan kebencian.
Prasangka akan dibalas prasangka.
Manakala cinta pastinya akan dibalas dengan cinta.
Atau selainnya, kebinasaan akan berlaku kerana tiada keseimbangan. Seperti binasanya Abu Lahab kerana cinta Rasulullah saw. yang diberi kepadanya dibalas pula dengan kebencian.

Sahabatku,
Jangan takut untuk memberikan cinta kerana menurut ketetapan action reaction tadi,

Saat kamu mencintainya, dia mencintaimu!

Maka, jangan takut mencintai mad'u mu kerana keikhlasan itu tidak akan dibalas melainkan dengan kecintaan. Jika mad'u itu menolak cintamu, pasti akan datang cinta dari mad'u yang lain kerana daya cinta itu perlu ada action reactionnya.

Action reaction juga ada disebut dalam al-Quran,

“Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (an-Nur :26)

Dan ketika kita memberi dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan, sebenarnya akan dibalas juga dengan suatu daya lain yang seimbang dengannya berupa ketenangan, kebahagiaan dan sebagainya. Dari sudut yang lain, prasangka akan dibalas kembali dengan prasangka. Jika kamu membenci seseorang, kebencian itu akan kembali kepadamu. Kemudian, ia boleh membawa kebinasaan seperti yang disebutkan dalam al-Quran,


Matilah kamu kerana kemarahanmu itu!! (Ali-Imran: 119)

Ternyata manusia bisa mati kerana kemarahannya sendiri. Kemarahannya berbalik kepada jiwanya sendiri.


Tabayyun


Bersangka baiklah (husnu dzon) terhadap saudaramu. Dalam surah al-Hujurat, Allah menyuruh manusia mendamaikan antara dua pihak yang bertelagah. Dan dalam surah yang sama, Allah memerintahkan kita agar meneliti (tabayyun) dahulu berita-berita yang diterima. Bererti mendengar daripada semua pihak.

Dan selagi mana kita benar-benar ikhlas, Allah tidak akan membiarkan diri kita larut di dalam fitnah orang-orang yang fasik. Tegasnya diri kita terhadap berita-berita yang tidak diketahui kebenarannya (dari kedua-dua belah pihak) perlu seperti tegasnya Abu Ayub al-Ansori apabila isterinya membawa cerita Aisyah ra. difitnah bersama Sofwan;

"Aisyah ra. jauh lebih baik daripada kamu!"

Para ulama' termasuk Imam Shafie rahimahullah juga mengakui yang boleh jadi ia benar, boleh jadi ia salah. Itu ulama' agung, lalu kita sesempurna mana?

Dalam zaman yang semakin berkembang ini, ijtihad memainkan peranan yang sangat penting. Dan dalam pemilihan jalan-jalan yang tidak jelas, barangkali terdapat khilaf dalam menentukan yang mana benar dan yang mana salah. Namun, tidakkah kita tahu, ijtihad itu ada pahalanya walaupun ia salah?

Itukan jauh lebih baik daripada menggunjing kerana tentu-tentu sahaja ada dosanya meskipun ia betul! Maka telitilah. Fatabayyun! Dan jauhilah prasangka kerana kebanyakan prasangka itu dosa!

Apabila ada yang berkata, "I play with pig," atau "I am pigging,", telitilah dan bersangka baiklah kerana mungkin ia maksudkan PIG (Pipeline Inspection Gadget) dalam konteks pipeline. Adakah anda telah husnu dzon?

 Mungkin saya yang su'u dzon terhadap kamu yang husnu dzon :P

Monday, 10 October 2011

Keperitan Untuk Kenikmatan



Sesungguhnya dunia itu menyakitkan. Itulah sebabnya orang-orang yang soleh sejak zaman dahulu begitu merindui akhirat. Alam yang kekal sejahtera selamanya. Selamanya itu bermaksud tiada penghujung kerana semua makhluk termasuk masa telah 'expired'.

"Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui." (29:64)

Aku begitu terkesan dengan kisah Uwais al-Qarni ra., seorang pemuda yang tidak mahu dikenali di bumi tetapi terkenal di kalangan penduduk langit. Sehingga Allah sendiri mewahyukan kepada Rasulullah s.a.w. akan khabar kedatangan Uwais ke Mekah semasa ketiadaan Baginda. Setelah Rasulullah s.a.w. wafat, para sahabat menanti kedatangannya untuk mendapatkan doanya seperti yang disarankan Baginda. Setelah uwais meninggal dunia, para penghuni langit datang berbondong-bondong mengiringi jenazahnya dan ketika itu barulah penduduk kampungnya gempar - siapa sebenarnya Uwais al-Qarni ini sehingga begitu ramai 'orang asing' datang mengiringinya?

Subhanallah. Itulah kisah seorang lelaki yang bersusah-susah untuk dapat bertemu dengan Rasulullah s.a.w., juga lelaki yang sangat memuliakan ibunya, lelaki yang mengorbankan harta dan jiwanya demi Allah dan Rasulnya, lelaki yang paling tidak dikenali manusia tetapi paling 'popular' di kalangan malaikat.


Kita dapat membayangkan kesakitan yang dihadapi Uwais al-Qarni r.a. semasa hayatnya. Antaranya deritanya merindui untuk bertemu Rasulullah s.a.w, peritnya memikirkan ibunya semasa pemusafirannya, kecewa dan patah hatinya tidak dapat bertemu Rasul walaupun dari jauh ia datang serta sakit dalam jiwanya kerana terpaksa pulang dengan segera demi cinta dan janji kepada ibunya yang sakit. Kesakitan di atas kesakitan di dunia.

Aku membayangkan betapa bahagianya Uwais al-Qarni pada ketika ini bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dengan kemuliaan daripada Allah dan para malaikat. Mereka tidak mendapat peluang bertemu di dunia ini, tetapi dihadiahkan pertemuan di tempat yang gilang-gemilang suasananya.

Kita telah menemui banyak formula dan teori mengenai alam. Kebanyakannya teori sains tulen. Allah pula telah mengajarkan kepada kita tentang formula-formula kehidupan di dalam Al-Quran.

"Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan. Maka ditekankan lagi sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan!"

Orang kita pun selalu sebut, "Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian."

Kita ini juga ditimpa kesakitan saban hari. Ada yang sakit diuji dengan luka fizikal, ada yang sakit diuji dengan masa yang cepat, ada yang sakit untuk sabar menjadi orang asing di tempat baru, ada sakit menahan cinta dan rindu, ada yang sakit menyesal apabila tergelincir kerana kesilapan, sakit kehilangan, sakit berpenat lelah berusaha, sakit dalam usaha berlapang dada, sakit untuk bertahan supaya tidak tidur, sakit dalam berharap. Semuanya sakit.

Bertabahlah! Kerana sakit-sakit ini tidak akan wujud lagi di dalam syurga. Tidak wujud lagi luka, masa, sabar, suruhan menahan, sesalan, kesilapan, kehilangan, penat atau suruhan berusaha. Yang ada hanyalah kenikmatan!

Maka jika anda mengalami perih dan sakit di dunia ini, maka anda selangkah menuju ke arah lumrah kehidupan beragama. Jika kesakitan itu kesakitan yang benar, yakni sakit dan terluka kerana Allah, maka anda selangkah mendapatkan janji-janji Allah.

Lalu, sedarlah bahawa keperitan itu suatu kenikmatan!

Ya Allah, kurniakanlah kami kesabaran dengan kesabaran yang baik.

p.s. Asyik terkenang seorang ukhti yang aku rindui. Ukhti, jika aku tidak dapat menjengukmu... ketahuilah bahawa keperitanmu itu dicatat oleh Allah sebagai suatu kenikmatan jika kita redha dengan sebenar-benarnya. Semoga kamu beroleh kesembuhan dan kekuatan serta kecintaan daripada Allah. (update: Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Moga Allah rahmati ruhmu)

Sunday, 18 September 2011

Jurutera Bersenandung

Bismillahirrahmanirrahim.


Updates.

Alhamdulillah. Aku telah menjejakkan kaki ke alam pekerjaan -yang sekali lagi, menghidangkan babak ala-ala novel dalam kehidupan aku. Aku pernah begitu ingin sekali memiliki kehidupan sebegitu suatu masa dahulu. Namun, babak yang agak menarik ini telah aku tandakan sebagai satu noktah sepi di atas sebuah dinding putih yang besar.

Letakkan aturan hidup mengikut aturan keperluan orang lain. Jika keperluan itu menginginkannya berada jauh dari kesenangan demi orang lain, maka aturan persoalan pekerjaannya apa, tempat tinggalnya mana, suasana sekelilingnya bagaimana, temannya siapa, perlu diatur sebegitu.

Pergh! Kalaulah ia semudah yang disebut. Medan berfikir lebih luas daripada medan bicara. Medan bicara lebih luas daripada medan amal.

Aku khuatir, jika cita-cita yang aku panjatkan ini terjatuh ke dalam harapan senda gurau dan materialistik. Mungkinkah benar aku berasa takut jika tidak menjadi jurutera, aku akan menjadi fitnah kepada agama ini? Atau sebenarnya mungkinkah hanya kerana aku takut tohmahan masyarakat yang sesetengahnya tidak percaya akan kebolehan kaum hawa menjadi jurutera? Atau aku takut jika pekerjaanku itu tidak setaraf dengan degree yang diterima? Na'uzubillahi min zalik.

Aku juga khuatir, jika karier yang aku gebang-gebangkan ini menjatuhkan aku dari jalan ini setelah menyibukkan aku dengan kecintaan dunia. Aku akan mula bertanya-tanya, kenapa gaji sedikit, berbanding soalan, kenapa taqwa sedikit?

Berhenti berfikir tentang kepentingan sendiri. Jadi biarlah noktah itu bertitik di situ.

Kerja hanyalah kerja. Ia tidak meninggikan darjat atau kemuliaan seorang manusia di atas manusia yang lain.

Mohon doanya.

Sunday, 11 September 2011

Puisi Sebelum Berangkat

Lambaian antik
Aku sembahkan saat selekoh terakhir
Menyeret ke wajah semalam

Rindu sebelum tercerai
Yang aku tahankan pada engsel keresahan
Bercanda senyap

Pergilah wahai sayang
Jangan tuntut

Sekiranya
Manusia mula menuntut hak dan cinta
Kehambaan akan ditelan keinginan
Lantai pun mahu naik ke langit

Bangun
Dan pergilah wahai kekasih
Carilah segala hitam putih esok

Tuesday, 6 September 2011

Bolt (Tadabbur Movie)

Bagaimana perasaan anda apabila menyedari bahawa seluruh kehidupan anda adalah sebuah pertunjukan TV semata-mata? Itulah perasaan seekor anjing yang bernama Bolt, yang percaya dirinya mempunyai kuasa luar biasa yang tiada batasan. Ia juga mempunyai kuasa salakan yang luar biasa sehingga mencetuskan gelombang udara yang sangat kuat. Sehinggalah pada suatu hari ia keluar ke dunia sebenar, ia mendapati semua kuasa supernya hilang. Bolt akhirnya sedar bahawa ia sebenarnya tidak mempunyai kuasa apa-apa pun dan segala efek aksinya sebelum ini hanyalah suatu lakonan di dalam set penggambaran.

Ada kata-kata yang selalu disebut, 'dunia ini ibarat pentas lakonan'.

Dan jika kita meneliti dengan lebih mendalam akan maksud Allahu Ahad, kita akan menyedari hanyalah Allah yang Wujud, Tunggal di alam ini. Kita tidak wujud, kita adalah pelakon-pelakon di dalam dunia yang sudah disediakan skripnya. Ending cerita sudah siap, tetapi hanya diketahui oleh Allah (Penerbit, Pengarah) dan para malaikat (krew-krew).

Kita juga tiada apa-apa daya di dalam dunia ini. Kita melambungkan bola ke dalam jaring tetapi Allah yang telah menggerakkan tangan kita; Allah juga yang memasukkan bola itu ke dalam jaringnya. Mereka di dalam medan Perang Badar yang melibas pedang ke arah orang kafir tetapi Allah yang memotong leher-leher mereka. Program yang kita uruskan dengan tangan-tangan kita berhasil, tapi sebenarnya Allah yang menjayakannya. Orang yang dapat pencerahan melalui kata-kata kita, sebenarnya Allah yang menggerakkan hati kita, lidah kita untuk mengucapkan kata-kata itu dan Allah menggerakkan hati orang itu untuk menerimanya.

Itulah sebabnya surah itu dinamakan Surah Al-Ikhlas walaupun tidak ada perkataan ikhlas di dalamnya, kerana kefahaman Allahu Ahad itu akan membuatkan segala amalan kita diikhlaskan kepada Allah sahaja. Kerana hanya Allah yang Wujud dan menggerakkan jasad-jasad kita.

Maka tak sepatutnya ada sedetik pun rasa bangga apabila dipuji soleh, berkepimpinan atau rajin beribadah. Wajah yang bercahaya yang bukan kita dapat atas usaha kita tu pun lagilah tak boleh nak banggakan. Semua tu Allah yang buat.

Para sahabat jauh daripada sifat riyak kerana mereka memahami Allahu Ahad.

Bolt menggerakkan kakinya untuk mengkarate pak cik penjahat, bukanlah disebabkan Bolt pak cik itu tumbang. Pak cik itu tumbang kerana pengarah sudah tetapkan pak cik itu akan tumbang. Tunggu Bolt beraksi sahaja.

Begitulah kita manusia.


Patutlah ada sahabat Nabi s.a.w. yang setiap kali solat berjamaah, ia suka membaca Surah Al-Ikhlas di samping surah lainnya sesudah Al-Fatihah kerana ia memahami dengan mendalam maksud surah itu. Kita-kita ini pula mengulang surah itu dalam setiap solat kita bukan kerana suka, tetapi kerana surah itu pendek :-|

Saturday, 20 August 2011

Bertanding dengan Aragorn



Bukanlah saya mahu membandingkan kehebatan orang-orang yang beriman dengan orang yang musyrik, kerana darjat orang-orang yang beriman tentulah sangat tinggi darjatnya di sisi Allah. Allah juga telah meletakkan satu soalan yang benar-benar jelas maknanya di dalam surah Az-Zumar ayat 9:

(Apakah kamu orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadah pada waktu malam dengan sujud dan berdiri, kerana takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah, "Apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sebenarnya hanya orang yang berakal sihat (ulul albab) yang dapat menerima pelajaran.

Cuma saya berasa lucu kerana pernah cemburu kepada watak Aragon (juga dikenali sebagai: Aragorn II) yang memiliki umur yang panjang. Umurnya sudah melebihi 80 tahun semasa menyertai the Fellowship of the Ring. Dan Aragorn bersemadi pada umur 210 tahun. Saya mendapat tahu bahawa the Hobbits (Merry dan Pippin) juga memiliki umur yang panjang.

Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam qadar.

Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?

Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.

Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izinnya Tuhannya untuk mengatur semua urusan.

Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar. (Surah Al-Qadr)

Seribu bulan itu bersamaan kurang lebih 83 tahun, kurang sedikit sahaja daripada umur Aragorn the Strider pada ketika itu. Tetapi 83 tahun itu dapat dicapai dalam satu hari dalam setahun, dan 83 tahun yang berpanjangan dengan ibadah soleh, dan 83 tahun sebagai orang mukmin. Tahun hadapan ada lagi tambahan 83 tahun jika kita berusaha sebetulnya dengan sebenar-benar 'kepahlawanan'.

Oh kelakarnya. Mengapalah saya membanding-bandingkan dengan Aragorn. Ternyata kita jauh lebih hebat kerana kita ada the Lord of the Alamin! Ada apa dengan sebentuk cincin kosong dibandingkan dengan Allah yang Maha Berkuasa? Heh.

Sisipan: http://zaadut-taqwa.blogspot.com/2011/08/manifestasi-cinta-ar-rahman.html

Wednesday, 6 July 2011

Samudera

Dalam melayari bahtera kehidupan ini, laut nampak luas. Kita berpusing dalam gelora mana sekalipun, kita akan sampai jika kita memegang kompas dengan betul. Jalan mana yang kita pilih, ia tetap akan sampai kepadanya walaupun ada yang lambat atau cepat berlabuh.

Destinasi.

Kalau tidak ada arah tujuan, ke manakah kita berlayar, kapankah kita sampai? Dan apa yang sebenarnya kita berbuat di atas bahtera ini?

Dalam pelayaran ini, mampukah kita mengucapkan 'cukup bagiku Allah' ketika laut bergelora menghempas lantai-lantai samudera. Kita hampir hanyut jika tidak berpaut pada tali layar.

Mampukah kita mengucapkan 'cukup bagiku Allah' tatkala kita melihat dari kejauhan layar bahtera lain mengejar di belakang, layarnya semakin mendekat berkibar-kibar. Mungkin tiga atau empat jam lagi ia sampai.

Bahtera kehidupanku.

Aku tinggal dalam tidak ketahuan bagai berserah menunggu ajal. Adakah musuh atau sahabat? Angin di sini tidak membantu layar kami. Mampukah aku mengucapkan 'hasbi Allah'?

Andai aku mati dikelar lanun itu, apakah mampu aku ucapkan 'cukup bagiku Allah' ketika aku terdampar menanti malaikat datang menjemput. Dan ketika aku berdiri di tanah besar, aku tahu itulah destinasi semua pelayaran. Mampukah aku ucapkan ayat yang sama?

Aku fikir yang dia fikir dia mahu aku berlabuh di sini. Namun aku fikir aku mahu berada di sana. Aku sedang fikir apa yang mereka fikir.

Sesungguhnya aku perlukan pimpinan dari-Mu.

p.s. Tak ada hati, sedang cari hati untuk cari kerja.

Monday, 13 June 2011

Luar Biasa

 
Doa adalah seorang ibu kepada anaknya.

Adalah kuntum kepada bunganya.


Doa ialah surat rindu yang tidak bertinta,

Sampai tidak bernama, tiba tidak bertanda.


Doa itu gelombang kuasa,

Yang menggegar langit, dan mengundang taufan.

Doa bisa menghentikan masa,

Menggagalkan fitnah, menjayakan cinta.

Doa itu pintu diri yang tiada berkekang,

Diketuk dan dibuka.

Untuk melihat Furqan.

Luar biasa.




-AM

Thursday, 9 June 2011

Consult Your Heart

Semuanya terjadi bukan kerana kebetulan.

Apa sahaja yang kita hadapi pada waktu ini, adalah ketentuan Allah yang sesuai dengan kemampuan kita. Kita mungkin tidak yakin dengan diri sendiri. Namun, jangan tidak yakin kepada Allah kerana Allah Pencipta kita. Dia mengenali hati kita lebih daripada apa yang kita kenal.

Maka jagalah Allah. Nescaya Allah menjagamu.

Tidak dapat tidak aku mesti terima kenyataan ini. Bagian yang tidak dapat menerima itu pasti adalah bagian yang lemah dan jahil. Kenyataan bahawa hidupku tidak berjalan dengan saksama tanpa cinta kepada Allah.

Aku beranggapan bahawa aku 'dibenarkan' leka sebentar demi mencari ketenangan. Aku boleh 'dimaafkan' untuk lalai sekejap untuk kemaslahatan iman pada masa hadapan.

Namun aku salah.

Setiap manusia ada definasi dosa yang tersendiri. Dosa itu ditakrif di dalam hati manusia.

Setiap daripada kita berbeza. Ada yang kuat pada bahagian akhlaknya, tetapi sedikit goncang pada ibadah. Ada pula yang tinggi pemahaman dan imannya, cuma sedikit kekurangan pada sahsiahnya. Kepelbagaian ini menyebabkan orang lain tidak dapat memberi nasihat sebaik nasihat yang datang daripada hati sendiri.

Makanya mintalah fatwa daripada hatimu sendiri mengenai dosa dan pahala.

Aku khuatir, jika apa yang di dalam hatiku ini adalah sia-sia dalam takdir Allah. Aku diam dalam suatu sudut dengan berbelah bahagi perasaan yakin dan khuatir. Apa perlu bersolat?

Keteguhan itu adalah milik-Mu.

Aku baru tersedar. Di dunia ini, kita dikeliling bermacam-macam orang. Kita juga saling mencintai dengan beberapa di antaranya. Hakikatnya, sepanjang usia ini, hanya ada diri kita seorang dan Allah.

Sama ada kita mahu hidup bersama Allah atau mahu bersendirian. Titik.

Manusia

Maka ya Allah, jika apa yang aku rasai ini benar kerana-Mu, permudahkanlah urusanku. Jika apa yang ada di dalam hatiku ini salah di sisi-Mu, maka tidak ada makna bagiku untuk meneruskan.

Jadikanlah aku seorang manusia yang mempunyai kesabaran itu. Jadikanlah aku sahabat bagi semua manusia, bukannya kulat perosak yang menyakitkan hati. Jadikanlah kehadiran aku penerang kehidupan manusia, bukannya awan mendung yang membawa muram dan kelam.

Tuesday, 7 June 2011

Fatigue

Hebatnya kuasa Allah. Dia yang menciptakan setiap benda dengan pelbagai rupa dan warna serta bentuk. Cantik. Juga Maha Hebatnya Allah, apabila Dia mampu membezakan kekuatan sesuatu benda hanya melalui bentuknya sahaja.

Lecturer tanya kenapa tingkap kapal terbang berbentuk bulat, bukannya petak?

Ini kerana bentuk petak memudahkan failure kerana adanya cyclic loading (atau nak kata kerana fatigue pun boleh) di sekeliling tingkap. Cyclic loading ialah daya yang membebani secara mengeliling yang menyebabkan retakan di bahagian bucu tingkap lalu menyebabkan kegagalan dalam pembinaan kapal terbang. Maka, banyaklah kapal terbang yang terhempas secara misteri pada masa dahulu. Para engineers pening kepala menyiasat. Rupa-rupanya hanya kerana bentuk tingkap. Lalu bentuk kapal terbang kini di-design menjadi membulat untuk mengelakkan fatigue.

Manusia banyak menilai geometri hanya pada sebab kecantikan. Hakikatnya, Allah menciptanya dengan sesuatu yang lebih dalam dan bernilai.

Contoh nahas disebabkan fatigue


Tadi, saya pun terdorong untuk membeli talam yang berbentuk bulat berbanding yang bersegi. Macamlah talam bersegi itu nak 'nahas' dengan load pinggan mangkuk yang tak seberapa he he. Psikologi... Psikologi...

p/s: Muka yang cantik membantu menambah kekuatan dakwah tak he he? -Yang penting akhlak kena cantik..