Wednesday, 24 September 2014

Kita Lepaskan

Bagaimana perasaannya,
Apabila menyeka air hujan di pinggir mata,
Tapi hati luluh kerana
ia saat sempurna.

Bagaimana pementasannya,
Apabila kehilangan banyak benda,
Tapi memiliki segala-galanya?

Perasaan jadi mengalir
Jika ia selalu menzahir.

Rindu akan tersekat,
Kerana hati yang hitam pekat.

Apa yang ada ambillah.
Yang lain kita lepaskan.

Monday, 3 February 2014

Selamat Tinggal

Saya harap saya dapat ingat semuanya.

Saya harap saya dapat ingat setiap detik yang berlaku antara kita. Namun semuanya datang dan pergi dalam keadaan samar-samar.

Sungguh saya ini mencemburui dan mencintaimu sejak dahulu. Sehinggalah pada saat dirimu telah pergi kamu tetap menjadi orang yang semakin saya cintai dan cemburui.

Mumtazah,

Pertama kali saya mendengar nama itu ketika dalam perjumpaan pertama kumpulan yang kita namakan MySaff. Kamu dilantik menjadi Ketua (atau penolong -tidak ingat) tetapi untuk dalam masa tiga bulan sahaja kerana kamu akan berlepas ke UK.

Saya pernah mendengar suaramu dari sana ketika kita semua merancang untuk membuat bedah buku online. Ketika itu saya berada di program adik-adik JAD. Kamu berada di UK. Mendengar suaramu di speaker laptop sahaja membuatkan hati saya bergetar sepanjang masa. Terkadang isi pembentanganmu tidak saya dengari. Tetapi suaramu itu, saya sungguh pasti, wahai Mumtazah, sungguh menyentuh jiwa kerana ia adalah suara suatu sosok yang sangat ikhlas dalam amalnya kepada Allah.

Saat suaramu hilang dan semua orang telah offline, saya seperti baru terjaga dan terhambat dalam mimpi dan bayangan sendiri. Dengan suaramu itu sahaja mampu membuatkan saya malu kepada Allah S.W.T lalu mahu bangkit dari futur dan lemah. Suara kamu bagaikan suatu hidayah.

Sepanjang sesi itu saya hanya berfikir, siapakah Mumtazah ini di sisi Allah? Saya telah mula cemburu padanya.

Mumtazah,

Saya kecewa kerana saya masih belum ingat banyak perkara.

Dalam imbasan kenangan saya, saya pasti yang saya lihat bayangan wajah kamu bersama adik-adik di Shah Alam, atau saat kita berjalan bersama keluar dari rumah.

Saya masih kecewa -mengapa sukar bagi saya untuk mengingat.

Mumtazah,

Setelah saya berpindah ke Ansar, hati saya menjadi lapang kerana saya sering berjumpa kamu. Setiap kali pulang dari kerja, kita semua makan bersama, berkongsi ramai-ramai.

Dan suatu ketika saya kagum dengan smartphone kamu tatkala nampak kamu membaca suatu bacaan dalam pdf. Tetapi kamu hanya merendah diri dan mengatakan, "Phone murah saja ni." Kamu mengajar saya secara pembuktian bagaimana menggunakan alat yang dimiliki sebaik mungkin untuk menjalankan matlamat dakwah dan ibadah.

Mumtazah,

Saya hanya mengenal kamu sebagai Mumtazah yang solehah, yang menjaga solatnya, rajin beribadah, dekat dengan al-Quran, penuh hikmah kata-katanya, cekal menuntut ilmu, tabah dengan ujian kesihatan, walaupun kamu cuba menampakkan diri seperti hanya Mumtazah yang biasa.

Dan saat kita mahu walimah. Saya teringat saat kita berbual, kamu mengupdate saya tentang perkembangan walimah kamu. Saat itu saya sudah bernikah. Beza tarikhnya hampir 3 bulan. Tapi kamu yang lahirkan anak dahulu. Saya lebih terkemudian.

Mumtazah,

Sungguh perkenalan kita ini begitu singkat. Saya belum sempat mengenalimu seperti orang lain mengenalmu.

Sungguh lucu kehidupan ini Mumtazah. Umur kita sebaya tetapi kamu telah pergi dahulu dalam keadaan yang saya yakin -kamu berada dalam husnul khatimah. Saya gembira untuk kamu, kamu telah pergi untuk berehat di sana setelah di dunia ini, kamu bersungguh-sungguh berjuang di jalan dakwah pada pandangan perkenalan singkat kita. Mumtazah, kamu telah menyaksikan dengan haqqul yaqin.

Bagaimana dengan saya... Umur saya lebih panjang daripada kamu, tetapi saya hampir pasti kelebihan ini tidak mampu menandingi amal dakwahmu serta ikatan hatimu dengan Allah. Saya semakin gentar dengan nasib saya. Sungguh, pemergianmu Mumtazah merupakan suatu peristiwa yang mengharukan buat saya. Antara rasa sedih, hiba, tenang, gembira, takut dan yakin, saya berdoa semoga saya dapat mengikut jejak langkahmu menuju syurga wahai Mumtazah.

Sahabatku,

Sungguh saya berasa sangat kesal kerana tidak pernah menyatakan cinta saya kepadamu semasa hayatmu. Sungguh saya mencintai dari jauh sejak dahulu. Semoga dapat mencintaimu dari dekat di sana nanti.

Di saat saya masih cuba mengingat kenangan-kenanganmu Mumtazah, semoga saya mengambil ibrah daripada penghidupan dan pengakhiranmu, untuk menjadi seorang pejuang, isteri, anak, ibu dan teman yang sebaikmu.

Terima kasih ukhti habibati Mumtazah Maridi. Semoga Allah merahmati ruhmu di sana.