Friday, 23 October 2009

Nyamuk Ajar Al-Quran


"Wahai nyamuk, aku berlindung kepada Tuhan kita daripada kemudaratan olehmu. Jauhilah aku. Aku berada di sini demi Allah!" Bisikku dalam kegelapan malam.

Aku tidak tahu sama ada nyamuk faham bahasa melayu atau tidak. Namun, dengan maksud sebenarnya bisikku itu adalah permintaanku kepada Allah.

Aku tunggu lima minit. Belum ada dengung nyamuk atau rasa pedih gatal. Subhanallah, Allah raja segala kebaikan dan kemurahan. Tak ada nyamuk datang. Aku rasa sangat bahagia dan senyum-senyum kerana doaku termakbul.



Kemudian, satu soalan terilham di kepalaku, "Layakkah aku berbangga?"

Astaghfirullahal 'azim! Apakah yang telah aku fikirkan ini? Aku telah berbangga dengan doaku yang sekecil kuman penuh kotoran. Aku telah merasa bahawa doaku itu yang menyelesaikan segala masalah. Aku fikir doaku itu yang melindungiku? Apa aku sudah merasakan bahawa doaku itu yang menjauhkan nyamuk daripadaku, bukannya kemurahan Allah?

Astaghfirullahal 'azim. Maha Suci Allah.

Aku sangat kesal dengan riak yang aku cipta tadi. Hinanya aku rupa-rupanya, ya Allah. Hakikatnya manusia tidak pernah melakukan apa-apa kerana Allah itu Esa, Allahu ahad. Hanya Allah Al-Wujud. Manusia tidak wujud sama sekali, manusia dicipta. Bukan manusia yang mengangkat gelas untuk minum tetapi Allah-lah yang mengangkat gelas itu. Bukan manusia yang menaip di komputer tetapi Allah yang melakukannya. Bukan aku yang mengangkat tangan untuk berdoa, tetapi Allah yang mengangkatnya!

Ya Allah, jika gigitan nyamuk dan luka berdarah itu lebih baik untukku supaya Engkau redha padaku, aku redha ya Allah. Datangkanlah nyamuk-nyamuk itu dengan segera.

Iiiiiiii....iiiiuuuu.... Bunyi nyamuk kedengaran dan kakiku mula merasa sentuhan jarum makhluk penghisap darah itu. Entah bagaimana dapat aku gambarkan perasaan aku ketika itu apabila telah terbukti Allah sedang mendengarkan aku, dan Allah redha padaku ketika itu, dan aku redha pada-Nya ketika itu. Dan paling menakjubkan, aku langsung tidak merasa sakit atau pedih. Lalu hatiku menjadi sangat redha.

Tidak lama selepas itu, tiada lagi tanda-tanda kehadiran nyamuk di situ.
Yang tinggal, hanya aku dan Allah. Aku dan Allah. Aku dan Allah.


Aku telah terlupa, siapalah aku untuk berasa gembira bangga dengan doa yang hina  daripada seorang hamba yang tiada apa-apa. Dan Allah mengilhamkan aku untuk menyedari dosaku itu, dan aku pula dikurniakan saat yang indah untuk berbicara dan berkenalan dengan-Nya. Maha Suci Allah, yang hanya daripada-Nya seseorang boleh menerima hadiah selepas menyedari dosa!

Subhanallahil 'azim.

Inilah bagaimana nyamuk mengajarkan aku, 'Qulhu Allahu Ahad!'

p/s: Cerita pendek (Cerpen).

Monday, 12 October 2009

Ingin Langkah Bermula


Nur,

Maafkan saya, Nur. Setelah sekian lama hati kita bertaut, entah kenapa rindu baru menyinggah apabila hati saya ingin mengejar cahaya. Mungkinkah kerana nama awak 'nur'? Gurau saja. Saya percaya, ukhwah tu mula dirindui apabila hati kita basah mengingati Allah. Saya telah menzalimi diri sendiri dengan kelalaian saya selama ini dan mujurlah dengan kehadiran awak mampu mengingatkan untuk kembali kepada-Nya dengan cinta yang tiada berbelah bahagi. Jazakillah.

Kalau Nur baca ni, saya rindu sangat pada Nur. Sekarang ni saya sudah berada di tahun ketiga. Nur sedang buat apa sekarang? Saya rasa teruk. Bukan sepenuhnya kerana pelajaran tapi mungkin pelajaran yang menyumbang kepadanya. Awak tahu Nur, sejak awak duduk jauh, saya hilang sumber nasihat, seolah-olah hati saya hilang separuh. Kalau awak baca ni Nur, mesti awak ketawa kan? Malu saya.

Saya sudah disibukkan dengan hal dunia. Belajar itu penting dan amanah, jadi saya berusaha kerana Islam, Islam, Islam. Namun, saya telah menjadi jahat -kerana menggunakan nama Islam bagi menutup ketakutan saya pada bayang-bayang sendiri. Dan saya sangka, saya benar. Lalu, saya mungkin telah menyebabkan rasa hormat terhadap Islam itu pudar atau mungkin lenyap daripada pandangan orang lain. Seperti saya sendiri yang menabur fitnah terhadap Islam di muka sendiri ketika mengenal erti menjadi seorang da'i. Jadi sekarang, saya cuba membuang salah faham saya terhadap konsep itu, lalu cuba mengubah apa yang tidak kena. Kerja mengubah diri untuk diterima ini adalah suatu seni, dan seni itu sungguh asyik dan melekakan. Awak paling tahu tentang seni, Nur. Tidak perlu lagi saya terangkan. Dan fokus ini membawa saya mencari sesuatu yang kreatif lalu secara halusnya matlamat asal saya telah terlapik dengan matlamat seni ini. Tambahan pula semakin lama saya rasa semakin munafik. Di hadapan orang itu, saya bertaqwa, di hadapan orang itu, saya biasa, di hadapan orang itu pula, saya pelalai.

Nur kata, itu juga perasaan yang biasa berlaku walaupun di kalangan sahabat nabi saw. Nabi kata, iman manusia bertambah dan berkurang. Lalu selalukanlah bertanya, apa khabar imanmu? Dengan itu, hati saya jadi lebih tenang. Patutlah Nur suruh baca sirah -banyak teladan daripada kehidupan nabi saw dan para sahabat.

Nur, apa khabar iman? Tentu iman awak sedang menggemuk sihat. Dan syaitan suka untuk menjatuhkan orang yang memiliki iman yang lebih berisi. Gemukkan lagi, Nur! Selepas itu kemikkan syaitan itu semua. Semoga Nur tetap 'menggemuk' di sana sebab Nur menundukkan pandangan, menjaga hati dan hubungan, tenang dan menenangkan, saya paling suka Nur sebab awak membimbing saya membaca al-quran dengan hati, bukannya akal. Sekarang, saya harap awak tak baca semua ni. Nanti awak marah saya sebab puji awak. Saya pun cuba nak gemuk juga, fizikal, mental dan terutamanya rohani.

Semoga Nur merindui juga saya. Bila Nur mahu datang ke sini agaknya? Kita lost contact kah? Semoga Nur selamat, bahagia dan disayangi Allah.

Kita akan bawa himmah itu sehingga mati. Sekarang saya sedang semangat. Kena suntikan ubat tarbiyyah, ketagih bergerak dengan langkah yang bermula.

Salam rindu,
Auni el-Monashi

Thursday, 1 October 2009

Arachnophobia


Pertama kali saya dengar istilah quran buruk ialah ketika saya tingkatan satu dahulu. Dalam banyak-banyak benda atau secara spesifiknya buku, kitab quran dipilih atas kemuliaannya. Namun, saya kerap kali membayangkan quran buruk ini sebagai dilema. Dilema yang dibawa quran buruk ini -atas nama kemuliaan alquran hatta yang menyentuhnya pun mesti menyucikan diri dahulu lalu dikaitkan quran buruk itu dengan orang tua. Mahu disimpan, tiada guna. Mahu dibuang, sayang. Itu maksud yang ditulis dalam buku.



Gara-gara seekor labah-labah, solat isya' saya tertangguh beberapa jam. Selepas saya siap mengambil wudu', saya singgah sebentar di komputer riba untuk menyemak fail yang sedang dimuat turun. Ketika itu, seekor labah-labah melintas dari dapur menuju ke karpet. Saya menjerit kepada adik saya supaya menjauhi karpet. Lalu, sepanjang beberapa jam kami berdua ketakutan walaupun labah-labah itu telah lama menghilang. Saya pula tak masuk ke dalam bilik untuk solat kerana kali terakhir dilihat labah-labah itu melewati pintu.

Labah-labah sahabat Nabi, yang menghalang penjahat memasuki pintu gua lalu menyelamatkan Nabi s.a.w. dan sahabat baginda Abu Bakr r.a.

Namun, labah-labah pula yang menghalang saya memasuki pintu untuk solat lalu tidak 'menyelamatkan' saya kerana melewatkan solat.

Labah-labah menyebabkan saya berada dalam dilema ala-ala dilema quran buruk. Betulkah apa yang saya buat dengan menjauhkan adik saya dari labah-labah itu lalu menakutkannya? Saya mungkin menyebabkan dia mengalami krisis jiwa masa kecil lalu menjadi arachnophobia macam saya. Atau patutkah saya mengelak untuk menjadi terlalu melindungi sebab labah-labah itu mungkin tidak berbahaya pun? Saya mungkin pula mengambil risiko mendedahkan dia kepada bahaya.

Atau saya je yang fikir complicated? Labah-labah tu rileks je.

          "Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar,

                     (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa mushibah, mereka mengucapkan: “Innaa Lillaahi Wa Innaa ilaihi Raaji’uun”.
  
           Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk."

(Al-Baqarah 2:155-157)