Sunday, 30 October 2011

Dilema Nasi Penuh Sepinggan



Pernah tak anda semua berada dalam dilema 'nasi penuh sepinggan'? Ianya adalah suatu situasi apabila anda dihidangkan dengan sepinggan nasi yang sangat banyak dan anda begitu pasti yang anda tidak akan mampu menghabiskannya (terutamanya kaum hawa).

Anda teringat bahawa pembaziran itu menjadikan anda sahabat syaitan tetapi tidak boleh memaksa diri makan sehingga habis kekenyangan kerana anda perlu mengikut adab makan -berhenti sebelum kenyang. Pilihan yang sama kuat.

Kalau perlu bungkus, anda akan rasa bersalah kepada alam sekitar pula kerana anda menggunakan styro.

Jadi bagaimana?

Dan baru-baru ini, saya berdepan dengan dilema; nak bersedekah atau tidak kepada anak-anak kecil yang meminta di jalanan kerana dikhuatiri mereka terlibat dalam sindiket yang menipu orang ramai. Realitinya sindiket ini memang benar-benar wujud. Ada yang berpura-pura cacat dan comot, padahal pendapatan mereka mencecah ratusan ringgit sehari.


Disebabkan sebaran kisah-kisah ini, kita dapat melihat ramai orang meletakkan pandangan skeptikal kepada golongan ini walaupun kepada yang benar-benar pengemis. Maka kebanyakan kita ada yang mengatakan mereka berada dalam dilema 'nasi penuh sepinggan' ini. Nak sedekah takut merosakkan lagi anak kecil yang dah diajar menipu. Kalau tak nak sedekah kasihan pula; sedih juga sebab tak beroleh pahalanya.

Jadi apa penyelesaiannya?

"Hai orang-orang beriman, jagalah dirimu sendiri, dan tiadalah membahayakanmu orang yang telah sesat, bila kamu telah mendapat petunjuk." (Al-Maidah: 105)

Bukankah sedekah itu memang dikhaskan buat orang-orang yang meminta dan yang tidak meminta? Adakah kita benar-benar boleh claim bahawa mereka itu menipu sebelum kita mengelak memberi sedekah?


Dalam keadaan dunia akhir zaman yang serba-serbi samar begini, kita seringkali mengalami kepayahan dalam membuat pilihan terutamanya dalam menentukan prioriti. Ada di antara kita yang terpaksa memilih antara kelas/kerja atau program yang 'super' penting, antara family gathering atau usrah.

Dan kisah-kisah peminta sedekah menipu ini disebarkan bersama-sama pros and cons nya. Orang ramai kini lebih berhati-hati agar tidak mudah tertipu tetapi lama kelamaan, sifat berhati-hati ini terpupuk dengan begitu tebal sehingga kita menghasilkan generasi-generasi yang kedekut demi 'kebaikan umat'.



Kita tidak dapat menetapkan hukum untuk setiap perkara kerana setiap hari, dunia teknologi kita ini mewujudkan barang baru bersama permasalahannya sekali. Kalau dahulu, para ulama dibebankan dengan isu darah nyamuk: adakah membatalkan wudu', sekarang kita berdepan masalah yang lebih kurang sama cuma dengan terma-terma yang lebih kompleks.

Al-Quran juga tidak meletakkan hukum untuk setiap perkara. Tidak tertulis halal atau haram di dalam al-quran dan hadith mengenai televisyen. Al-Quran juga tiada menerangkan isu boleh atau tidak bernikah dengan orang yang berlainan prinsip. Di dalam al-Quran tiada perkataan syumul sekalipun, ia adalah istilah yang dicipta pada masa al-Banna, digunapakai untuk memudahkan penyampaian maksudnya kepada masyarakat moden.

Kita tiada jawapan untuk semua perkara. Namun, Allah telah meletakkan banyak panduan untuk kita ukur sendiri dengan akal dan mata hati kita. Dan sudah tentu, hanya hati-hati yang terbaik dan terbersih dapat membuat pemilihan yang terbaik dalam mana-mana dilema 'nasi penuh sepinggan'. Itu sebabnya mengapa Rasulullah saw. itu tiada dosa (maksum) dan orang-orang soleh kurang berbuat dosa.

Dan dari Wabishah bin Ma'bad ra. berkata: Aku datang kepada Rasulullah saw., beliau bertanya,

"Apakah engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan?" Saya menjawab, "Ya." Beliau bersabda, "Bertanyalah kepada hatimu sendiri, kebajikan adalah sesuatu yang membuat jiwa dan hatimu tenang sedangkan dosa adalah sesuatu yang menggelisahkan jiwa dan menimbulkan keraguan dalam hati, meskipun orang-orang memberi fatwa yang membenarkanmu." (hr Ahmad)

Saya pernah memilih untuk tidak bersedekah kepada orang yang dikhuatiri menipu, manusia di sekeliling bersetuju dan 'berfatwa' dengan hujah masing-masing, saya berpuas hati tetapi akhirnya jiwa saya tidak tenang dan gelisah. Ketika itu barulah saya dapat melihat apa itu kebajikan dan apa itu dosa... Mungkinkah kekhuatiran tadi bisikan syaitan?

p.s. Nasi penuh sepinggan? Nasi sepinggan penuh? Sepinggan nasi penuh? Sepinggan penuh nasi? zzzzz.....

Sunday, 23 October 2011

Bintang Utara

Asif (maaf), saya baru pulang daripada seminar 'Wanita Sejahtera di Bawah Naungan Syariat' yang diadakan di Shah Alam. Di sini saya dibukakan mata bahawa topik ini sebenarnya sangatlah cantik dan luas. Hanya saya sahaja yang menyempitkannya sebagai hujah-hujah syariah. Kehidupan bersyariat sebagai seorang wanita memang sangat indah. Maka, maaflah kerana saya terbawa-bawa mood itu lagi.




Lagu ini dijadikan topik tadabbur oleh pengucap sebagai muhasabah oleh para wanita (kebanyakannya di situ dah kahwin) akan peranan mereka sebagai seorang isteri, ibu etc.

Antara bahagian yang memberi kesan:

Kau umpama bintang utara
Penunjuk jalan yang terang
Kau beri harapan saat ku jatuh
Bangun semula

Menurut Pak Cik Wiki mengenai North Star (salah satu daripada Pole Stars):

... pole stars' apparent positions remain essentially fixed. This makes them especially useful in celestial navigation: they are a dependable indicator of the direction toward the respective geographic pole, and their angle of elevation can also be used to determine latitude.

Hebat juga tugas wanita. Umpama bintang utara yang dijadikan pedoman manusia dalam menentukan arah untuk berkiblatkan. Wanitalah bintang utara, petunjuk, harapan dan ketenangan. Dengannya si suami mempunyai kekuatan untuk bangun daripada kejatuhan. Kesetiaan wanita mengharungi cubaan bersama suami menjadikan suami semakin kuat.



Dan berikan sakti cintamu
Penawar racun berbisa
Dan ikatan kita cinta abadi hanya di syurga

Namun, atas daripada semua itu, bintang utara perlulah dihasilkan daripada seorang wanita yang taat kepada perintah Allah dan Rasul-Nya, kepada suami dan dia wanita yang hidup di dalam syariat Islam.

p.s. Topik ini... apakah...

Wednesday, 19 October 2011

Curhat Anak Manja

Tarbiyah Allah adalah tarbiyah yang terbaik. Sesungguhnya kita selalu sahaja mengadu masalah kita kepada semua telinga dan mata dengan harapan mereka memahami dan memberi perhatian padahal Allah yang Maha Mengetahui tentang permasalahan kita itu dan Maha Memahami. Maka apakah ada teman curhat yang lebih dekat dan tepat selain Allah Pencipta kita?

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya dari pada urat lehernya (50:16)

Hari ini apabila manager mengatakan saya kelihatan sedih sejak semalam, saya agak panik kerana saya menyangka saya sudah menghadapi permasalahan saya dengan setenang mungkin. Kemudian, saya mula tertanya-tanya sama ada saya benar-benar sedang cuba bersabar dan bersyukur, atau sedang meratapi diri sendiri. Jika redha, sepatutnya kesugulan itu tidak terpancar sebegitu sekali daripada riak wajah di luar kesedaran diri.

Astaghfirullahal'azim. Saya tidak mahu jadi orang yang kufur sebegini lagi.

Saya ingatkan saya telah berulang kali berbicara dengan-Nya bahawa saya meredhai apa yang berlaku. Kerana ujian tidaklah datang untuk menghukum. Saya juga selalu memperingatkan diri bahawa ujian itu adalah sunnatullah kepada hamba-hamba-Nya. Saya perlu melalui jalan yang mendaki yang sukar ini. Ujian adalah tanda kasih sayang Allah yang ingin kita semakin dekat pada-Nya.

Apabila meneliti kembali, saya mula menyedari bahawa bertahan sahaja tidak cukup. Saya perlu yakin dan bersabar menunggu pertolongan Allah. Mungkin saya terlalu 'mendesak' Allah sehingga semakin pudar rasa redha dan yakin terhadap janji-Nya. Mungkin sahaja hati saya masih belum bersungguh-sungguh berdoa sebagaimana bersungguhnya hamba-hamba-Nya yang soleh dan terpilih.

Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah. (57:16)

Mungkin sahaja sifat bertahan saya ini kurang dibaja dengan rasa bersyukur dengan ujian Allah ini. Atau sebenarnya saya belum juga berusaha bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan masalah ini dengan sedaya upaya saya?

Semenjak bermulanya dunia baru sebagai seorang yang bekerjaya, saya telah pun berazam untuk mengatur hidup dengan lebih matang dan berdikari. Mungkin disebabkan kami telah dimanjai dengan harta benda semasa kecil, tabiat itu sukar dibuang walaupun pada hakikatnya kami tidak lagi mewah sejak pemergian ayah. Saya tidak dapat mendidik mereka untuk lebih berkorban, kerana antara mereka ada yang masih kecil dan ada pula yang masih struggle dengan hidup baru. Maka, setakat ini kelihatannya saya sahaja yang mampu diharapkan untuk meringankan beban keluarga apatah lagi kerana saya faham bahawa hidup kami tidak boleh manja-manja lagi.


Dan indahnya tarbiyah Allah kerana menarik kemudahan yang ada pada saya itu supaya saya sedar bahawa inilah masanya untuk saya bertindak merealisasikan azam saya. Mungkin sahaja kesugulan itu datang kerana anak manja ini sedang terkejut dengan perubahan. Alhamdulillah apabila direnung kembali, ada banyak perkara baru yang saya pelajari setelah melalui perubahan ini.

Jangan kamu berputus asa daripada pertolongan Allah, sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat (atau pertolongan) Allah melainkan orang-orang kafir. (12:87)

Dan sesi curhat kepada manager tadi terhenti pada kisah-kisah surface sahaja kerana anak manja ini tahu sebaik-baik tempat curhat adalah kepada Tuhannya, Allah yang sering memanjainya. Wow! Dan menulis ini benar-benar memberi penawar. Memang benar,

Tiga orang yang akan selalu diberi pertolongan oleh Allah adalah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah Swt., seorang penulis yang selalu memberi penawar, dan seorang yang menikah demi menjaga kehormatan dirinya. (HR Thabrani)

p.s. Apa agaknya khabar Julaybib (kereta saya) sekarang ni.
p.p.s. Ya Allah permudahkanlah urusanku, keluargaku dan urusan orang-orang mukmin.

Friday, 14 October 2011

Berikutan Ulu Yam, Kereta dan Dia


Aku memohon ampun pada-Mu ya Allah. Allah sebaik-baik Penasihat. 

Sekarang segalanya sudah tidak lucu lagi. Dikala aku keraguan dalam memilih kerana belum jelas benangnya hitam atau putih, aku begitu tertekan memikirkan impak keputusan itu nanti. Adakah aku memilih itu dan ini kerana Allah atau kerana menurut hawa nafsu yang disadurkan dengan alasan murni? Kerana keliru begini, mungkinkah ada sesuatu yang tidak kena dalam hati? 

Adakah benar-benar boleh meredhainya atau sebenarnya aku tidak kisah kerana tidak cinta langsung? 

Memang benar, pergantungan dan sandaran kepada Allah itu adalah yang terbaik. Aku terasa terpukul dengan dosa-dosa yang aku sangka selama ini adalah perlakuan terbaik dan mulia. Dan keikhlasan tidak akan memijakkan kakinya dalam dunia pura-pura yang kotor dan busuk. 

Aku masih tidak dapat membuat kesimpulan antara pilihan cerita ini. Ia fitrah atau apa?

Semoga Allah memberikan petunjuk. 

p.s. Semakin tidak layak untuknya.

Thursday, 13 October 2011

Tak Menahan!


Agaknya beginilah rupa sebenar alam pekerjaan. Dahulu ramai antara kami yang suka berhujah dalam menentukan mana yang lebih menyeronokkan - belajar atau bekerja. Namun, perbahasan sering terhenti di situ sahaja kerana masing-masing belum pernah merasa alam pekerjaan ni.

Sonny Islam

Dan sekarang aku telah menjadi robot ha ha. Setiap hari sebelum aku masuk ke pejabat, aku akan terlihat seorang pekerja lelaki yang menyapu daun-daun yang gugur di jalan. Aku berasa aneh. Takkanlah dia tidak bosan (baca: cemuih) membuat perkara yang sama setiap hari? Takkanlah dia tidak pernah terfikir bahawa esok jalan itu akan dipenuhi daun lagi maka ia perlu mengulang proses yang sama lagi? Ya ampun, sudah kayak robot maassss.

Kemudian aku juga tertawa apabila terfikir, bukankah aku sama sahaja seperti lelaki tadi? Perbuatan kami diulang sama sahaja setiap hari. Mungkin sahaja projek yang datang tidak sama pada setiap kali, tapi prosesnya begitu juga. Daun baru gugur setiap hari tetapi proses menyapu itu sama sahaja. Makanya aku juga udah kayak robot dongggg.

Itu sebabnya aku berharap dunia pekerjaan ini tidak menjadikan aku jasad-jasad besi yang tersadai di meja pejabat. Mungkin sahaja jasad besiku itu mampu berjuang melengkapkan mutabaah amalnya dengan baik setiap hari tetapi aku khuatir kalau jasad sebegitu adalah robot islam yang tidak berjiwa. Aku risau jika hatiku hilang kekhusyukannya. Aku akan menyangka hatiku basah tetapi rupa-rupanya aku hanya meletakkannya di dalam air yang bertakung. Maka hati itu tiada flownya. Kaku tidak berperasaan.



Makanya kalaupun jasad dipaksa melakukan tugas bak robot, aku ingin menjadi seperti Sonny dalam filem I, Robot. Ia dicipta oleh tuannya dengan tidak mengikut peraturan penciptaan robot. Rupanya sama sahaja seperti robot lain tetapi ia istimewa kerana ada jiwa yang bebas mengalir. Walaupun merepek, ada hikmah di sebalik cerita ini he he.

Kereta hilang!?!

Sebulan bekerja, memang banyak perkara yang aku pelajari. Aku memang sengaja memilih tempat kerja ini kerana cara bekerja di sini memang memerlukan jiwa yang tahan kepada manusia lain. Apabila dimarah hatiku lebih kuat. Apabila dimalukan aku lebih tenang. Apabila dihina aku lebih memaafkan. Apabila dihujah aku lebih yakin. Apabila dibahan aku lebih berani. Apabila kereta hilang dari tempatnya aku boleh sengih!

Kualiti yang diperlukan untuk dakwah. Kerana aku kurang bercakap, kurang inisiatif, kurang berani, maka pekerjaan sebagai jurutera di sini adalah sesuai untukku kerana aku bakal bercakap dengan banyaknya dengan klien, manager dan bos.

Kesimpulannya nak pilih kerja kena berwawasan. Jadi insyaAllah, kalau kita buat sesuatu kerana Allah, kita takkan bersedih hati. Itu yang aku fikir.

"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya." (Al-Ankabut:69)

Mohon doanya.

p.s. Esok mungkin kena pergi kerja naik bas.
p.p.s. "I'm still in a learning process so I cannot feel upset," ayat yang tak menahan telah terpacul dari mulutku kepada manager yang sangat concern dengan ketahanan jiwaku.

Monday, 10 October 2011

Keperitan Untuk Kenikmatan



Sesungguhnya dunia itu menyakitkan. Itulah sebabnya orang-orang yang soleh sejak zaman dahulu begitu merindui akhirat. Alam yang kekal sejahtera selamanya. Selamanya itu bermaksud tiada penghujung kerana semua makhluk termasuk masa telah 'expired'.

"Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui." (29:64)

Aku begitu terkesan dengan kisah Uwais al-Qarni ra., seorang pemuda yang tidak mahu dikenali di bumi tetapi terkenal di kalangan penduduk langit. Sehingga Allah sendiri mewahyukan kepada Rasulullah s.a.w. akan khabar kedatangan Uwais ke Mekah semasa ketiadaan Baginda. Setelah Rasulullah s.a.w. wafat, para sahabat menanti kedatangannya untuk mendapatkan doanya seperti yang disarankan Baginda. Setelah uwais meninggal dunia, para penghuni langit datang berbondong-bondong mengiringi jenazahnya dan ketika itu barulah penduduk kampungnya gempar - siapa sebenarnya Uwais al-Qarni ini sehingga begitu ramai 'orang asing' datang mengiringinya?

Subhanallah. Itulah kisah seorang lelaki yang bersusah-susah untuk dapat bertemu dengan Rasulullah s.a.w., juga lelaki yang sangat memuliakan ibunya, lelaki yang mengorbankan harta dan jiwanya demi Allah dan Rasulnya, lelaki yang paling tidak dikenali manusia tetapi paling 'popular' di kalangan malaikat.



Kita dapat membayangkan kesakitan yang dihadapi Uwais al-Qarni r.a. semasa hayatnya. Antaranya deritanya merindui untuk bertemu Rasulullah s.a.w, peritnya memikirkan ibunya semasa pemusafirannya, kecewa dan patah hatinya tidak dapat bertemu Rasul walaupun dari jauh ia datang serta sakit dalam jiwanya kerana terpaksa pulang dengan segera demi cinta dan janji kepada ibunya yang sakit. Kesakitan di atas kesakitan di dunia.

Aku membayangkan betapa bahagianya Uwais al-Qarni pada ketika ini bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dengan kemuliaan daripada Allah dan para malaikat. Mereka tidak mendapat peluang bertemu di dunia ini, tetapi dihadiahkan pertemuan di tempat yang gilang-gemilang suasananya.

Kita telah menemui banyak formula dan teori mengenai alam. Kebanyakannya teori sains tulen. Allah pula telah mengajarkan kepada kita tentang formula-formula kehidupan di dalam Al-Quran.

"Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan. Maka ditekankan lagi sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan!"

Orang kita pun selalu sebut, "Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian."

Kita ini juga ditimpa kesakitan saban hari. Ada yang sakit diuji dengan luka fizikal, ada yang sakit diuji dengan masa yang cepat, ada yang sakit untuk sabar menjadi orang asing di tempat baru, ada sakit menahan cinta dan rindu, ada yang sakit menyesal apabila tergelincir kerana kesilapan, sakit kehilangan, sakit berpenat lelah berusaha, sakit dalam usaha berlapang dada, sakit untuk bertahan supaya tidak tidur, sakit dalam berharap. Semuanya sakit.

Bertabahlah! Kerana sakit-sakit ini tidak akan wujud lagi di dalam syurga. Tidak wujud lagi luka, masa, sabar, suruhan menahan, sesalan, kesilapan, kehilangan, penat atau suruhan berusaha. Yang ada hanyalah kenikmatan!

Maka jika anda mengalami perih dan sakit di dunia ini, maka anda selangkah menuju ke arah lumrah kehidupan beragama. Jika kesakitan itu kesakitan yang benar, yakni sakit dan terluka kerana Allah, maka anda selangkah mendapatkan janji-janji Allah.

Lalu, sedarlah bahawa keperitan itu suatu kenikmatan!

Ya Allah, kurniakanlah kami kesabaran dengan kesabaran yang baik.

p.s. Asyik terkenang seorang ukhti yang aku rindui. Ukhti, jika aku tidak dapat menjengukmu... ketahuilah bahawa keperitanmu itu dicatat oleh Allah sebagai suatu kenikmatan jika kita redha dengan sebenar-benarnya. Semoga kamu beroleh kesembuhan dan kekuatan serta kecintaan daripada Allah.

Thursday, 6 October 2011

Ma'adin



Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah saw. bersabda,

الناس معادن، خيارهم في الجاهلية خيارهم في الإسلام إذا فقهوا 

"Manusia itu seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliyyah, terpilih juga semasa Islam, sekiranya mereka faham." (riwayat Bukhari)


Dahulu kita belajar dalam Fizik, kualiti logam termasuklah tahap kemuluran (ductility) yang tinggi, membolehkan ia mudah dibentuk mengikut acuan yang dikehendaki. Sifat ini yang membolehkan kita mampu memiliki teknologi menukarkan handphone sebesar bekas air kepada sekecil-kecil handphone saiz poket. Logam seperti emas dan perak juga menjanjikan kemewahan dengan nilainya yang tinggi sepanjang zaman. Selain itu, kekuatan logam menjadikan ia benda terpenting dalam pembangunan dan teknologi. Mungkin kita terlupa bahawa pasak-pasak bangunan yang tersembunyi di dalam binaan konkrit adalah logam.

Lagi advance kalau kita belajar dalam engineering, logam juga elastik - ia mampu kembali ke bentuk asal apabila dikenakan stress, mengikut hukum Hooke's. Ia tidak seperti plastik yang berubah bentuk terus apabila dikenakan daya. Logam juga tidak mudah rapuh (brittle) seperti kaca. Selain mengalirkan haba dan elektrik, logam juga menjadi semakin berkualiti secara dalaman (microstructure) apabila kita pandai memanipulasikan suhu ke atasnya.


Kualiti setiap logam tidak berubah sepanjang zaman. Pisau tetap berguna sama ada digunakan untuk memotong sayur atau menikam manusia.

Jiwa-jiwa di bumi ada kelogaman masing-masing. Apa yang membezakan baik dan buruk penggunaanya adalah kefahaman. Iaitu faham erti kehambaannya di muka bumi ini. Faham tujuan ia diciptakan. Faham apa peranannya dalam dunia.

Dengan kefahaman ini Umar r.a. bertukar daripada orang yang paling ingin membunuh Nabi s.a.w. kepada orang yang paling mempertahankannya. Ia berubah daripada orang yang paling ingin mengangkat pedangnya kepada orang islam kepada orang yang mengecutkan perut-perut kafir Quraisy dengan ugutan keras lagi menakutkan,  

"Barangsiapa yang sanggup menjadikan ibunya keseorangan disebabkan kematian anak, meletakkan anak-anak mereka menjadi yatim piatu lantaran kematian bapa, sanggup menjadikan isteri kesayangannya menjadi balu kerana kematian suami, marilah kita adu senjata di sebalik bukit ini."

Lalu menjadi satu-satunya orang yang berhijrah secara terang-terangan ke Madinah tanpa sesiapa pun yang berani menghalangnya.

Begitu juga Khalid al-Walid r.a. dengan kehandalannya dalam peperangan, Amru r.a. dalam kemahirannya bersyair. Syair jahiliyyahnya kini bertukar menjadi syair-syair yang mempertahankan dan menceritakan keindahan islam. Tidak lupa Muaz bin Jabal r.a. menyumbangkan kepintaran sasteranya kepada pemahaman al-Quran melebihi sahabat-sahabat yang lain. Tidak disebut lagi kemampuan menulis yang tidak dimiliki kebanyakan penduduk Makkah tetapi digunakan oleh Zaid bin Thabit r.a. untuk menulis kalam-kalam Allah.

Di zaman ini juga mata dan telinga kita juga tidak terlepas daripada menangkap susuk-susuk tokoh yang menggunakan kepakaran masing-masing kepada islam. Bijak pandai dalam bakat dan bidang masing-masing - bahasa, ekonomi, multimedia, seni, kedoktoran, perguruan, kejuruteraan etc. semuanya itu hanya bermanfaat kepada islam sekiranya kita ada kefahaman itu.





Situasinya hanya ada dua: Jika tidak digunakan kepada islam, ia akan menyalurkan manfaatnya pada jahiliyyah. Dan jika digunakan untuk islam maka ia akan mampu melawan jahiliyyah. Tidak ada yang selain itu kerana tidak wujud logam yang sia-sia.

Kamu yang lebih mengetahui apa logam-logammu. Persoalannya jalan manakah yang kamu pilih?



Sunday, 2 October 2011

KL2JB


Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. bahawasanya ada seorang lelaki berziarah kepada seorang saudaranya di suatu desa lain, kemudian Allah memerintah seorang malaikat untuk melindunginya di sepanjang jalan yang dilaluinya. Setelah orang itu melalui jalan itu, berkatalah malaikat kepadanya: “Ke mana engkau menghendaki?” Orang itu menjawab: “Saya hendak ke tempat seorang saudaraku di desa ini.” Malaikat bertanya lagi: “Adakah suatu kenikmatan yang hendak kau peroleh dari saudaramu itu?” Ia menjawab: “Tidak, hanya saja saya mencintainya kerana Allah.” Malaikat lalu berkata: “Sesungguhnya saya ini adalah utusan Allah untuk menemuimu – untuk memberitahukan – bahawa sesungguhnya Allah itu mencintaimu sebagaimana engkau mencintai saudaramu itu karena Allah.” (Riwayat Muslim)

Alhamdulillah.

Aku telah melalui suatu perjalanan yang amat indah. Walaupun di situ tiadalah Taj Mahal, Piramid, Stonehenge atau kesempatan untuk duduk di tepi laut sambil menulis puisi, apa yang disimpan dalam kotak hati jauh lebih berharga daripada apa yang aku sempat capture dalam kotak memori.

Negeri Darul Takzim merupakan negeri yang paling aku ingin kunjungi walaupun aku pernah menjejakkan kaki di situ pada tahun 2002 dan 2009. Johor bagiku, adalah negeri yang penuh dengan aset dan harta berharga, sebuah negeri 'berjiwa besar' dan sangat seronok untuk di'explore'. Johor adalah satu-satunya negeri yang apabila aku menjejakkan kaki di atas tanahnya, perasaannya seperti berada di sebuah negara yang jauh. 

Di sini aku bergurau sendiri. Kita menggunakan lebuhraya PLUS yang sama tetapi dari JB ini Melaka dan Kuala Lumpur itu adalah utara. Tidak tertulis Ipoh atau Alor Setar di signboard PLUS kerana itu bagaikan suatu dunia yang jauh. Apabila aku berada di kampung, Johor Bahru pula hanyalah suatu petunjuk yang mengatakan anda sedang menuju ke selatan. Loh kalau dah ada di JB, mana lagi arah jalan ke selatan? :) Perspektif jadi berbeza apabila berada di sudut pandang yang lain.

Jaulah = Fikir, Zikir, Syukur dan Sabar

Aku mengenangkan pengorbanan akhawat yang datang sejauh JB ke KL untuk memberi pengisian selama beberapa jam, kemudian pulang semula ke JB. Bayangkan jika ia bersusah-susah mengorbankan tidurnya di lebuhraya utara selatan itu semata-mata untuk bertemu dengan pendengar-pendengar yang tidak bersedia dan bermain-main. Subhanallah jikalau niatnya bukan kerana Allah swt., maka pengorbanannya tidaklah sesohih ini. Betapa seriusnya ia dalam menyeru kepada Allah.

Aku juga mengenangkan akhawat yang sanggup naik bas seawal satu pagi dan meninggalkan jaulahnya yang best demi tuntutan liqa' bersama adik-adik. Boleh saja ia beri alasan yang ia sedang berada jauh dari KL atau ia sedang tidak sihat. Pengorbanan itu hanya semakin menebalkan sticker 'dakwah menuntut keseriusan dan kesungguhan' di wajahnya. Kerana dia juga aku ada pengalaman menaiki bas dari Johor ke Kuala Lumpur buat pertama kalinya hee.

Bagaimana mereka menyantuni akhawat lain dan masyarakat. Bagaimana adab mereka. Bagaimana cara mereka saling mengasihi... Itu mungkin tidak dapat dipelajari dalam usrah atau daurah kebiasaan.

Melihat mereka ini, aku menyedari bahawa perjalanan aku masih jauh. Jalan ini suatu jalan yang panjang yang menggesa aku mengutip pengalaman-pengalaman di setiap hentian. Kerja kita masih banyak. Pengorbanan kita untuk islam masih kecil. Sahutan hidup dan mati demi islam itu masih lagi suatu bisikan sayup. Kalau perjalanan ini ibarat Kuala Lumpur ke Johor Bahru, mungkinkah aku masih di Petaling Jaya? Oh aku telah mula merindui Melaka, Batu Pahat, Skudai!

Ya Allah, semoga jaulah ini mempertemukan aku dengan lebih banyak saksi di langit dan bumi untuk membantuku di akhirat kelak. Semoga dengannya aku semakin sabar, ikhlas, ihsan dan bertaqwa.

:)

p.s. Oh Allah, aku kena banyakkan membaca!