Monday, 10 October 2011

Keperitan Untuk Kenikmatan



Sesungguhnya dunia itu menyakitkan. Itulah sebabnya orang-orang yang soleh sejak zaman dahulu begitu merindui akhirat. Alam yang kekal sejahtera selamanya. Selamanya itu bermaksud tiada penghujung kerana semua makhluk termasuk masa telah 'expired'.

"Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui." (29:64)

Aku begitu terkesan dengan kisah Uwais al-Qarni ra., seorang pemuda yang tidak mahu dikenali di bumi tetapi terkenal di kalangan penduduk langit. Sehingga Allah sendiri mewahyukan kepada Rasulullah s.a.w. akan khabar kedatangan Uwais ke Mekah semasa ketiadaan Baginda. Setelah Rasulullah s.a.w. wafat, para sahabat menanti kedatangannya untuk mendapatkan doanya seperti yang disarankan Baginda. Setelah uwais meninggal dunia, para penghuni langit datang berbondong-bondong mengiringi jenazahnya dan ketika itu barulah penduduk kampungnya gempar - siapa sebenarnya Uwais al-Qarni ini sehingga begitu ramai 'orang asing' datang mengiringinya?

Subhanallah. Itulah kisah seorang lelaki yang bersusah-susah untuk dapat bertemu dengan Rasulullah s.a.w., juga lelaki yang sangat memuliakan ibunya, lelaki yang mengorbankan harta dan jiwanya demi Allah dan Rasulnya, lelaki yang paling tidak dikenali manusia tetapi paling 'popular' di kalangan malaikat.



Kita dapat membayangkan kesakitan yang dihadapi Uwais al-Qarni r.a. semasa hayatnya. Antaranya deritanya merindui untuk bertemu Rasulullah s.a.w, peritnya memikirkan ibunya semasa pemusafirannya, kecewa dan patah hatinya tidak dapat bertemu Rasul walaupun dari jauh ia datang serta sakit dalam jiwanya kerana terpaksa pulang dengan segera demi cinta dan janji kepada ibunya yang sakit. Kesakitan di atas kesakitan di dunia.

Aku membayangkan betapa bahagianya Uwais al-Qarni pada ketika ini bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dengan kemuliaan daripada Allah dan para malaikat. Mereka tidak mendapat peluang bertemu di dunia ini, tetapi dihadiahkan pertemuan di tempat yang gilang-gemilang suasananya.

Kita telah menemui banyak formula dan teori mengenai alam. Kebanyakannya teori sains tulen. Allah pula telah mengajarkan kepada kita tentang formula-formula kehidupan di dalam Al-Quran.

"Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan. Maka ditekankan lagi sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan!"

Orang kita pun selalu sebut, "Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian."

Kita ini juga ditimpa kesakitan saban hari. Ada yang sakit diuji dengan luka fizikal, ada yang sakit diuji dengan masa yang cepat, ada yang sakit untuk sabar menjadi orang asing di tempat baru, ada sakit menahan cinta dan rindu, ada yang sakit menyesal apabila tergelincir kerana kesilapan, sakit kehilangan, sakit berpenat lelah berusaha, sakit dalam usaha berlapang dada, sakit untuk bertahan supaya tidak tidur, sakit dalam berharap. Semuanya sakit.

Bertabahlah! Kerana sakit-sakit ini tidak akan wujud lagi di dalam syurga. Tidak wujud lagi luka, masa, sabar, suruhan menahan, sesalan, kesilapan, kehilangan, penat atau suruhan berusaha. Yang ada hanyalah kenikmatan!

Maka jika anda mengalami perih dan sakit di dunia ini, maka anda selangkah menuju ke arah lumrah kehidupan beragama. Jika kesakitan itu kesakitan yang benar, yakni sakit dan terluka kerana Allah, maka anda selangkah mendapatkan janji-janji Allah.

Lalu, sedarlah bahawa keperitan itu suatu kenikmatan!

Ya Allah, kurniakanlah kami kesabaran dengan kesabaran yang baik.

p.s. Asyik terkenang seorang ukhti yang aku rindui. Ukhti, jika aku tidak dapat menjengukmu... ketahuilah bahawa keperitanmu itu dicatat oleh Allah sebagai suatu kenikmatan jika kita redha dengan sebenar-benarnya. Semoga kamu beroleh kesembuhan dan kekuatan serta kecintaan daripada Allah.

2 comments:

Miss Sheikh said...

Opsss...auni rindu kak? ala, dekat jer ansar tu, jgn segan2 jenguk ye. sebenarnya bukan jarak yg memisahkan kita tetapi hati kita mencipta hallow yang jaraknya sejauh satu tahun cahaya...

Ada seorang pakcik kat Johor tu ckp psl kebahagiaan.kita bahagia sgt bila org tersentuh dengan islam,kita bahagia sgt2 blh tidur tepi jamban(ni kes IM di Mesir), kita bahagia bila terpaksa utk berlapar demi memberi infak pada dakwah ni. kita bahagia bila terpaksa berjalan kaki ke pertemuan bahagia kita dengan berjalan kaki dek terpaksa menjual basikal utk memberi infak buat palestin.

Namun, kita terasa perit bilanya duri kecil tertusuk di hati kita. hati kita yang amat fragile itu. itulah istimewanya manusia itu-tergantung pada kebesaran hatinya. hatinya yang merah itu.

buatmu ukhti, maafkan merepeks di petang hari ni.tp, kumahu kau tahu, belog ini sgtlah menarik dan tersusun. I LOIKE!!!! but can be one...

Munashah said...

Salam, akak. Jzkk atas pencerahan. Betul, saya pun menyedari bahawa kekuatan hati tu sangaaaat penting. Susah macam mana pun, rasa bahagia. Saya rasa tak layak dibandingkan dengan ikhwan hu hu. Malu...

InsyaAllah kak nanti saya singgah Ansar. Hari tu pergi tapi ada akak Jakarta je. Yang lelain ada program kot agaknya. Dapat hirup udara rumah akhawat pun kira top up gak :)

Jzkk.