Thursday, 29 September 2011

Ayah




Hari ini saya pergi melawat bos saya yang dimasukkan ke dalam wad kerana serangan jantung. Beliau begitu gembira dengan kedatangan kami walaupun badannya lesu. Keadaan beliau mengingatkan saya kepada ayah.

Ayah telah meninggalkan saya pada hari terakhir sebelum saya pulang ke kampung pada akhir tahun ketiga. Dan ayah meninggalkan tiga orang adik perempuan saya beberapa jam selepas pulang dari menghantar mereka ke asrama. Dan ayah meninggalkan emak beberapa minit setelah emak keluar untuk meminta pertolongan.

Hari ini, saya rindukan ayah.

Saya pasti jika ayah ada, dia akan beria-ia menghantar saya ke temuduga kerja bulan lepas. Ayah juga akan menyimpan business card saya seelok mungkin dalam dompetnya. Dan sudah tentu sahaja dia sangat berbangga yang anaknya ini akhirnya berjaya menjadi seorang jurutera.



Kasih ayah masih hangat dalam hati saya. Saya seolah-olah merasakan ayah masih di sini dan hanya meninggalkan saya untuk beberapa hari sahaja. Dan sudah tentu saya tidak dapat melupakan ciuman terakhir ayah di pipi saya.

Saya berdoa, supaya suatu masa nanti dia akan menyambut saya dengan senyuman bahagia.

Tuesday, 27 September 2011

Da'i yang Kecewa dan Terluka


(Sesuai dibaca oleh muayyid dan ke atas.)

Pengisian yang disampaikan oleh ukhti tersebut memang memberikan kesan yang sangat mendalam dalam jiwa saya. Saya rasa bertuah, kerana dipesan dengan nasihat sebegini pada masa ini, bukannya sebulan, setahun atau dua tahun akan datang. Ini kerana saya telah mula terdedah dengan realiti penyakit itu, dan hanya mampu mengangguk-angguk menyerah kerana semuanya benar-benar belaka.

Kami bertadabbur Surah Al-Hadid ayat 12 sehingga 16. Pendek tapi padat dengan isi.

(Disarankan untuk rujuk ayat-ayat berkenaan dahulu sebelum meneruskan. Kalau tak, susah nak faham.)


"Pada hari ketika kamu akan melihat orang-orang beriman..."

Ya Allah, apakah waktu itu aku hanya menjadi orang yang melihat orang-orang beriman dipenuhi cahaya dari kanan dan hadapan mereka dan mereka diberi pengumuman yang baik semasa di akhirat kelak? Apakah aku hanya golongan yang melihat?

Jika begitu, akukah orang yang memanggil-manggil mereka untuk menunggu dan meminta diberikan sedikit cahaya itu? Tatkala mereka bergerak menuju syurga, aku terkejar-kejar sambil mengungkit bahawa aku dahulu bersama-sama mereka dalam perjuangan.

Aku kan bersama-sama kamu dalam jamaah? Kita duduk-duduk di dalam halaqah bersama-sama? Kita bertilawah bersama-sama?

"Benar, tapi kamu mencelakakan diri kamu sendiri. Kamu hanya menunggu." Jawab wajah-wajah bercahaya itu. Mereka seolah-olah berkata:

Di mana kamu saat dakwah memerlukanmu? Kamu begitu berkobar-kobar semasa di universiti dahulu. Segala tenaga, idea dan wang ringgit telah kamu curahkan tanpa rasa kesal dan jemu. Namun sekarang, zaman pekerjaanmu menyebabkan kamu meminta hak masamu untuk diri sendiri daripada murabbimu. Kamu meminta untuk mereka faham keadaanmu. Kamu mahu mereka mengerti bahawa kamu kini sudah dewasa, kamu ada banyak perkara yang perlu difikirkan. Kamu mengeluh di sana, kamu merungut di sini. Keluhan-keluhan kamu salurkan pada manusia. Meminta mereka mengerti akan keperluanmu.

Kamu hanya menunggu tarbiyyah itu datang membelaimu. Datang sendiri mengetuk pintu rumahmu di kampung atau menjemput dengan karpet merah. Kerana kamu orang yang sibuk. Maka, kamu menunggu layanan terbaik daripada dakwah buat dirimu.

Da'i yang kecewa dan terluka

Kamu menjadi seorang da'i yang kecewa dengan dakwah dan akhirnya pergi membawa diri. Kamu beranggapan dakwah tidak menghargai kamu yang banyak tanggungan itu. Sekurang-kurang, tolonglah faham wahai dakwah, katamu.

Kamu ibarat orang yang tertusuk selumbar di dalam jarinya. Lukanya tidak kelihatan dan tidak berdarah di luar. Tapi kalau disentuh dengan kuat hatta dihembus angin pun terasa sakitnya. Kamu merasakan segala kata-kata dan teguran ditujukan untukmu. Lukamu semakin sakit dengan apa sahaja yang menyentuhnya. Kamu mengeluh lagi di sana sini.

'Kak, saya ada banyak kerja.' 'Kak, saya tak larat. Penat bekerja.' 'Kak, company saya ada projek sekarang.' 'Kak, saya kena jaga mak, belajar, kerja, susah nak cari masa.' 'Kak, saya itu...saya ini...'

Tetapi kamu tidak mendapatkan juga apa yang memuaskan hati kamu. Dakwah mengecewakanmu.

Lama kelamaan, kamu semakin ragu dengan jalan dakwah lalu mula meragui janji-janji Allah. Kamu berasa syak kepada manhaj Islam. Kamu menjadi berprasangka dengan Tuhanmu.

Lalu kemudian jadilah kamu orang yang ditipu syaitan dengan angan-angan kosong.

Loh! Itukan ciri-ciri orang yang menjerit meminta untuk ditunggu dan diberikan cahaya tadi?
Maka sayakah itu?


Menunggu dan menunggu dalam jangka waktu yang panjang dengan membawa lara di dalam hati, menyebabkan hati menjadi keras seperti yang disebutkan dalam ayat ke-16 surah Al-Hadid. Maka, pada ketika itu kamu menjadi tawar hati kepada Tuhanmu. Kamu hilang kekhusyukanmu. Derhaka.

Akhirnya, bermulalah episod da'i yang kecewa dan terluka di dunia.

Betapa mencabarnya ujian di alam pekerjaan. Saya yang berbicara ini begitu takut dengan kata-kata saya sendiri.

Ya Allah, jadikanlah aku orang yang berpaling untuk melihat mereka yang meminta untuk menunggu dan diberikan cahaya, bukannya orang yang menjerit meminta-minta sedikit cahaya itu.

Ya Allah, janganlah jadikan aku seorang da'i yang merungut dan hanya duduk menunggu dibelai dakwah. Janganlah aku disibukkan dengan dunia. Janganlah jadikan aku berkira-kira dengan dakwah demi cintaku kepada keperluan duniawi. 


Ya Allah, begitu peningkatan usia itu menakutkan!

Friday, 23 September 2011

Engkau Fanatik, Aku Cemburu!


Ramli 19!

Sampai sekarang masih tak faham kenapa kaum Adam ni boleh jadi fanatik dan kipas-susah-mati bola. Abang Chelsea. Ngah MU. Tapi ni bukan nak cakap pasal fanatik bola. Cuma bila fikir pasal fanatik terus teringat bola. Tak tahu kenapa he he.

Fitrah manusia cintakan kebaikan. Mereka akan menjadi begitu mudah tertarik kepada seseorang yang dilihatnya berbudi bahasa, berpakaian kemas dan sopan, berakhlak mulia dan sebagainya.

Lalu apabila manusia mula tertarik kepada seseorang, dia terdorong untuk mengenalinya lebih daripada biasa untuk cuba mencari lebih 'bukti'. Sama sahaja kesnya dengan seseorang yang pada mulanya secara tidak sengaja tertekan link video seorang penyanyi misalnya, ia terdorong untuk menekan link yang lain kerana telah tertarik dengan video pertama. Selepas itu, cari biodatanya, blognya, profil laman sosialnya, search nama dan gambarnya di gugel dan ambil tahu aktiviti hariannya serta pandangan orang lain terhadapnya.

Suka.. kenali... semakin suka... kenali... semakin suka...

Ia menjadi fanatik

Ia tidak boleh tidur kalau tidak tahu updatesnya setiap hari. Ia berulang kali melihat laman profil dan blognya setiap beberapa jam walaupun memang tiada perubahan pada laman itu. Ia buka hanya untuk melihat. Itu penyakit rindu.

Kemuncak perasaan cinta adalah cemburu. Disebabkan perasaan cemburu itulah ia mencari jalan 'menyelongkar' segala kisahnya demi mengetahui segala-galanya tentangnya. Tidak ada orang yang boleh mendekatinya atau menyukainya lebih selain daripada diri dia.

Dia membuatkan kita gelisah.

Setiap daya penarik dan kebaikan yang dimiliki oleh seseorang itu ada Pemiliknya. Keindahan itu keindahan-Nya. Mengapa manusia begitu mudah menyuburkan cintanya pada seseorang tetapi begitu payah untuk menabur baja cinta pada pemilik segala kebaikan itu? Keindahan Allah kan lebih Indah?

Jika kita berusaha mengenali seseorang, mengapa susah untuk mengambil langkah untuk semakin mengenali Allah dalam menggapai cinta-Nya?

Aku cemburu jika engkau mencintaiku melebihi cintamu kepada Allah!

Seorang wanita memang akan berbahagia jika ia dicintai oleh seorang lelaki yang setia. Namun wanita solehah sepatutnya cemburu jika ada lelaki yang mencintainya lebih daripada cintanya (cinta lelaki itu) kepada Tuhan. Apalagi jika cinta itu belum halal.

Apakah dia tidak terfikir - yang lelaki itu mencintai seorang wanita secara mendalam dan wanita itu bukan isterinya? Ia juga melebihkan wanita itu daripada Tuhannya. Maka boleh jadi ia jatuh cinta kepada wanita lain dengan cintanya yang belum halal itu?

Katakanlah: ""Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya."" Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik." (At-Taubah : 24)

Tuesday, 20 September 2011

Wow!



 Karena cinta, tubuh berdaki dari tanah liat ini
Sanggup terbang ke langit menuju arasy
Gunung menari dan tangkas geraknya, o Pencinta!
Cinta menurunkan ilham pada bukit Sinai
Karena itu bukit Sinai mabok dan Musa jatuh pingsan

Jika kuikuti bibir yang sehaluan denganku
Aku akan berubah menjadi seruling:
Kulagukan semua yang dapat kulagukan
Tetapi dia yang terpisah dari kekasihnya
Akan terkunci mulutnya dan membisu
Walau tahu ratusan pantun dan gurindam

Apabila mawar pergi dan taman lenyap
Kisah burung bulbul takkan terdengar lagi
Kekasih adalah segala-galanya, pencinta ialah tabirnya
Kekasih ialah hidup, pencinta benda mati
Kalau cinta tak peduli kepadanya,
Jadilah dia burung tanpa sayap

Bagaimana Kesadaran ada di depan dan samping
Jika Kekasih tak ada di depan dan samping
Cinta ingin dunia dan semua yang dicintai dijelmakan
Jika cermin tak mantulkan bayangan apa sebabnya?
Tahukah kau mengapa cermin jiwa tak mantulkan bayangan?

Karena karatnya belum juga dibersihkan 

(Jalaluddin Rumi)

p.s. -

Sunday, 18 September 2011

Jurutera Bersenandung

Bismillahirrahmanirrahim.


Updates.

Alhamdulillah. Aku telah menjejakkan kaki ke alam pekerjaan -yang sekali lagi, menghidangkan babak ala-ala novel dalam kehidupan aku. Aku pernah begitu ingin sekali memiliki kehidupan sebegitu suatu masa dahulu. Namun, babak yang agak menarik ini telah aku tandakan sebagai satu noktah sepi di atas sebuah dinding putih yang besar.

Letakkan aturan hidup mengikut aturan keperluan orang lain. Jika keperluan itu menginginkannya berada jauh dari kesenangan demi orang lain, maka aturan persoalan pekerjaannya apa, tempat tinggalnya mana, suasana sekelilingnya bagaimana, temannya siapa, perlu diatur sebegitu.

Pergh! Kalaulah ia semudah yang disebut. Medan berfikir lebih luas daripada medan bicara. Medan bicara lebih luas daripada medan amal.

Aku khuatir, jika cita-cita yang aku panjatkan ini terjatuh ke dalam harapan senda gurau dan materialistik. Mungkinkah benar aku berasa takut jika tidak menjadi jurutera, aku akan menjadi fitnah kepada dakwah ini? Atau sebenarnya mungkinkah hanya kerana aku takut tohmahan masyarakat yang sesetengahnya tidak percaya akan kebolehan kaum hawa menjadi jurutera? Atau aku takut jika pekerjaanku itu tidak setaraf dengan degree yang diterima? Na'uzubillahi min zalik.

Aku juga khuatir, jika karier yang aku gebang-gebangkan ini menjatuhkan aku dari jalan ini setelah menyibukkan aku dengan kesibukan 'wahn'. Aku akan mula bertanya-tanya, kenapa gaji sedikit, berbanding soalan, kenapa taqwa sedikit?

Berhenti berfikir tentang kepentingan sendiri. Jadi biarlah noktah itu bertitik di situ.

Kerja hanyalah kerja. Ia tidak meninggikan darjat atau kemuliaan seorang manusia di atas manusia yang lain.

Mohon doanya.

Sunday, 11 September 2011

Puisi Sebelum Berangkat

Lambaian antik
Aku sembahkan saat selekoh terakhir
Menyeret ke wajah semalam

Rindu sebelum tercerai
Yang aku tahankan pada engsel keresahan
Bercanda senyap

Pergilah wahai sayang
Jangan tuntut

Sekiranya
Manusia mula menuntut hak dan cinta
Kehambaan akan ditelan keinginan
Lantai pun mahu naik ke langit

Bangun
Dan pergilah wahai kekasih
Carilah segala hitam putih esok


(Siti Munirah Wajhi)

Tuesday, 6 September 2011

Bolt



Bagaimana perasaan anda apabila menyedari bahawa seluruh kehidupan anda adalah sebuah pertunjukan TV semata-mata? Itulah perasaan seekor anjing yang bernama Bolt, yang percaya dirinya mempunyai kuasa luar biasa yang tiada batasan. Ia juga mempunyai kuasa salakan yang luar biasa sehingga mencetuskan gelombang udara yang sangat kuat. Sehinggalah pada suatu hari ia keluar ke dunia sebenar, ia mendapati semua kuasa supernya hilang. Bolt akhirnya sedar bahawa ia sebenarnya tidak mempunyai kuasa apa-apa pun dan segala efek aksinya sebelum ini hanyalah suatu lakonan di dalam set penggambaran.


Ada kata-kata yang selalu disebut, 'dunia ini ibarat pentas lakonan'.

Dan jika kita meneliti dengan lebih mendalam akan maksud Allahu Ahad, kita akan menyedari hanyalah Allah yang Wujud, Tunggal di alam ini. Kita tidak wujud, kita adalah pelakon-pelakon di dalam dunia yang sudah disediakan skripnya. Ending cerita sudah siap, tetapi hanya diketahui oleh Allah (Penerbit, Pengarah) dan para malaikat (krew-krew).

Kita juga tiada apa-apa daya di dalam dunia ini. Kita melambungkan bola ke dalam jaring tetapi Allah yang telah menggerakkan tangan kita; Allah juga yang memasukkan bola itu ke dalam jaringnya. Mereka di dalam medan Perang Badar yang melibas pedang ke arah orang kafir tetapi Allah yang memotong leher-leher mereka. Program yang kita uruskan dengan tangan-tangan kita berhasil, tapi sebenarnya Allah yang menjayakannya. Adik-adik yang dapat pencerahan melalui kata-kata kita, sebenarnya Allah yang menggerakkan hati kita, lidah kita untuk mengucapkan kata-kata itu dan Allah menggerakkan hati adik-adik kita itu untuk menerimanya.

Itulah sebabnya surah itu dinamakan Surah Al-Ikhlas walaupun tidak ada perkataan ikhlas di dalamnya, kerana kefahaman Allahu Ahad itu akan membuatkan segala amalan kita diikhlaskan kepada Allah sahaja. Kerana hanya Allah yang Wujud dan menggerakkan jasad-jasad kita.

Maka tak sepatutnya ada sedetik pun rasa bangga apabila dipuji sopan, menundukkan pandangan, berkepimpinan atau rajin beribadah. Wajah yang bercahaya yang bukan kita dapat atas usaha kita tu pun lagilah tak boleh nak banggakan. Semua tu Allah yang buat.

Para sahabat jauh daripada sifat riyak kerana mereka memahami Allahu Ahad.

Bolt menggerakkan kakinya untuk mengkarate pak cik penjahat, bukanlah disebabkan Bolt pak cik itu tumbang. Pak cik itu tumbang kerana pengarah sudah tetapkan pak cik itu akan tumbang. Tunggu Bolt beraksi sahaja.



Begitulah kita manusia.


Patutlah ada sahabat Nabi s.a.w. yang setiap kali solat berjamaah, ia suka membaca Surah Al-Ikhlas di samping surah lainnya sesudah Al-Fatihah kerana ia memahami dengan mendalam maksud surah itu. Kita-kita ini pula mengulang surah itu dalam setiap solat kita bukan kerana suka, tetapi kerana surah itu pendek :-|

Mari sama-sama muhasabah.