Tuesday, 28 July 2009

Doa


Sedang elok menadah tangan untuk berdoa, si kecil Afi yang duduk di sebelah saya tiba-tiba membetulkan kedudukan tangan saya. Mungkin kerana saya dilihat menangkupkan tangan saya ke mulut ketika membaca doa lalu dia menarik tangan saya supaya lebih kelihatan seperti sedang menadah.

Betul juga, fikir saya. Nak menagih sesuatu buatlah cara seperti seorang penagih (bukan dadah).

Nak minta buatlah cara macam nak minta. Waktu berdoa sepatutnya lebih kemas dan rasmi daripada waktu menghadap menteri dan raja atau temuduga. Namun, orang lebih kerap garu-garu, berbual, tengok sini sana dan menguap apabila sedang berdoa. Kalau kita tengok temuduga macam itu pun dah rasa macam nak tolak awal-awal. Apatah lagi Tuhan?

p/s: Syukurnya Allah itu Maha Pemurah.

Friday, 24 July 2009

Che Abe

Ayah mengusap jambul saya dengan gembira tertahan-tahan.

Saya memandangnya dengan malu. Bukan malu kerana isu itu tapi kerana kali ini saya hilang kata-kata untuk membalas usikan ayah. Saya dapat rasakan hormon-hormon menular laju ke pipi saya, sehingga wajah merah merona di pipi sendiri dapat dilihat dari cermin muka ayah.

Beginilah keadaan sekutum bunga yang baru sahaja diminta izin untuk dipetik oleh seekor kumbang. Kemudian, dia jadi tidak tentu arah, jatuh cinta, rindu, .... walaupun mereka belum berkenalan.

Jejaka, lelaki, atau apa sahaja istilahnya -tidak dinafikan sangat penting dalam kehidupan suatu kaum bergelar kaum hawa. Dengan kehadirannya, kehidupanku yang belum lengkap kini telah dipenuhi, dan jiwa kita mula berkenal dengan perasaan aman yang baru. Kita juga mengenal istilah sempurna dengan method saling melengkapi... Wow, sungguh indah.

Awak memikirkannya sehingga terbatas aturan kehidupan yang sedang dijalani. Salahkah jika kita berawang-awangan, dirgantara? Atau bolehkah kita menyusun jadual impian masa hadapan dalam imaginasi kita?

Soalan cepuk emas.

Biar saya soal kembali kepada awak. Layakkah kita mengisi di dalam hati kita mengatasi Yang Maha Esa, Yang Paling Layak Dicintai? Bolehkah awak mengabai perjuangan-perjuangan sekarang disebabkan sedikit hilang fokus dek kerana menyusun impian-impian rindu awak? Bolehkah kita bertaut pada si ajnabi walaupun hanya dengan hati?

Susah bagi aku si gila bayang untuk menghadam soalan-soalan di atas kerana tautan hatiku di cangkuk yang lain. Biar tampar diri sendiri sekali supaya cangkuk itu cabut. Janganlah longlai mengikut arus.

Hakikatnya, kita sukar fokus pada dua perkara yang kita kejar dalam satu masa yang sama. Kita sedang kejar cinta Allah tetapi dibawa tarikan che abe dari suatu sudut. Akhirnya, kita harus tumpukan fokus pada salah satunya. Dan aneh, saya juga mungkin ditarik sudut che abe. Terbukti sukar!

Suami -yang disayang, dikasih, dimiliki. Tidak perlu berkejaran. Apatah lagi suami yang menarik tangan kita laju untuk bersama-sama mengejar cinta Tuhan. Fokus. Fokus. Pada Yang Esa. Dengan tangan dan pandangan terpandu oleh kekasih. Oh!

Insaflah wahai hati. Isi dengan yang hakiki, kalau tidak -sesat jiwa. Syahdunya.

Hentikan ayam yang masih bersabung.
Pergi jauhkan che abe!

p/s: Mabruk Ukht Shida atas walimah!

Wednesday, 15 July 2009

Pantun Orang Jatuh Cinta (Yang jatuh dalam cinta)

Menabur onar tidak dipinta,
Cerita sengau mengata sahaja,
Adakah benar ini cinta,
Bukan angau anak remaja?

Cerita sengau mengata sahaja,
Kelak peluru kena pemburu,
Rasa angau jangan dimanja,
Akal meluru hati terburu.

Kelak peluru kena pemburu,
Tanpa disuruh tersentap lidah,
Jika berguru mengikut nafsu,
Jiwa keruh tersilap langkah.

Tanpa disuruh tersentap lidah,
Kena batang hidung kita,
Hati yang penuh cahaya Ilah,
Makin hilang perit cinta.

Kena batang hidung kita,
Minta ampunan orang tak hendak,
Ingat ulang itu bisa,
Serah milikan pada yang berhak.

Minta ampunan orang tak hendak,
Fitnah berbisa selama-lama,
Cinta disimpan pada yang layak,
Pada Yang Esa mesti pertama.