Pages

Thursday 1 July 2010

Kesuraman ialah

Kesuraman ialah,
Apabila semua orang telah pergi selepas majlis,
Meninggalkan sepi di sini.

Kesuraman ialah,
Apabila berkumpul dan mampu ketawa,
Dan kemudian masing-masing bersembunyi di suatu sudut untuk mengesat air mata.

Kesuraman ialah,
Apabila melintasi bilik air,
Dan terdengar suara esak-esak menyebut nama ayah.

Kesuraman ialah,
Apabila berjalan di ruang mana pun di dalam rumah,
Terbayang ayah datang dengan wajah tersenyum.

Kesuraman ialah,
Apabila mengesat air mata orang lain,
Sambil menahan lelehan air mata sendiri.

Kesuraman ialah,
Apabila bertanya kepada yang kecil,
Dia menggeleng tidak ingat ayah.

Kesuraman ialah,
Apabila diminta mengambil pakaian untuk jenazah,
Dan terduduk sendirian tersedu melihat baju ayah dalam almari.

Kesuraman ialah,
Apabila mencium dahi ayah,
Yang dirasakan hanyalah kulit sejuk yang berwajah seperti ayah.

Kesuraman ialah,
Apabila melihat emak tertidur,
Dengan air mata berlinangan.

Kesuraman ialah,
Apabila merindui,
Tetapi kepala tidak mahu mengingat-ingat lagi.