Pages

Wednesday, 7 March 2012

Cinta & Prejudis

Segala puji-pujian bagi Allah yang menguasai langit dan bumi dengan kebesaran-Nya, dan menguasai hati-hati manusia dengan kekuasaan-Nya. Dialah yang mengilhamkan cinta dan benci. Dan Dia jugalah yang menggerakkan setiap urat saraf dan sendi hamba-hamba-Nya bagi menjalankan kehidupan mengikut jalan-jalan yang mereka pilih.

Dalam derasnya jari ini yang menaip, semoga perasaan yang mengalir dalam deras yang sama ke seluruh jasad merupakan perasaan yang benar.



Adikku,

Ada suatu tajuk, yang kebanyakan di antara kita malu nak sebut atau bincangkan kerana takut dicop oleh pihak yang lain. Dalam masa yang sama, tajuk itulah yang berlegar-legar dalam kepala kebanyakan antara kita terutamanya pihak yang suka mengecop itu sendiri. Tajuknya ialah cinta. 


Disebabkan sikap-sikap tegas yang diajar terhadap perhubungan, kita tersilap menghukum perasaan cinta itu sendiri. Kita terpaksa bersetuju bahawa cinta itu hanya menjadi halal selepas waktu sekian-sekian -sebelum itu haram, dosa besar, tak boleh.

Kita menyekat terus perkataan cinta. Hanya dibenarkan pada masa tertentu. Sehinggakan jiwa kita merasa begitu sakit dengan peraturan ini. Sakit kerana berlagak suci dan menipu diri sendiri; mahu bertarung dengan fitrah menggunakan peraturan-peraturan yang disalahertikan.



Adikku,

Apakah cinta itu bisa dihalalharamkan?

Cinta itu tiada halal atau haram, tetapi bagaimana melaksanakan cinta itu yang ada halal haramnya.

Sayangnya, kita tidak diajar cara untuk bercinta dan menguruskan rasa cinta. Kita membesar dengan melihat perasaan cinta dihukum dan disekutukan dengan nafsu. Ini sangat menyedihkan.

Akhirnya hari ini, kita berjaya menghasilkan pemuda pemudi yang pandai ‘menjaga diri’ mereka tetapi jiwa mereka telah gagal awal-awal lagi. Jiwa mereka sakit setiap masa. Terkurung dalam penjara penipuan diri sendiri.

Pada suatu tahap, krisis ini menimbulkan pelbagai penyakit hati.

Mereka menjadi orang-orang yang suka mempertikai tentang semua perkara. 'Dia tu tak beramal pun, kenapa dia dapat kahwin dulu?' atau yang seumpamanya. Hati-hati mereka menghukum/menilai orang-orang yang terlibat dengan cinta, sama ada yang berlaku secara halal atau haram. Mereka tersilap membanding-bandingkan nasib mereka berbanding nasib orang lain dan kadang-kadang tersilap menggesa Allah dalam doa-doa mereka.

Kedengaran seperti suatu protes terhadap qadar Allah? Ini adalah produk-produk pemuda pada hari ini.

Inilah realiti yang berlaku dalam jiwa kebanyakan di antara mereka; walaupun mereka enggan mengakuinya.



Maka adikku,

Saya tidak mahu menulis untuk menghalang jiwa-jiwa daripada cinta. Kerana nanti walaupun saya nampak anda mengangguk bersetuju dengan syarah-syarah itu, hanya Allah sahaja yang tahu betapa terlukanya jiwa anda pada saat itu.



Adikku,


Belajarlah bercinta, dengan cara yang benar. Yakni cinta yang tidak perlu disekat dan dihalang, kerana cintanya ternyata mulia. Inilah yang dikatakan cinta Allah dan kerana Allah. Tidak terpisah dengan Allah.

Maka, semuanya perlu berbalik kepada Allah.


p.s. Saya tidak sesekali bermaksud untuk menghalalkan apa yang telah diharamkan!

Tuesday, 17 January 2012

Kenapa?

  1. Kenapa hari ni aku rasa tak bersemangat?
  2. Kenapa mata aku pedih?
  3. Kenapa kepala aku sakit?
  4. Kenapa hari ni aku selekeh sangat?
  5. Kenapa hari ni aku pakai jeans?
  6. Kenapa diorang tak nak buat meeting?
  7. Kenapa font komputer ni kecil sangat?
  8. Kenapa diorang tak beli air lain selain milo dan nescafe?
  9. Kenapa aku rasa mabuk bila minum banyak air?
  10. Kenapa diorang tak solat lagi?
  11. Kenapa aku rasa stress?
  12. Kenapa bila berjalan je rasa melayang?
  13. Kenapa tiga kali aku salah masuk toilet?
  14. Kenapa schneider electric ni jual banyak sangat komponen elektrik?
  15. Kenapa aku nak tolong ganti kelas tuisyen walaupun tak larat?
  16. Kenapa jalan yang aku lalu semuanya jam?
  17. Kenapa bising sangat bunyi typewriter kat belakang ni?
  18. Kenapa tempat sebelah aku ni kosong?
  19. Kenapa aku tak siap-siap buat kerja editing?
  20. Kenapa aku tak menulis kat muharikah lagi?
  21. Kenapa bila nak tulis je, ayat tak jadi?
  22. Kenapa roti yang aku beli ni keras?
  23. Kenapa telefon aku tak ada button transfer?
  24. Kenapa? Kenapa? Kenapa??


Maaf, rasa nak demam tapi tak demam-demam, kerja pula banyak.

Saturday, 10 December 2011

Celaka

Astaghfirullahal 'azim.

Ya Allah, sesungguhnya aku sangat jarang mensyukuri segala nikmat kebaikan yang telah Engkau berikan kepadaku. Ternyata masih tebal debu-debu jahiliyyah pada wajah ini yang selayaknya ditabur tanah. Aku khuatir, jika usaha yang aku lakukan ini hanyalah sebuah drama boneka yang dimainkan si penghibur demi mencari keredhaan manusia di atas nama ketuhanan.

Tatkala aku mencipta mahligai di dunia, apakah mahligai akhiratku telah lama runtuh kerana dibangunkan dengan batu-bata dari lembah kepura-puraan?

Sungguh ikhlas dan riak itu bermain di antara dua tali yang nipis. Dikala aku sedang leka memintalnya, tali itu terputus dan jariku terluka dengan halusnya gesekan kemunafikan.

Wahai hati yang rapuh, mengapakah engkau meminta-minta secara memaksa dan menjatuhkan semangat dirimu seolah-olah Allah tidak pernah memberimu apa-apa kebaikan? Celakalah kamu, celakalah.

Sungguh aku hina. Aku tidak layak beroleh hadiah indah kerana aku hanyalah manusia yang tamak luaran tetapi hatinya pengecut untuk merembat segala kebenaran dan kepastian. Mengapa aku tidak menyalahkan diri sendiri sebagaimana terlihat salahnya hati aku bangkit menyambut deruan itu? Tatkala mereka melangkah pergi dahulu, apakah aku layak mengharapkan panggilan yang sama?

Celakalah kamu, celakalah.

Ya Allah, Engkau lebih mengetahui apa yang selayaknya buat diriku yang hina ini. Hanya kepada-Mu aku berharap, hanya kepada-Mu aku sembah dan hanya kepada-Mu aku memohon pertolongan.