Wednesday, 7 March 2012

Cinta & Prejudis

Hidup memberi dua pilihan, cinta atau benci. Tiada jalan tengah. (kredit)

Segala puji-pujian bagi Allah yang menguasai langit dan bumi dengan kebesaran-Nya, dan menguasai hati-hati manusia dengan kekuasaan-Nya. Dialah yang mengilhamkan cinta dan benci. Dan Dia jugalah yang menggerakkan setiap urat saraf dan sendi hamba-hamba-Nya bagi menjalankan kehidupan mengikut jalan-jalan yang mereka pilih.

Dalam derasnya jari ini yang menaip, semoga perasaan yang mengalir dalam deras yang sama ke seluruh jasad merupakan perasaan yang benar.



Adikku,

Ada suatu tajuk, yang kebanyakan di antara kita malu nak sebut atau bincangkan kerana takut dicop oleh pihak yang lain. Dalam masa yang sama, tajuk itulah yang berlegar-legar dalam kepala kebanyakan antara kita terutamanya pihak yang suka mengecop itu sendiri. Tajuknya ialah perkahwinan.

Berkenaan tajuk ini, ramai di kalangan kita yang mengalami krisis makan dalam dan rendaman air mata tatkala melihat satu persatu rakan yang kita kenali melangkah ke alam rumahtangga. Kita mengucapkan tahniah dalam senyuman, tetapi hati kita menangis kecemburuan. Saya tidak bercakap tentang anda, tetapi diri saya sendiri.

Disebabkan sikap-sikap tegas yang diajar terhadap perhubungan, kita tersilap menghukum perasaan cinta itu sendiri. Kita terpaksa bersetuju bahawa cinta itu hanya menjadi halal selepas waktu sekian-sekian -sebelum itu haram, dosa besar, tak boleh.

Kita menyekat terus perkataan cinta. Hanya dibenarkan pada masa tertentu. Sehinggakan jiwa kita merasa begitu sakit dengan peraturan ini. Sakit kerana berlagak suci dan menipu diri sendiri; mahu bertarung dengan fitrah menggunakan peraturan-peraturan yang disalahertikan.



Adikku,

Apakah cinta itu bisa dihalalharamkan?

Cinta itu tiada halal atau haram, tetapi bagaimana melaksanakan cinta itu yang ada halal haramnya.

Sayangnya, kita tidak diajar cara untuk bercinta dan menguruskan rasa cinta. Kita membesar dengan melihat perasaan cinta dihukum dan disekutukan dengan nafsu. Ini sangat menyedihkan.

Akhirnya hari ini, kita berjaya menghasilkan pemuda pemudi yang pandai ‘menjaga diri’ mereka tetapi jiwa mereka telah gagal awal-awal lagi. Jiwa mereka sakit setiap masa. Terkurung dalam penjara penipuan diri sendiri.

Pada suatu tahap, krisis ini menimbulkan pelbagai penyakit hati.

Mereka menjadi orang-orang yang suka mempertikai tentang semua perkara. 'Dia tu tak beramal pun, kenapa dia dapat kahwin dulu?' atau yang seumpamanya. Hati-hati mereka menghukum/menilai orang-orang yang terlibat dengan cinta, sama ada yang berlaku secara halal atau haram. Mereka tersilap membanding-bandingkan nasib mereka berbanding nasib orang lain dan kadang-kadang tersilap menggesa Allah dalam doa-doa mereka.

Kedengaran seperti suatu protes terhadap qadar Allah? Ini adalah produk-produk pemuda pada hari ini.

Inilah realiti yang berlaku dalam jiwa kebanyakan di antara mereka; walaupun mereka enggan mengakuinya.



Maka adikku,

Saya tidak mahu menulis untuk menghalang jiwa-jiwa daripada cinta. Kerana nanti walaupun saya nampak anda mengangguk bersetuju dengan syarah-syarah itu, hanya Allah sahaja yang tahu betapa terlukanya jiwa anda pada saat itu.



Adikku,

Belajarlah bercinta dengan cara yang benar.

Kekecewaan soal itu bukanlah segalanya dalam hidup. Pada saat ini kita masih lagi gelisah menanti ketentuan indah itu, walhal kegelisahan itu boleh disorok-bawah-karpet-dan-sibukkan-diri-dengan-perkara-penting-lain sehingga kita terlupa akan kisah ini. Hanya apabila ia datang mengetuk pintu hati kita, saat itu barulah syahdu apabila berperasaan dengan perasaan yang betul pada masa yang betul.

Hmm, mungkin semua orang dah hadam dengan syarah-syarah begini.

Tetapi kalau kita benar-benar meletakkan pengharapan pada Allah dan menguruskan kehidupan dengan betul, insyaAllah kita mampu tersenyum setiap kali mengenangkan soal jodoh, kita tahu dia ada di sana, suatu tempat yang kita tak tahu. Tetapi dia pun sama-sama menunggu pertemuan dengan kita. Pada saat ini, kita akan tertawa kerana Allah adalah pihak tengah kita (yang Maha Berkuasa pula tu). Kita tanyakan khabar si dia melalui Allah. Kita mendoakan semoga dia itu berada dalam keadaan iman dan islam etc. etc. Err.

Belajarlah bercinta, dengan cara yang benar. Yakni cinta yang tidak perlu disekat dan dihalang, kerana cintanya ternyata mulia. Inilah yang dikatakan cinta Allah dan kerana Allah. Tidak terpisah dengan Allah.

Maka, semuanya perlu berbalik kepada Allah.

Pengharapan dan doa kepada Allah memang sangat penting. Betul ni.


Adikku,

Saya menulis ini bukan kerana saya merasakan saya ini bijak pandai dalam hal ini, tetapi kerana saya melihat ada sesuatu yang tidak kena dalam hati-hati kita (yang mungkin saya juga lebih memahami hal ini kerana saya terlebih dahulu melalui cerita yang sama).


Adikku,

Jangan lupa hafal dan amalkan doa-doa ini:

1. Al-Furqan : 74, maksudnya:

"Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa."

2. Ibrahim : 40, maksudnya:

"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku."

3. Ali 'Imran : 38, maksudnya:

"Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan."

Berdoalah! Semoga Allah permudahkan.


p.s. Saya tidak sesekali bermaksud untuk menghalalkan apa yang telah diharamkan!

No comments: