Sunday, 27 February 2011

Yang Pentingkan Diri Sendiri


Segala puji bagi Allah yang mengeluarkan siang dari malam dan memberi petunjuk.

Mencintai-Mu tak mengenal waktu,
Tak mengenal puitis,
Hanya tulusnya hati,
Mencintai-Mu tak mengenal ragu,
Keyakinan hatiku hanya untuk diri-Mu,
Selalu.

Adalah menjadi suatu kepastian bagi setiap manusia di atas muka bumi ini untuk mencari cintanya yang sejati. Allah telah mencampakkan fitrah yang sangat indah ini dalam makhluk-Nya, ditambah pula dengan kelebihan akal manusia untuk mengkaji, menghayati, mengulangi bibit-bibit cinta itu.

Untuk bertahun-tahun, saya mencari cinta yang sejati ini di semua kawasan yang saya lalui. Saya telah menemui beberapa daripadanya yang dirasakan sejati. Namun, ada yang kurang sejati malah tidak sempurna. Saya sering bertanya kepada Tuhan, fitrah di dalam diriku ini begitu meyakinkan akan kewujudan cinta sejati, tetapi siapakah ia?
 
Who next? Your mother. Who next? Your mother. And then your faaaaaaather.
 
Pencarian cinta sejati ini mampu membuatkan semua manusia menjadi begitu pentingkan diri sendiri. Suami isteri yang bergaduh adalah kerana salah satu kemahuannya tidak dilengkapkan. Itu untuk diri sendiri. Seseorang berebut-rebut di kaunter tiket bas untuk dapat pulang ke rumah, supaya dapat menziarahi ibu bapa, supaya dengannya ibu bapa redha, lalu ia berasa tenang dan bahagia. Ini adalah untuk kebaikan diri sendiri. Yang berada di baris hadapan mestilah mereka yang telah berusaha awal untuk kejayaan yang ia inginkan. Juga untuk diri sendiri. Allah telah berfirman, "Fastabiqul khairat" yang bermaksud, "Berlumba-lumbalah dalam membuat kebaikan."

Malah, itsar di dalam ibadah adalah dibenci.

الإِيْثَارُفِي الْقُرَبِ مَكْرُوْهٌ، وَ فِي غَيْرِهاَ مَحْبُوْبٌ

Yang bermaksud: Mendahulukan orang lain dalam masalah ibadah, dibenci. Namun dalam masalah lainnya, disukai. 

Umar ra. sentiasa berusaha mendahului Abu Bakar ra. dalam bersedekah dan ibadah lain. Tidak boleh mengutamakan orang lain dalam soal ibadah kita. Mesti berebut-rebut untuk mendapat tempat dalam saf hadapan, sama ada saf solat atau saf perjuangan. Di sini, Allah telah menekankan bahawa manusia mesti berusaha untuk diri sendiri. Pahala untuk diri sendiri. Jadi, memang patutlah manusia itu mementingkan diri sendiri.

Bak kata orang Melayu bila ditegur akan kesalahan: "Kubur lain-lain, bro." :-)
 
Tetapi yang anehnya, tahap kepentingan diri seorang mukmin itu begitu tinggi, kerana ia 'aim' akan kepentingan akhirat. Ia ingin berada di tahap tertinggi. Ingin ingin berada di kalangan abid yang pertama-tama dapat melihat wajah Allah. Ia begitu mementingkan diri sendiri sehingga ia sanggup berlapar kerana ingin mengenyangkan 'akh/ukht'nya. Ia  begitu mementingkan diri sehingga ia sanggup mengorbankan jiwa, harta dan masanya demi keluar menyeru manusia kepada Allah. Ia begitu 'selfish' sehingga sanggup terjun ke dalam lumpur jahiliyyah yang kotor dan busuk demi menarik keluar manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada penyembahan Allah semata-mata.

Abu Bakar ra. begitu pentingkan diri sendiri sehingga sanggup membiarkan dirinya dilukai binatang berbisa demi melindungi Rasulullah s.a.w ketika di dalam gua tsur. Khadijah ra. memang pentingkan diri sendiri sehingga ia sanggup memberikan semua hartanya ketika umat islam dipulau dan dihalau ke lembah bukit selama tiga tahun.

Al-Bara' begitu mementingkan diri sendiri sehingga sanggup mencampakkan dirinya di dalam kota musuh demi mencari jalan membuka pintu kota itu lalu ia gugur syahid. Hanzalah ra. juga tidak terlepas daripada mementingkan dirinya apabila ia bangkit menyeru seruan jihad dan tegar meninggalkan isterinya pada malam perkahwinannya lalu akhirnya ia juga gugur syahid.



Abu Dzar ra. begitu mementingkan diri sehingga ia tidak mahu mengangkat wajahnya dari tanah sehingga Bilal ra. memijak wajahnya semata-mata kerana ia sesal akan kelancangan lidahnya yang menghina bekas hamba  yang mulia itu.

Matlamat seorang mukmin itu begitu tinggi, sehingga ia sanggup berkorban apa sahaja demi kepentingan matlamatnya itu. Ia begitu obses akan kehendak dirinya untuk menggapai cinta sejati itu, kerana ia tahu:

Di dalam al-Quran, Allah begitu menitikberatkan cinta-Nya kepada hamba dan cinta hamba kepada-Nya. (Cth: ”Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertakwa.” (At-Taubah : 7) dan ”Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan mencintai orang-orang yang mensucikan diri.” (Al-Baqarah : 222))

Juga yang di sini sangat bermanfaat.

Jalan keselamatan adalah cinta Allah. Bahkan cinta sejati itu adalah cinta Allah. Semua orang juga begitu mementingkan diri sendiri demi mencapai cinta sejati itu. Jadi apa sahaja yang ilaLlah (menuju Allah), maka ia rebutkan, termasuklah mendahulukan Allah dari yang selain-Nya, mencintai/mencontohi kekasih Allah, mencintai dan mentaati suami/ibubapa, mencintai saudaranya (lalu itsar), melaksanakan amar ma'ruf nahi mungkar, berkorban dan sebagainya.
 
Aim - anak tangga pertama dalam menuju jalan Allah.

Di dalam dunia ini, tidak ada yang tidak mementingkan diri sendiri. Yang membezakan di antara manusia ialah di mana martabat sifat itu ia letakkan. Kepentingan sementara dan duniawi semata-mata, atau yang selamanya kekal di akhirat kelak. ilaLlah atau li dunia yusibuha? (Hadith 1)

Cinta ini, mengatasi segala-galanya... Kemudian katakan: "Malangnya....  (sambil melihat kepada diri sendiri)." Dan sambung ayat mengikut muhasabah sendiri-sendiri. Nafsi-nafsi.

Ya Allah, sesungguhnya kemudahan dan kesulitan itu adalah milik-Mu. Permudahkanlah urusan kami dalam menjalankan ketaatan kepada-Mu...

p/s: Sudahkah kita mengingati Allah pada hari ini?

Thursday, 24 February 2011

Buli-h Balik

Ini kali pertama aku tiba awal. Seminggu sebelum semester bermula. Orang lain ada yang datang dua hingga tiga minggu lebih awal, dalam usaha untuk menyiapkan final year project masing-masing. Jadi, aku tidaklah hebat.

Minggu ini, Monash agak sesak dengan pelajar tahun pertama yang baru mendaftar. Laluan di auditorium terhalang dek aturan manusia untuk mendaftar apa aku tidak tahu. Di sekitar Monash riuh sekejap-sekejap, terutamanya apabila pelajar tahun pertama dibawa melawat oleh fasi dalam kumpulan masing-masing. 

Bangunan Dua penuh dengan orang yang masih berurusan tentang hal kewangan. Aku selalu kata, yuran untuk satu subjek di sini boleh digunakan untuk menunaikan umrah. Di tingkat dua pula orang sibuk dengan hal student ID etc.

Yang membezakan pelajar baru dan lama ialah nilai keyakinan yang terpancar pada langkah dan pandangan matanya. Orang lama lebih yakin melangkah. Pelajar baru mempunyai tingkah yang lebih ragu-ragu tetapi bersemangat dan fresh!

Di perpustakaan orang sibuk allocate timetable masing-masing. Tingkat 3 masih lengang.

Engineering course management office penuh dengan pelajar tahun dua yang masing-masing mengisi borang yang sama. Tukar disiplin. Yang mechanical nak tukar ke electrical. Yang chemical nak tukar ke mechatronic. Mengenangkan aku dua tahun lalu. Dalam sesak-sesak, terpaksa menyelit.

Aku jadi teringat situasi di sekolah yang lebih berbeza. Kalau tak bagi jalan pada senior dikira tak hormat lalu di-fire dengan kuasa lidah maksima. Mujurlah staf kali ini kebanyakannya kakak-kakak yang lebih ramah dan suka senyum, baik seperti aku yang tak pernah fire budak he he.

Aku - dalam preparation. Jiwa, jasad, minda etc. Semalam Dr. KT kata, "You need to give out full dedication because this is your final sem - the workload... the project..." Urghs, it's final sem. Dedikasi itu dalam hati. Tidak boleh ditipu mengenainya. Bolehkah berpura-pura berdedikasi?

Semakin banyak ilmu, semakin rendah hati. Harapnya aku, dan kita semua dikurniakan resmi padi. Semoga tahun ini menjanjikan diri aku yang lebih bertaqwa.

Ini keadaan yang berlaku sekarang. Another few months... and I'm on again.

Yosh!!!!!!

Friday, 18 February 2011

A Post for Myself

Cuti yang bermula pada pertengahan bulan November lalu bakal berakhir separuh bulan sahaja lagi. Cuti musim panas kali ini lebih banyak diisi dengan meluangkan masa bersama emak dan adik. Sekali atau dua sahaja aku ke selatan semenanjung untuk menguruskan urusan sendiri. 

Aku akui, aku sangat gentar untuk bersiap menghadapi semester akan datang ini kerana aku telah bercuti lama. Kelincahan telah berkarat, semangat yang turun telah renyai, keazaman ditelan masa. Kali terakhir aku bercuti lama ialah pada dua tahun lepas. Suatu tempoh yang lama yang telah membedakkan debu di atas batu. Aku harap, debu itu tidak liat untuk dibasuh hujan. Juga tidak terlalu keras lalu menghakis wajah batu yang licin.

Ini semester terakhir, insyaAllah. Apabila aku berpaling melihat diri aku suatu masa dahulu, semua cerita yang tersusun mengikut babak telah selesai dalam renungan beberapa minit. Itulah sebabnya orang kata, masa itu cepat berlalu.

Fikir. Fikir.

Aku masih ingat betapa hebatnya aku menyumpah diri sendiri dahulu. Sumpah sulit yang tersirat dalam hati saja. Akulah yang paling tidak canggih. Akulah yang paling lembab. 

Aku masih ingat interview mara, ketika aku datang tanpa sebarang persiapan. Panggilan itu begitu mengejut. Bukan kerana waktu yang singkat tetapi kerana aku tidak tahu apa yang akan disoal oleh pegawai mara. Aku tidak tahu apa itu interview. Aku tanyakan emak. Emak kata dia hanya pernah di-interview ketika mahu masuk maktab dulu. Guru itu tidak menyoal apa-apa melainkan biodata diri, katanya. Ayah pula tidak pernah melalui proses itu agaknya. Dia seorang polis. Rakan-rakan, entahlah. Aku masih buntu.

Ketika menunggu giliran di luar bilik, orang di sebelah sibuk menghafal nama-nama menteri. Senarainya sehingga berhelai-helai kertas. Mulutnya terkumat-kamit berzikirkan nama menteri. Aku sudah mula gelabah. Bila nampak orang lain lebih baik, aku 'menggagalkan diri sendiri'.

Semasa kecil, aku banyak bermain dengan budak lelaki. Budak perempuan tidak ramai. Aku pula tidak ada kakak. Aku lebih biasa tengok orang make-up basikal daripada make-up muka. Aku tak pandai nak main macam lelaki. Aku pernah jaga gol tetapi kena marah kerana berdiri di dalam gol. Aku betul tak pandai. Tapi itu sahaja yang aku ada untuk mainkan.

Agaknya itu sebabnya kini aku tak suka sangat dengan perkara yang fancy dan girly. Fashion? Lagilah. Sejak tingkatan satu sampai kolej, aku pakai baju emak aku sahaja. Masa masuk SMAP dulu, beratku 26kg dan aku pendek. Aku terpaksa gulung kain baju kurung kerana terlalu longgar dan labuh. Sehingga ada yang tegur kenapa pinggang aku kembung. Rupa-rupanya, ada gulungan macam gulungan kain pelikat ayah kat dalam. 

Kawan-kawan yang lain pandai pakai losyen, bedak, perapi rambut dan sebagainya. Aku asyik tanya, apa tu, apa tu. Bila aku nampak orang lain lebih baik, aku 'menggagalkan diri sendiri'.

Akademik, lagilah. Belum apa-apa lagi masa masuk SMAP dah gagal ujian bahasa inggeris. Duduk dalam set akhir, set lima. Mujurlah kelas itu sangat menyeronokkan. Namun, sekali lagi aku 'menggagalkan diri sendiri' apabila aku nampak orang lain lebih baik.

Ini pandangan aku masa kecil: Kalau kenal nama artis, ia membanggakan. Kalau hafal lagu, bagus. Kalau lagu inggeris, power. Kalau banyak duit dan hebat berbelanja, kaya. Kalau tinggal di Kuala Lumpur atau Selangor, educated. Malangnya, aku tak tergolong dalam golongan itu. Sudah tentu, aku  pun 'menggagalkan diri sendiri'.

Ianya hanya berubah apabila aku dibukakan mata satu persatu mengenai apa yang aku gagalkan pada diri sendiri. Banyak peristiwa yang menyebabkan aku mengerut dahi sampai tersenyum seorang diri dan berkata, 'Aku ni tak adalah teruk sangat macam yang aku selalu fikirkan.'
 
Masa tingkatan dua, aku terkejut sebab dapat tempat Top 3 (rasanya) dalam kelas. Maka alhamdulillah, aku  akan mendapat tempat di kelas 3 Ibnu Haitham  yang bagiku: kelas elit yang penuh dengan pelajar bijak yang pandai shopping yang berasal dari Kuala Lumpur. Aku mula bangkit dan menyukai diri sendiri.

Banyak lagi peristiwa yang membuatkan aku bangkit mempercayai diri sendiri. Mungkin tidak akan diceritakan di sini kerana banyak.

Bila teringatkan masa dulu, dengan apa yang aku impikan: baju yang lebih normal, hafal lagu Avril, kehebatan berbelanja RM50 untuk stok snek semasa outing, lipatan tudung yang lebih statik, diri yang kelihatan seperti orang KL - I was like.... what?!?

Berbanding dengan apa yang otak aku perahkan dahulu dengan apa yang aku risaukan sekarang, trust me, yang aku risaukan ini are just nothing! Rilekslah!

Alhamdulillah. Yang penting sekarang, di sini aku bukan sahaja telah berhenti 'memuja', aku juga telah berhenti bangkit untuk mempercayai diri sendiri. Kenapa? (Angkat kening) Terima kasih kepada Islam itu sendiri. Aku telah mengenali apa itu sibghah (celupan) Allah. Warnanya tetap sama, tak kisahlah meskipun isinya berbeza sama ada baby crystal atau cincau.
 
Selamat kembali ke Bandar Sunway! Kini dah jadi orang Selangor dan Kuala Lumpur. Educated tau. Ha ha.
 

Sunday, 13 February 2011

Maaf Eh!

Di sini, aku ingin meminta maaf kepada dia yang mengharapkan cerita yang lebih jelas di dalam blog ini.  Dahulu, aku seronok sendiri menulis di dalam blog ini kerana yakin aku seorang sahaja yang membacanya. Oleh sebab itu aku menulis dengan penuh keikhlasan. Maaflah, agaknya aku terbawa-bawa perasaan malu kerana membayangkan sudah ada beberapa orang termasuk orang penting yang membaca cerita di sini. Huihui.
 
Aku sepatutnya bersikap lebih terbuka kepada orang-orang yang aku anggap penting itu. Ini juga sebahagian daripada nilai keikhlasan yang dititikberatkan. Terutamanya ikhlas kepada diri aku sendiri.

Aku kena berbalik kepada tujuan sebenar aku menaip di blog -iaitu untuk menjawab soalan-soalan yang aku sendiri tanyakan, untuk bermuhasabah, dan untuk menambah kenal diri sendiri. Aku tidak gemar bercakap. Aku hanya banyak mulut kepada orang yang rapat denganku atau kepada orang yang lebih pendiam daripada aku. Kadang-kadang aku kasihan pada mereka yang menepati kedua-dua ciri itu kerana aku bercerita tetapi tidak mengetahui apa 'cerita' dalam hati mereka. Akulah pembuli orang pendiam yang minoriti.

Beberapa hari lepas merupakan hari lahir ayah. Jadi, keadaan emosi ahlul rumah memang kurang stabil. Idea untuk pulang ke KL memang kurang baik jadi aku terpaksa batalkan pada saat-saat akhir. Emak pula fikir aku batalkan kerana ada masalah peribadi lalu aku diejek. Tak mengapa, aku pun sayang pula nak tinggalkan Atih dan Abu. Entah sejak bila aku sayangkan benda yang aku sering takutkan.

Di sini, aku telah belajar untuk memberi masa kepada diri sendiri. Memberi masa secara langsung bermaksud aku menghormati dan menyayangi diri sendiri. Memberi masa juga bermaksud aku memaafkan diri sendiri. Aku belajar untuk menjadi lebih realistik, tidak mengalah pada kekurangan, lebih terbuka, dan sebagainya. 
 
Antaranya, untuk menyayangi Atih dan Abu itulah. Sebenarnya susah. Tapi, setelah gunakan teknik-teknik yang dipelajari tadi: beri masa dan jadi realistik. Tak boleh tidak takut akan kucing serta-merta. Di samping proses itu, perlu menerima diri seadanya. Jangan marahkan diri yang dahulu kerana kurang suka dengan kucing. Belajar memaafkan diri sendiri.

Ah!!! Aku harap aku tidak terlalu sensitif dan mula bercakap-cakap dengan kucing.

Thursday, 10 February 2011

9 Feb 2011

Sebelum itu, walau apa pun yang berlaku, ucapkan alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Sebenarnya, aku telah menemuinya lama dahulu. Namun, aku tidak pasti akan kebaikan yang ada pada dirinya. Pemahaman aku terhadap erti kasih sayang adalah begitu polos dan jahil sehingga aku hampir terlewat untuk menyahut satu seruan tulus dari lembah hati yang suka sembunyi-sembunyi. 

Ya Allah, jauhkanlah kami daripada segala kejahatan.

Langkah permulaan tidak salah. Kini yang tinggal hanyalah cerita kita di pertengahan perjalanan. Aku terasa sering tertinggal di belakang kelompok manusia. Adakah untuk aku tergesa-gesa setelah cemburu atau mungkin juga  itu satu-satunya cara untuk menguruskan aku. Itu... Pintu barukah? Jendela yang samakah?

Ya Allah, janganlah Engkau pesongkan hati-hati kami setelah Engkau berikan petunjuk kepada kami.

Aku sedikit gusar. Namun walau apa pun yang berlaku, alhamdulillah. Doakanlah.

Monday, 7 February 2011

Once

Hari ini, aku masih lagi mencari sebab-sebab yang kukuh mengenai apa yang telah aku pilih dahulu. Aku telah meyakinkan diri aku dengan sebab-sebab sampingan, tetapi gagal mengurangkan gejolak jiwa dan minda yang mencabar-cabar supaya mengimaninya. 

Aku tidak pernah mengimpikan posisi aku sekarang sebagai seorang pelajar kejuruteraan suatu masa dahulu. Aku pernah bercita-cita menjadi seorang guru, doktor dan apa-apa sahaja tetapi bukannya jurutera. Aku mungkin lebih menyukai pekerjaan sebagai seorang pelukis atau pelakon daripada jurutera.

Aku tidak pernah mengimpikan posisi aku sekarang sebagai seorang manusia yang memiliki jiwa seperti mana jiwa aku sekarang. Aku pernah mengimpikan babak-babak indah dalam kehidupan yang lancar bagaikan filem. Yang tergapai dalam minda hanyalah sejauh umur 23 tahun yang bagiku adalah umur yang hebat (jungkit bahu) dalam kemuncak nyawa manusia. Filem yang aku bayangkan hanya sampai situ. Sekarang, filem masih lagi dimainkan. Cuma pengarah agaknya sudah tukar skrip dan pelakon sudah menghayati erti menjadi seorang pelakon.

Aku juga tidak pernah mengandaikan wajah aku seperti yang sekarang ini. Tentang ini, memang aku tidak pernah memikirkannya. Jadi, tiada komen yang tetap.

Di saat ini aku hanya melampiaskan rasa gentar aku akan ketetapan akhirat pada hasil dunia di mata kasar kerana pemandangan akhirat sudah pasti tidak mampu dicapai melepasi akal manusia. Aku juga mencari-cari jalan untuk berjalan di jalan yang betul disamping melihat-lihat di tepi untuk mencari sebab yang aku ingin tahu tadi.

Sepatutnya, aku tak ada masa lapang.

Tuesday, 1 February 2011

Kita dengan Mesir

 

 
Allah pemilik segala kemenangan.
Allah memenangkan yang haq dari yang batil;
Dengan atau tanpa bantuan manusia.
Segala yang tidak mungkin kini menjadi mungkin.
Duduklah merenung.

Marilah kita berfikir, berdoa dan bermuhasabah.
Umat sedang menggesa para mukminin,
Umat sedang mengejutkan para muslimin!
Apakah Allah akan membuka jalan kemenangan,
Atau ia hanyalah satu anjakan kepada kita,
Supaya lebih istiqamah dan berhimmah
Akan nasib agama,
Yang ghaib tetapi pasti.

Mereka telah bangkit dari lena dan derita yang panjang,
Lalu mengetuk pintu rumah kita masing-masing,
Supaya bangun dan turut berfikir
Untuk umat.

Semoga kemenangan menjadi milik orang-orang yang haq.
Semoga kekalahan menjadi milik orang-orang yang zalim.
Berdoalah akan kemenangan.

*Rentetan (bukan terkini)