Saturday, 22 January 2011

Suatu Pernyataan

Terkedu sebentar dengan suatu pernyataan.

Aku masih tidak memahami apa yang manusia harapkan daripada manusia yang lain. Mungkin juga aku sudah memahami tetapi kefahaman aku tidak mendalam. Atau mungkin juga aku sendiri yang sebenarnya tidak faham.

Aku selalu mengharapkan manusia bersikap matang ketika mengambil keputusan. Masalahnya, aku tidak menyedari bahawa manusia memandang kematangan itu dari sudut yang berbeza-beza. Maka, tidak mungkin mereka boleh menjadi sempurna mengikut kesesuaian diri aku.

Dan aku sendiri, sudah tentu dinilai berbeza-beza mengikut individu yang memandang. Ada yang kata matang. Ada yang kata kebudak-budakan lagi. Dan sudah pasti, aku tak mahu dianggap matang dengan modal usia sahaja suatu hari nanti. Lagipun usia tidak semestinya mematangkan. Ramai saja orang tua yang tidak bersikap matang.

Aku sangat berharap aku dapat betulkan keadaan. Aku tidak mampu mematangkan manusia. Manusia perlu melalui keadaan itu sendiri supaya pengalaman itu dapat menjadi guru kepadanya. 

Atau sebenarnya akukah yang kurang mengerti? Perlukah aku mengalami sendiri perasaan itu supaya selepas itu barulah aku layak menilai langkah-langkah yang diambil? Apabila dia berhujah tentang cinta, aku tak ada acuan jawapan. Takkanlah hanya kerana dia pandai menjawab, maka dia benar?

Mari aku ajarkan hujah diam

Suatu pernyataan buntu. Sesukar ya atau tidak.

Thursday, 20 January 2011

Kerja Supaya Lapar

Dah dua hari berlalu selepas emak discharge dari hospital. Saya masih ingat hari itu, apabila saya pula yang tiba-tiba beria-ia sakit dan terbaring atas katil emak.

Saya ingat duduk di hospital ni menyeronokkan kerana dapat duduk berehat tanpa perlu memikirkan apa-apa. Makanan akan dihidang, udara berdingin hawa, menonton televisyen, katil bertirai. Ala-ala hotel 3 bintang. 

Wah, bunyinya sehebat realiti.

Jadi, disebabkan terlalu banyak duduk (sebenarnya duduk sepanjang masa) di tepi katil emak, saya tidak menggunakan banyak tenaga selain untuk membaca buku-buku. Lalu saya langsung tidak lapar sehingga lebih 12 jam. Akhirnya, tiba-tiba badan saya mogok menuntut hak makanannya. Pagi-pagi esoknya saya terkena gastrik yang.. percayalah - tak pernah lebih memeritkan dan mengejutkan daripada ini. Saya tak ada selera sebab tak lapar. Namun, untuk paksa diri untuk makan, saya terlalu sakit untuk berjalan mencari makanan. Saya cuba menjamah apa yang ada, tetapi tidak mengurangi sakit.

Akhirnya, saya terdampar atas katil emak macam kain buruk sehingga suster-suster berasa keliru bercampur geli hati melihatnya.

Hari itu emak dah boleh balik la pula. Sebelum ini kalau saya mendengarkan berita ini, saya akan gembira. Tetapi bukan pada saat ini. Oh tidak, macam mana nak memandu?

Ini memang betul-betul mengetuk jiwa. Kalau badan tak bekerja, kita tak akan rasa perlu kepada makanan. Akhirnya, badan akan sakit secara mengejut dan pada ketika itu, hanya 'padan muka' sahaja yang padan dengan muka masing-masing.
 
Maka, ini sama juga. Hanya orang yang bekerja di jalan Allah akan merasai kelazatan qiamullail dan tahajjud. Makanan terbaik bagi hamba-hamba-Nya yang lapar rohaninya setelah penat berusaha pada siang hari.

Kalau tak bekerja, tak ingin makan. Dalam masa yang sama, kalau tak makan, tak kuat langsung untuk bekerja. Tapi kalau banyak makan tapi tak bekerja, sakit keboroian. Sebaliknya kalau banyak bekerja tapi kurang makanan, sakit kekurusan. Hmm...
 
Jika dah terlanjur menyalahi jadual kerja atau jadual makan lalu jatuh sakit, perlulah makan ubat untuk betulkan keadaan. Jika tak makan ubat, sakit akan melarat dan rehat makin bertambah (Lepas tu kena gastrik?) Lebih baik makan ubat. Yaaa.... ubat manalah yang sedap. Kalau ada bagitahu saya, saya nak rasa!! :-)

[Saya benci ubat! Saya benci ubat! Benci ubat! (Saya boleh ulangi ini selama lima minit)]

Hakikatnya, ubat yang pahit itu adalah penawar 'kesakitan' kita. Kenal pasti penyakit dahulu, barulah cari ubat. Kalau gastrik minumlah ubat gastrik yang berwarna putih dan rasa seperti kapur tu. Wekk. Lepas tu lega.... 

Alhamdulillah. Allah dah tentukan segala-galanya dengan ketentuan yang terbaik. Boleh jadi yang tak seronok tu yang terbaik untuk berlaku dan boleh jadi yang seronok tu yang bukan yang terbaik untuk berlaku. 

Marilah berusaha dan bekerja. Dah tahu yang rehat itu menyakitkan dan melanggar kebiasaan. 

Chale chale.

Monday, 17 January 2011

Sedikit Mujahadah

Saya kembalikan semula blog ini ke link asal kerana ada beberapa sahabat tidak menemui blog saya. Saya minta maaf jika menyusahkan.
 
Saya menulis ini di Hospital Pantai Sungai Petani sambil-sambil menemani emak yang dimasukkan ke dalam wad semalam. Semalam pembedahan kecil untuk membuang ketumbuhan dalam perut emak telah selamat dijalankan, alhamdulillah. Apabila dimaklumkan oleh adik saya mengenai emak, saya segera pulang ke Perak. Ketika itu, saya berada di Kem Nur Bukit Unggul bagi menyertai program Southern Gathering 2011. Niat untuk stay lebih lama di Selangor terpaksa saya batalkan. Yang penting, inshaAllah, esok emak dah boleh balik. Malam ni pula, buat pertama kalinya saya akan bermalam di hospital. Ada sedikit perasaan teruja dengan pengalaman pertama.
 
Kebelakangan ini, saya banyak kali 'ditampar' kerana lama membiarkan jiwa meranduk lumpur-lumpur jahiliyyah tanpa meningkatkan usaha untuk berhadapan dengannya. Saya silap dengan beranggapan, biarlah iman sekadar kais pagi makan pagi sahaja, asalkan tidak terikut-ikut perkara lalai. Saya tidak mahu melawan dan marah. Hanya bertindak mengangkat benteng seadanya. Walhal strategi itu pasti gagal dalam mana-mana perlawanan.
 
Sedangkan syurga itu bukanlah murah harganya. Syurga juga bukan untuk yang biasa-biasa atau yang 'cukup-cukup makan' sahaja. Syurga itu untuk mereka yang membayar dengan gembira dan keluh-kesahnya, dengan luka dan peluhnya, serta dengan harta dan keluarganya.

"Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka."   (As-Sajdah:16)

Hanya bekalan sedikit mujahadah bisa menyelamatkan manusia daripada pemikiran-pemikiran melampau sebagai seorang da'i yang malas. Tamparan ini adalah sapaan kasih-sayang Allah, kerana sekali lagi ia menyelamatkan saya daripada perhambaan sesama manusia kepada penyembahan Allah semata-mata.
 
Hanya sedikit mujahadah. Lalu, pertolongan Allah itu sangat dekat.
Hubungan dengan Allah merupakan aset penting seorang da'i. Hubungan inilah yang mengangkat martabat seorang manusia berbanding manusia yang lain melepasi langit dunia. Daripada hubungan inilah datangnya taqwa, iaitu jalan pintas untuk ke syurga. Hubungan ruhi terbina dengan memutuskan ikatan jiwa daripada yang selainnya, melahirkan rasa cinta yang sangat lazat. Sehingga yang pahit dirasakan manis. Yang sukar menghasilkan tenang. Dan ianya bermula dengan hanya sedikit modal mujahadah.
 
Andai Ibrahim a.s. lebih mencintai bapa, anak dan isteri daripada Allah;
 
Andai Yaakub a.s. lebih mencintai dendam daripada kesabaran;
 
Andai Yusuf a.s. memilih indahnya istana daripada penjara;
 
Andai Muhammad s.a.w. mementingkan duniawi daripada ukhrawi;
 
Pasti mereka bukanlah mereka yang dipuji-puji di dalam Al-Quran.  

Mujahadah, memilih jalan yang mendaki dan sukar.
"Dan tahukah kamu apakah jalan yang mendaki dan sukar itu? (Yaitu) melepaskan perbudakan (hamba sahaya), atau memberi makan pada hari terjadi kelaparan, (kepada) anak yatim yang ada hubungan kerabat, atau orang miskin yang sangat fakir. Kemudian dia termasuk orang-orang yang beriman, dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang. Mereka adalah golongan kanan."   (Al-Balad:12-18)

Kerana cinta Allah bukanlah sesuatu yang murah. Kerana kita semua menginginkan suatu hari nanti kita tersenyum kepada apa yang berlalu di belakang sambil berkata, 'Mujurlah aku bermujahadah.'

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah kerana mengizinkan saya bernafas dalam rahmah-Nya sehingga hari ini.

Monday, 3 January 2011

Aksara Usia


Tentu ada yang tertanya-tanya mengapa link dan nama blog ini bertukar tiba-tiba. Tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan kerana ia hanya melibatkan nama sahaja. Things changed. Jika kita pakai baju yang sama selama seminggu, semua orang akan menjauhkan diri daripada kita. Selebihnya, masih jari yang sama menaip di sini. Saya sebenarnya sudah lama nak tukar link tetapi niat itu selalu dimatikan.

Dan orang September ni selalu drastik.

Hari ini saya agak rindu kepada ayah, menyedari bahawa dia bukannya pergi melancong di negara yang jauh untuk masa yang lama. Adik-adik saya pula akan pulang ke asrama masing-masing untuk memulakan sesi persekolahan yang bermula esok. Mungkinkah ini rasa kehilangan yang sama yang emak hadapi saban hari? Saya tidak tahu.

Aksara tahun meningkat seiring dengan debaran mengenai masa.

P.Ramlee: Perjuangan Untuk Diteladani

Saya sempat menonton biografi seniman negara, P.Ramlee (Allahyarham) di History Channel baru-baru ini. 

P.Ramlee, sebuah nama yang tidak asing lagi pada era filem hitam putih dan nama yang mahsyur sehingga menempah tempat di mata antarabangsa. Kejayaan filem dan lagu P.Ramlee masih membahang kerana kebanyakan filemnya yang terkenal seperti Bujang Lapok, Ibu Mertuaku, Antara Dua Darjat, Madu Tiga dan Labu Labi masih ditayangkan di kaca televisyen hari ini.


Saya tidak mahu bercerita tentang kejayaan dan kemahsyuran P.Ramlee kerana saya pasti ramai yang lebih arif dan lebih maklum mengenainya berbanding saya. Saya juga tidak mahu merungkai kisah-kisah sedih yang dihadapi P.Ramlee selepas zaman kegemilangannya, ketika beliau tiba-tiba terpinggir dan terbuang oleh orang-orang yang selama ini memuja bakatnya. Saya juga tidak mahu menggambarkan secara details penderitaan mental dan fizikal yang beliau alami setelah itu. Kita akan lebih menghayatinya dengan menonton biografi itu sendiri di sini atau membaca kisah hidup beliau sendiri di sini.

Di sini, apa yang datang dengan segera untuk menusuk hati saya ialah apabila tiba-tiba saya merasa kerdil dengan usaha P.Ramlee memperjuangkan filem dan muziknya di saat orang lain telahpun berputus asa mengenainya. Banyak konflik dan ujian yang datang seperti tsunami. Namun, beliau tetap berusaha untuk memperjuangkan apa yang beliau cinta dan percaya. Filem gagal tetapi dibikin lagi filem yang lain. Syarikat gagal tetapi ditubuhkan lagi yang baru. Sehingga akhirnya kita boleh mendengar istilah 'nasi dan telur', 'kedai mahjong', 'bunyi boo' dan 'persembahan di kenduri' pada kisah hidup beliau.


Akhirnya saya menangis kerana terharu akan erti perjuangan yang ditunjukkan oleh beliau. Saya berasa malu dan kerdil. Sedangkan saya di sini cuba memperjuangkan perkara yang lebih haq, tetapi perjuangan dan cita-cita dalam diri saya seperti langit dan bumi berbanding dengan apa yang beliau lakukan. Saya tidak diuji dengan pekerja yang mogok, ugutan pihak atasan, kritikan akhbar, bunyi 'boo' semasa membuat persembahan, saman, kemiskinan dan pengkhianatan. Malah saya tidak tahu pun sama ada saya akan bangkit semula jika diuji sebegitu. Kesimpulannya, perjuangan P.Ramlee sangat hebat.

Dan apa yang sampai ke telinga dan mata kita pada hari ini hanyalah perkara-perkara yang indah sahaja mengenai hidup beliau. Sehinggalah datang biografi ini untuk mendedahkan hakikat perjuangan seorang anak seni yang bernama P.Ramlee.

"Anak-anak perlu dididik untuk suka pada muzik kita (tradisional, dondang sayang, ghazal etc.) sejak kecil, di bangku sekolah lagi. seperti didikan agama - kita beri sejak kecil maka jika dia pergi ke mana-mana setelah besar, dia masih berpegang pada agama. Begitu juga muzik."   Antara mesej beliau (yang bunyinya lebih kurang).

Terima kasih, P.Ramlee. Kerana menunjukkan apakah itu sebuah perjuangan.

Perjuangan yang mesti juga dipelajari - kisah hidup para nabi esp. Rasulullah s.a.w., para sahabat, tabi'in, ISHAB, Sayyid Qutb, Zainab al-Ghazali, pejuang-pejuang di nusantara, Tok Janggut etc.



p/s: Biografi-biografi ini membuatkan seorang anak rindu kepada ayahnya~