Friday, 31 December 2010

Sekali Lagi

Fah fuh fah fuh. Did you hear that? It was the sound of my deep hard breath... fah fuh fah.

I was trapped into a giant size trouble. I'm not able to explain now. Later later.

Fuh fah.

But for now in this moment ... I hope you can take a seat and participate into this small prayer ceremony dedicated to me and all of us. 

Fah fuh fah.

Sekarang saya minta kamu baca semula ayat berwarna merah tadi. Forgot something? Ya, kamu lupa nak doakan saya lagi. Chale chale. Doa karo first.

Saya minta baca sekali lagi sebab saya tahu kadang-kadang manusia terlupa untuk memahami kehendak bahan bacaan kerana mereka telah terdidik untuk terlalu serius. Makan serius. Membaca pun serius. Please. Enjoy your meal yaar.

Buang serius yang saya maksudkan ialah buang tabiat kerut dahi 24 jam macam Raju Rastogi -bukannya buang serius supaya dapat bermain-main kerana Islam tidak suka orang yang tidak serius (i.e. bermain-main) dalam pekerjaannya. 

Jadi, jika kamu baru sahaja menatap wajah emak kamu seketika tadi, tataplah lagi sekali kerana mungkin kamu telah terlepas sesuatu yang penting atau akan beroleh sesuatu yang baru pada pautan mata kedua. Ini juga boleh juga diaplikasikan pada orang-orang lain yang kamu cintai. Mesti ada sesuatu yang baru, setiap hari, walaupun kamu menatap wajah orang yang sama selama 20 tahun. (Tips: Mulakan dengan memandang guna mata hati.)

The Outsiders. Turut difilemkan beberapa puluh tahun yang lalu. Tom Cruise jadi Sodapop ha ha.

Macam dalam novel The Outsiders, Ponyboy baru terperasan akan warna mata Sherry setelah sekian lama kenal. Bukan bermaksud kena tenung muka orang. Peristiwa ini menunjukkan Ponyboy melihat Sherry dengan perspektif yang baru.

Selain itu, ada babak ketika Johnny mengatakan kepada Ponyboy bahawa Darry seperti emaknya dan Sodapop lebih kepada ayahnya. Pada saat itu, Ponyboy tersedar bahawa Darry merupakan seorang abang yang sangat sayangkannya. Selama ini, mungkin dia beranggapan bahawa Sodapop seperti emak-emak manakala Darry, ketua keluarga yang garang dan mengongkong bak bapak-bapak.

Justeru, kata-kata orang lain sangat membantu untuk memberikan suatu perspektif. Ramai yang telah melalui proses perubahan yang banyak disebabkan mereka mereflek diri mereka pada orang-orang di sekeliling. Dalam filem sangat banyak yang macam ini (lebih jelas dalam filem omputih sebab mereka banyak menekankan personal growth).

Fah fuh fah. Now please don't ask about the giant size trouble. Later later.

p/s: Nak baca The Outsiders, pinjam daripada budak MUFY.

Thursday, 30 December 2010

Apa yang menggelikan hati?


Apabila melihat hidung Yubaba atau Zeniba
Apabila terkejut dengan fizikal Bo sehinggalah habis cerita
Juga wajah comel Haku yang sebenarnya seekor naga
River spirit yang lapang?
atau o-ne-chan yang bernama Rin yang baik.
Apabila perasaan takut terhadap Kamaji hilang pada kebaikannya.
dan tidak lupa - binatang kecil hitam pengangkut arang
comelnya ouch-ouch!
Apabila No-face terasa mendapat perhatian (dengan kait benang) setelah kesunyian yang lama
Apabila bunyi 'oit-oit-oit' 3 raksasa-kepala-lelaki-bermata-bulat bersahutan
Menggelikan hati sungguh.

Apabila dikaitkan dengan dakwah.
Terasa lebih menggelikan hati:
rupa-rupanya.

Chak De! Villa Pale Neighbourhood

Aku sedang melihat suatu keraguan
Jika aku tiba di batu depan sana
Mampukah aku berbisik tegar
'Aku bukan berpusing balik'

Hati gentar pada bunyi langkah
Mengaku penakut
Kepada diri yang sekarang ini
Serta yang berpantang padu untuk terjawab
Apakah sebabnya ia mahu berangkat?

Aku mahu mencari nuruddin
Aku rindukan suasana itu
Aku impikan haruman hujan
Dan dia - cinta yang aku cari;

Ini yang aku bawa dalam bekas niat

Ya Allah Al-Malik,
Jika benar maka benarkanlah.
Jika salah maka salahkan
Jika benar dan salah,
Tunjukilah sempadan yang baik.

Aku yakin tidak berlari
Gambar bergerak menfitnahku dengan niatku sendiri,
Aku juga kaget
Kerana Engkau lebih tahu ia sampai atau tidak.

Ya Allah Al-'Aziz
Kirimkan untukku ansari;
'Isymah azhari menurutku -
terkapai-kapai,
Supaya apabila aku berpaling atau mengangkat kaki
Ia bersandar di bahuku lalu menenangkan.

Bismillahi tawakkaltu 'alaLlah.
Kaki kanan sudah di depan.


Run Forrest run!

Sunday, 26 December 2010

Cerpan: Serangan

Sambungan 'Orientasi'.

"Semalam, Ros nampak 'benda tu' depan bilik Hafsah," cerita itu tersebar di kalangan pelajar tingkatan satu. Setelah jawapan kepada semua soalan yang bertalu-talu datang dikumpul kemudiannya, latar kisahnya ialah pada jam 5 pagi di blok A dan B aspuri tingkat 2 - apabila Ros keluar dari bilik air dan ternampak 'benda' berwarna putih berambut panjang itu duduk bertenggek di koridor bilik Hafsah sambil merenungnya.

Naik demam aku mendengar kisah Ros. Dormku berada betul-betul di atas bilik Hafsah, dan katil aku berada di kedudukan bertepatan pintu. Dekatnya, fikirku.

Kemudian, tersebarlah bermacam-macam lagi cerita angker yang menyebabkan pelajar-pelajar perlukan peneman untuk ke setiap sudut aspuri terutamanya tandas, bilik basuh baju, stor dan ampaian. Kisah-kisah lain mula berantai. Terdengar bunyi bayi menangislah, kena tindih tiap-tiap malamlah, dengar bunyi rantai diseretlah, nampak budak main suis lampulah, kisah pak guard nampak perempuan rambut panjang dukung anaklah, dan tidak terkecuali kisah-kisah di aspura yang digambarkan lebih 'high level' menakutkan daripada di aspuri.

Pelajar-pelajar tingkatan satu beratur panjang di pondok telefon bagi mengadu rasa takut yang dialami setiap malam. Dan aku, masih lagi pelajar 'blur' yang takut-takut kerana aku belum pernah terserempak jin dan syaitan seumur hidupku. Aku tidak pernah menjangka hal sebegini adalah sinonim di mana-mana asrama. Sepanjang hari langkahku ke kelas diisi dengan kekesalan yang separuh tentang keputusanku untuk mendaftar di asrama.

Tambahan lagi, jika aku terjaga pada tengah malam untuk ke tandas, aku kasihan kerana asyik mengejutkan Farah untuk menemani aku. Lama-kelamaan, aku memberanikan diri untuk pergi ke tandas seorang diri setiap malam. Dalam kepalaku hanya membayangkan pelbagai kemungkinan nampak itu dan ini. Dalam hati pula penuh harapan supaya ada kakak-kakak yang masih berjaga di kawasan berhampiran untuk 'stay-up study' atau seterika baju. Selalunya harapan hancur berkecai. Kesemua pintu dorm telah pun tertutup rapat. Perlu melalui bilik study yang panjang dan gelap-gelita. Juga stor blok B itu ... Mujurlah Allah kurniakan rasa mengantuk kepadaku setiap kali terjaga pada waktu malam, lalu aku tidaklah terlalu takut atau aktif 'berperasaan'.

Alhamdulillah, tidak pernah jumpa apa-apa yang aneh.

Kemuncak kisah ini datang akhirnya pada suatu malam, apabila kesemua pelajar tingkatan satu ditugaskan untuk membersihkan musolla pada waktu prep malam. Jadi, selain musolla, kawasan asrama sedikit gelap dengan hanya diterangi lampu koridor sahaja. Aku sedang ralit mengelap tingkap apabila kekecohan berlaku di luar musolla bahawa suara jeritan wanita yang sangat kuat telah didengari tetapi oleh hanya beberapa orang rakan. Anehnya, jeritan itu dikatakan sangat kuat sehingga didengari pelajar tingkatan lima di kelas mereka berhampiran kantin, walhal aku yang berada di dalam musolla tidak mendengarnya. Setelah Hafizah mengatakan ia ternampak bayang hitam berjalan di kawasan berhampiran dan menghilang sejurus jeritan itu bergema, tahulah kami bahawa jeritan itu bukannya datang daripada mana-mana pelajar.

Bersambung... (bila rajin)

Thursday, 23 December 2010

Ajnabee

Orang selalu tanya, macam mana nak menerima orang asing dalam hidup.

Mari kita lihat beberapa situasi

Apabila kita nak solat di stesen bas Puduraya, beg disimpan pada pak cik kaunter beg dengan tukaran sekeping kad bernombor sahaja.

Kita pernah makan atau minum di restoran yang tukang masaknya tidak dikenali.

Kita meminta orang yang tidak dikenali untuk menguruskan wang kita di bank.

Kita menaiki pesawat lalu terbang beribu-ribu kaki di udara tanpa mengetahui siapa juruterbangnya.

Kita dirawat di klinik apabila demam tanpa perlu mengenali siapa doktornya.

Mereka orang asing. Yang membantu melancarkan urusan hidup kita setiap hari.

Kenapa nak berkira-kira?

p/s: 
-'Post' ini bertentangan dengan apa yang sebenarnya saya sedang fikirkan.
-Alhamdulillah, adik saya dapat '8A' dalam PMR.

Friday, 17 December 2010

Puting Beliung

Kita akan terserempak dengan suatu puting beliung yang sangat besar. Ia sampai hingga di hadapan rumah kita, menerbangkan semua benda yang ia langgar. Apabila terperangkap di dalamnya, keadaan begitu cemas dan gila. Kita terdedah kepada segala-galanya tetapi kita tidak mampu melihatnya kerana ribut terlalu deras dan kabut. Kita melayang dan tertolak di dalamnya.

Puting beliung itu telah sampai ke sini. Dalam versi maya. Kita tertarik dalam arus angin kencang dan terperangkap di dalamnya.

Tidak, tidak. Sebenarnya ia yang terperangkap di dalam kita. Walaupun nampak seperti tenang.

Ia seperti perasaan seseorang ketika ia melarikan diri sebentar daripada tempat kerjanya untuk pergi melancong bagi merehatkan minda. Sedangkan tekanan itu sentiasa ada walaupun ia dapat bergembira sekejap. Dan apabila ia keluar daripada tempoh pelancongannya, tekanan itu datang berlonggok.

Manusia sentiasa ditekan dari semua bahagian walaupun ia tidak merasakannya. Seperti berada di dalam guli yang jatuh ke dalam air, kita tidak merasakan bahawa udara di dalam guli sedang bergelut dengan tekanan air dari luar kaca guli.

Bukan dipaksa tetapi terpaksa berfikir - Makan minum apa hari ini. Nak buat apa hari ini. Nak pilih saluran tv apa. Pukul berapa nak tidur dan bangun.

Yang peritnya, apabila puting beliung datang, kita bukan sahaja terdedah dengan amukan perasaan. Kadang-kadang kita perlu menggunakan banyak daripada masa kita untuk menyembunyikan amukan itu daripada orang lain. Dan untuk kebanyakan masa - daripada diri sendiri.

Terpaksa berpura-pura gembira walaupun sedang marah atau sedih. Seolah-olah hanya ada istilah gembira dalam akhlak. Apa tidak bisakah marah dan sedih dalam akhlak? Jika tidak, maka hipokritlah semua yang mengaku berakhlak kerana ia berhujah bahawa ia tidak mempunyai fitrah marah dan sedih. Apa tidak gila? Bahkan menipu diri sendiri.

Kebebasan daripada tekanan itu hanya terdapat di syurga. Tak ada puting beliung. Tak ada sakit. Tak ada kecewa. Tak ada cemburu, rindu atau marah. Semua manusia mesti merindui kebebasan itu. Kalau tidak rindu bagaimana nak masuk syurga?

Ini kerana siapa-siapa yang tidak merasa peritnya kehidupan di dunia, tidak merasa sakit dengan puting beliung dunia ini, masakan ia boleh merindui syurga tatkala ia sudah pun lega dengan kehidupannya di dunia.
Seperti sudah mencintai keadaan dirinya seadanya di dalam puting beliung itu, lalu rasa rindu pada kebebasan di luar sana akan lenyap. Walhal berada di luar puting beliung sangat melegakan!

Wednesday, 15 December 2010

Baru dan Lama




Alhamdulillah. Majlis walimatul urusy kakanda saya Azrul Aminurashid bersama isterinya Ku Nadiah telah selamat diadakan pada 5.12.2010 di Kuala Lumpur dan pada 12.12.2010 di Perak. Semuanya berjalan lancar alhamdulillah.

Semasa sesi photo shoot ini, saya juga berada di lokasi berkenaan. Dengan berasa 'honour' sekali, saya turut mengambil kesempatan untuk mengambil beberapa keping gambar namun hasilnya tidaklah cantik seperti encik photographer punya gambar. Bolehlah setakat untuk dibuat kenang-kenangan.

Semasa sehari sebelum kenduri, saya baru dapat tahu tentang moyang saya di sebelah ayah, Aris. Dia merupakan orang Bugis yang mengahwini seorang gadis dari Pantai Remis. Anak mereka bernama Mohamad. Cucu mereka daripada Mohamad ialah Harun. Cicit mereka daripada Harun yang mengahwini gadis bernama Che Ah pula ialah Mohamad Zainal. Itu ialah ayah saya. Saya adalah piut kepada yang bernama Aris yang merantau dari Sumatera ke Tanah Melayu. 

Ternganga saya mendengarnya. Saya ini hanya sempat berjumpa dengan nenek saya Che Ah sahaja. Yang disebelah emak pula langsung tak dikenali kecuali nama.

Datuk dan nenek saya di sebelah emak ialah Md. Isa dan Sharifah. Emak kata tok wan (Md. Isa) adalah dari keturunan Siam. Ayahnya Siam original. Tok wan pula boleh berbahasa melayu dan siam. Emak saya tak pandai berbahasa siam. Saya lagilah tak boleh.

Dalam dua malam sahaja, saya dah jadi keturunan Bugis dan Siam. Menarik betul dunia ni. Datuk, nenek, moyang dan poyang terasa begitu jauh. Namanya pun tidak diketahui kecuali sedikit. Anehnya, Rasulullah s.a.w., para sahabat dan para tabi'in terasa begitu dekat kerana lebih dikenali walaupun jarak antara saya dan mereka melebihi 1400 tahun. Dengan poyang? Mungkin hanya 100 tahun atau lebih sahaja. 

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Namun, seorang pejuang akan terus diingati. Darah, semangat dan jasanya bagaikan terus mengalir zaman demi zaman.

Kini, rasa syahdu pula apabila melihat kedua-dua abang-kesayangan-Bugis-Siam saya sudah berumahtangga. Yang menariknya, majlis akad nikah untuk kedua-duanya diadakan pada 11.4.2009 dan 11.4.2010 supaya sama dengan tarikh akad nikah emak dan ayah pada 11.4.1984. Masa berlalu dengan sangat cepat. Seolah-olah baru setahun atau dua tahun yang lalu kami bermain stunt, rumah hantu, kahwin-kahwin dengan sepupu, rakam video filem hindi, dan main 'selle-selle'.

Kemudian, segala-galanya sedikit keruh dengan kehadiran unsur-unsur luar yang mempengaruhi personaliti masing-masing. Ditambah lagi dengan perpisahan jarak, semuanya sudah menjadi sedikit berbeza. Kami bagaikan sudah lupa akan masa indah yang kami habiskan bersama. Tiada lagi 'selle-selle' atau game mario. Yang ada hanya makhluk di dalam dunia yang dibina sendiri-sendiri. Masing-masing mungkin hanya menunggu masa untuk mengubati keadaan. Berjaya. Kami kembali rapat dan semakin rapat saban hari bertahun-tahun kemudian. Mungkin semua orang telah lebih matang dan menerima keadaan diri masing-masing.

Kini, semua orang bermula dengan kehidupan yang baru dengan bertambah dan berkurangnya ahli dalam keluarga ini. Kenangan pahit dan manis disimpan dalam kotak ingatan sebagai inspirasi untuk meneruskan langkah ke hadapan.

Inilah famili. Ada benda baru dan lama.


Semasa masih berlima. Azrul Aminurashid, Siti Nabilah, Siti Nazihah, Mohd Khir Izwan (pakai tudung), Auni Nur Fatin.






Tuesday, 14 December 2010

Insomnia

Insomnia dicirikan dengan ketakupayaan bertidur dan/atau ketidakupayaan bertidur selama tempoh yang munasabah. Penghidap insomnia biasanya merungut kerana tidak berupaya menutup mata atau "merehatkan minda" buat melebihi beberapa minit setiap kali. Kedua-dua insomnia organik dan insomnia bukan organik merupakan gangguan tidur. Insomnia biasanya diakibatkan oleh ketakutan, tekanan, kebimbangan, ubat, herba, kafeina, kemurungan atau kekadangnya tanpa sebarang sebab yang ketara. Minda yang terlalu aktif serta sakit fizikal juga boleh mengakibatkannya. Mencari sebab yang mengakibatkan insomnia biasanya diperlukan untuk merawatnya. - Sumber Wikipedia.

(Miss Angela tak benarkan pelajar-pelajar beliau menggunakan sumber Wiki untuk merujuk sesuatu perkara tetapi carian di Google mempamerkan Wiki dahulu. Saya pula tidak rajin untuk mengklik pada link yang lain.)

Saya pernah mengalami penderitaan insomnia ini beberapa tahun yang lalu. Seperti yang digambarkan di atas, saya bukan sahaja merungut malah berasa sakit jiwa raga kerana hanya mampu melelapkan mata pada jam tiga pagi walaupun masuk tidur pada jam sebelas. Dan ini berlanjutan selama setengah tahun, iaitu selepas SPM sehingga menyambung pelajaran di SyUC tujuh bulan kemudian.

”Dan Kami jadikan tidurmu untuk istirahat” (An-Naba : 9)

Tidak dapat istirahat itu :-( Saya tidak tahu apa yang menyebabkan saya mengalami insomnia pada ketika itu. Yang saya tahu, setiap malam amat memeritkan dan hari-hari yang saya lalui penuh dengan doa supaya malam tidak kunjung tiba. Saya dah buat macam-macam persediaan supaya saya boleh tidur. Saya kemas tempat tidur cantik-cantik, suhu bilik pun dah diselesakan, masuk tidur awal, minum susu etc. etc. Namun semuanya berakhir dengan renungan 'tension' ke arah adik yang sudah nyenyak tidur dalam keadaan aman sentosa.

Keadaan orang ni sebijik macam saya.

Saya rasa ianya disebabkan tekanan kerana 'menganggur tahap maksima' pada ketika itu. Dan  kerana minda yang terlalu aktif berfikir tentang apa dan apa yang akan berlaku pada masa hadapan dan yang telah berlaku pada masa lalu. Juga mungkin kerana berasa murung kerana rakan-rakan yang lain sudah pun menyambung pelajaran di institusi-institusi pengajian tinggi masing-masing sedangkan berita yang pasti untuk saya masih tidak muncul.

Atau mungkinkah murung memikirkan perpisahan dengan ehem-ehem rakan-rakan yang bakal terbang ke luar negara untuk bertahun-tahun lamanya? =P

Setiap malam saya habiskan masa menaip cerpen atau melukis potret jika tidak mampu tidur. Kadang-kadang sudah jadi mindset bahawa saya tidak akan mampu lena pun sebelum pukul tiga, jadi lebih baik tidak cuba tidur. Saya juga duduk merenung mentol lampu atau membayangkan kambing biri-biri melompat jika keadaan sudah menjadi psycho tahap kritikal.

Huh, sungguh trauma akan penyakit itu. Saya amat menggeruninya.

Di sini saya belajar erti syukur. Tidur itu nikmat dan anugerah Allah yang best, tidak semua dapat menikmatinya. Ada yang boleh tidur tetapi 'dipaksa' berjaga seperti pak guard dan DJ radio shift malam. Ada pula yang dipaksa tidur tetapi tidak boleh tidur seperti budak yang bernama Auni Nur Fatin.

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah tidurmu di waktu malam dan siang hari dan usahamu mencari sebagian dari karunia-Nya.” (Ar-Rum : 23).

Dan apabila terjaga dari tidur, manusia sepatutnya bersyukur kerana mampu membuka mata pada hari itu dan telah dilengkapkan rehat fizikalnya dengan sempurna. Macam mana manusia boleh terlelap, itu suatu proses yang susah diterangkan. Proses peralihan antara dua dunia dalam tidur manusia itu merupakan suatu kuasa Allah yang patut direnungi kita semua. Ianya suatu proses yang sukar saya kecapi selama beberapa bulan itu.

“Dan Dialah yang menidurkan kamu di malam hari ….” (Al-An’am : 60).

Untuk mengelakkan insomnia, aktifkan diri anda pada waktu siang supaya badan anda akan tidak sabar-sabar lagi untuk tidur menjelang malam. Belilah mesin senaman TAKASIMA! he he.

Ok saya sangat mengantuk dah ni :-)

*Alhamdulillah, setelah menjejakkan kaki ke SyUC, tiada lagi masalah insomnia :-)

Tuesday, 7 December 2010

Saya Okay!

Seminggu tidak menulis di sini. Masa yang agak lama bagi seseorang seperti saya yang terlebih rajin mencoret kisah hidup di sini. Di saat sahabat-sahabat lain menulis bermacam-macam kisah yang penuh dengan ilmu dan sarat dengan pengajaran, saya hanya reti menaip cerita Doraemon saya di sini. Ruangan sempit yang penuh dengan belenggu Nobita dan masalah-masalahnya setiap hari. Fuh... bosannya hidup Doraemon. Tidak. Tidak. Saya tidak mahu jadi Doraemonlah.

Saya nak jadi Sam. Sam cerita the Lord of the Ring ha ha ha. Apa-apa sahajalah.


Ingin menjadi seseorang yang mempertahankan akhawatnya daripada kejahatan sebagaimana Sam mempertahankan Frodo daripada kejahatan Gollum.

Saya masih kaget di sini, apabila menyedari tirai Disember 2010 sudah longgar ikatannya. Sekejap sahaja lagi ia akan berlabuh, meninggalkan dengung-dengung suara akhawat yang terjerit kecil pada 1 Januari 2010 yang lalu kerana terpaksa menambah satu tahun dalam umur mereka dalam sesi taaruf. Suasana yang masih segar-bugar. Saya terfikir, apakah waktu ini - di saat saya menulis ini, masih segar ketika saya mengenangkannya lima tahun nanti?

Masa
Bagaikan suatu hadiah dibalut berlapis-lapis
Setiap hari kami mencarik-carik pembalutnya
Demi melihat apa di dalam.
Tangan masih laju mencarik
Tapi hati berdebar-debar.

Salam Maal Hijrah!

Saya di sini masih belajar erti suatu lintasan jiwa yang sangat bermakna. Saban hari semakin mendalam. Saya sedang berusaha memperdalamkan suatu perasaan bernama cinta. Yang melintas dan berumah di dalam sukma. Datang ketika mengenang Tuhan dan makhluk-makhluk.

Aku soroti mata ke pelusuk alam
Tiadalah ini dicipta dengan sia-sia
Aku memandang ke langit
Terpampang makna ikhlas

Aku ingin seperti Imam Ahmad ra
Yang ikhlas dalam pengabdian penanya
Hatta banjirnya satu Baghdad
Tidak mencairkan tinta-tinta di kitabnya

Aku ingin seperti Imam Malik ra
Yang ikhlas dalam pengabdian penanya
Hatta zaman menghasilkan berbagai jenis Muwatta'
Muwatta'-nyalah yang tersemat dalam jiwa para ulama

Alhamdulillah. Keputusan peperiksaan yang Allah kurniakan pada saya menyebabkan saya terkena dengan jenaka persoalan hidup sendiri. Termangu-mangu seperti orang yang ditegur ketika duduk termenung, saya tersedar dengan soalan ghaib, "Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?"

Aku bersyukur ya Allah, atas kurniaan-Mu yang tidaklah disangka-sangka. Aku telah menyaksikan. Aku telah memegang shahadah itu. Shahadah Allah sebagai Tuhanku yang Maha Pengasih. Tatkala aku meredhai impian yang tidak tercapai, Engkau beri yang lebih baik.

Sesungguhnya ia jauh lebih baik!

Saya baru nak 'settle down' di rumah. Bak kata orang - baru nak keluarkan kuali dan periuk. Sedang bersiap-siap untuk kenduri abang long pada hari Ahad nanti. Pada masa yang sama, sekarang sedang dibebel Arif yang memaksa saya makan nasi. Laptop sedikit rosak dan internet agak terhad, maka beginilah.

Untuk yang rindukan 'updates', saya di sini, 'okay' sahaja. Doakanlah saya, semoga saya sentiasa istiqamah, kerana itu sahajalah punca hidup yang terlihat di mata ini. Terang bagaikan matahari. Jelas bagaikan imej cermin bersih.

Saya sangat okay!

Buatmu ukhti, kenangkan juga wajahku dalam ma'thuratmu, qiammu dan doamu semoga kuasa telepati ukhwah itu boleh terasa dalam tidurku meskipun benua kita berbeza sekalipun. Saya sedang bermain cinta dengan buku dan kuali. Doakan perhubungan kami berkekalan - ya'ni tiada bunyi dengkur-dengkur cinta atau bau hangit-hangit cinta :-)