Wednesday, 27 January 2010



Monday, 25 January 2010

Meletup Bom Bom

Telah tiba post yang menyayat hati daripada orang sakit jiwa. Maaf, post ini hanyalah cerita coret-coret kehidupan.

Tidak sepatutnya seorang muslimah itu menjadi sakit jiwa. Seorang muslimah perlulah ada kebergantungan yang seratus peratus kepada Allah. Namun, saya telah mengalami sakit jiwa dan saya rasa bagaikan nak meletup! Menurut kajian baru orang-orang di barat, hukuman meletupkan jasad pesalah undang-undang adalah satu cara terbaik dan paling tidak kejam. Anda sanggup meletup?



Oh Allah, saya telah hilang puitis dalam berkata-kata.

Beginilah...

Hari-hari yang saya lalui penuh dengan letupan sunyi. Saya terjebak dengan dunia yang lain dan saya rasa begitu gharib sekali. Saya telah dibukakan mata bahawa suatu perkara yang jahil itu perlulah dibenci dan dijauhi. Dan saya sebelum ini tidak pernah membenci jahiliah, cuma menjauhi. Apabila perasaan benci itu sedap tertanam, terasa seperti mendapat suatu pencerahan yang indah tetapi benci ini bukanlah benci marah membuak-buak. Benci ini halus dan tegas. Kita hanya akan dapat merasai nikmatnya membenci apabila kita sedang meninggalkan suatu perkara yang jahil dalam hidup kita.

Seperti perasaan saya semasa memakai niqab dulu. Secara simboliknya niqab itu adalah hijab saya daripada jahiliah. Dengan sehelai niqab itu, jahiliah menjauhi saya dan saya juga secara intensifnya menjauhi jahiliah. Namun, telah tiba masanya niqab 'tercabut' dari wajah kerana kepentingan perkara yang lebih penting untuk dipentingkan. For the sake of lot of things especially for me and islam, I decided to leave niqab for a while for evaluation period, even when I went back to Sunway. Saya tidak tahu selama manakah 'a while' itu atau sejauh manakah 'leaving' itu. Hakikatnya, saya harap tidak jauh sebab saya juga sangat merindui niqab itu. Bukan secara fizikalnya tetapi niqab atas nama hijab dan pemangkin pemulihan hati. Dalam masa ini, saya ingin muhasabah kembali diri, menilai kembali segala niat-niat saya ke atas niqab, serta saya ingin melihat keadaan hati dan hidup saya dengan dan tanpanya. Saya ingin menyemak semula, adakah saya ikhlas selama ini atau telah terjatuh ke dalam ruang suka-suka (na'uzubillahi min zalik).

Tinggalkan kisah niqab. Ia kisah bosan yang tiada kaitan dengan letupan.

Melihat semula kepada status letupan sunyi di dunia gharib; disebabkan didikan perasaan baru terhadap jahiliah, saya tersilap jangka bahawa semua setiap manusia mestilah sempurna atau sedang berusaha ke arah itu. Saya mula hilang rasa berlapang dada dengan orang-orang yang tabiat semulajadinya sinis dan suka berbalah, saya mula hilang ramah dengan orang-orang yang kurang cekap. Lama kelamaan ia menjadi perasaan tidak sabar dan menjadikan orang-orang yang tidak sengaja tersilap pun menjadi mangsa. Saya mula melabel orang, memilih-milih, bercerewet dan bertambah teruk dan teruk.

Saya terlupa bahawa beginilah tarikan-tarikan syaitan membawa kita semakin jauh daripada iman. Tarikan ini penuh tekad -kalau tidak kufur dijadikannya lalai, tidak lalai dijadikannya melebih-lebih dengan yang perkara kurang afdhal berbanding yang afdhal dan akhir semakin jauh jatuh ke gaung iblis. Pada mula disebabkan ingin mengelak daripada berbalah, saya diam. Namun bila terlalu diam saya banyak berfikir dan bertengkar dalam otak. Mulalah watak bahagian baik dan buruk saya bergaduh dalam kepala. Saya pun jadi bingit dan sesak. Mungkinkah terlalu banyak prasangka astaghfirullah..

Bingit dan sesak inilah yang menjadikan saya semakin memaksa dan menjadi kasar pula. Lalu datanglah penyakit-penyakit hati yang lain.

Saya mencari dan mencari, saya menangis menahan sakit jiwa. Saya sunyi tanpa jiwa yang basah, tanpa teman zikrullah.

Alhamdullilah, nikmat kasih sayang dan pertolongan Allah telah datang. Kepala saya hilang bingitnya sedikit demi sedikit walaupun berdepan dengan orang-orang sinis yang sama. Apa yang saya perlukan ialah hembusan mujahadah dan ilmu (tarbiyyah).

Banyak perkara-perkara buruk yang berlaku kepada 'lone ranger' yang tidak membiasakan diri dengan persekitarannya. Sebelumnya kita biasa duduk dengan aman dan harmoni dan telah tercampak di ruang sesak yang mendesak-desak. Kita jadi pemarah.  Jiwa kita jiwa letupan.

Saya telah terlupa bahawa kebingitan ini adalah ujian dan tarbiyyah daripada Allah. Medan ujian ini luas dan berganti-ganti. Kita sentiasa mencari penyelesaian supaya tidak gugur dan futur di  tengah jalan.  Jangan sakit jiwa. Atau jangan dibiarkan lama. Yakinlah bahawa Allah Maha Mendengar dan Maha Penyayang.

It is impossible to be good if we're alone. Sambut kebingitan dengan kasih sayang.

Allah selalu mengingatkan, Dia bersama-sama orang-orang yang sabar!



 Kini super muslimah engineer yang gembiraaa

p/s: Masa buat kerja banyak istilah explode, BOM, Boom.






Tuesday, 12 January 2010

Saya Menjadi Fatin


Saya tak tahu nak tulis apa. Saya belum benar-benar bercerita tentang apa yang berlaku kepada diri saya selama beberapa minggu ini. Entah seronok atau tidak jika telah terkena cop Negeri Sembilan.

Saya lahir di Negeri Sembilan. Ketika masih bayi keluarga berpindah ke Perak, dekat kampung ayah. Kisah pertama terjadi apabila saya ditawarkan untuk bersekolah di sekolah asrama di Negeri Sembilan untuk kemasukan tingkatan satu. Cukup lima tahun berada di sana, tidak lama selepas itu, kini saya kena kembali lagi ke sana, di syarikat pembuatan kren. Yang beralamat Kg. Jawa, Klang, Selangor ketika menghantar resume tetapi dihantar ke cawangan utama di Negeri Sembilan. Tipah tertipu jang.

Semasa sekolah dulu saya pernah sampai ke sebuah sekolah agama yang berhadapan dengan sekolah berasrama perempuan. Memori bertaut kini apabila saya melalui kawasan itu ketika menghantar kawan sepejabat saya ke rumahnya. Paling terkini yang diketahui, kawasan perumahan itu merupakan rumah saya waktu saya baby dulu. Tempat tertanamnya uri yang memanggil-manggilku datang ke Negeri Sembilan he he. Rupa-rupanya sekarang saya sangat dekat dengan kenangan saya sendiri yang saya tak tahu.


Dekat-dekat situ juga ada rumah emak dan ayah sewaktu bujang, serta tempat kerja mereka, dan tempat emak berjogging, tempat ayah bermain bola sepak serta tempat mereka pertama kali bertemu dan la la la. Itulah memori tahun 1979 hingga 1988 yang menggamit kepala saya. Cop Negeri Sembilan tebal di dahi. Saya suka Negeri Sembilan. Sebab kalau saya buat salah di jalan raya, orang akan cakap, "Biarlah, kereta Penang tu." =P

Tentang bekerja di syarikat pembuatan kren - sangat, sangat seronok! Pengalaman berkerja sangat seronok. Menimba pengalaman daripada jurutera-jurutera pakar yang tidak lokek ilmu serta peramah -sangat mengejutkan. Ini kerana budaya ini sangat berbeza dengan budaya pelajar. Saya mengalami culture shock yang sangat positif!


Yang merah putih itu namanya boom ciku boom boom.

Setakat permulaan ini saya banyak berkenal-kenalan dengan software AutoCAD yang sememangnya ingin saya pelajari sejak dulu lagi. Alhamdulillah. Kadang-kadang saya pergi melawat kilang terutamanya jika saya tidak memahami lukisan kejuruteraan (drawing) yang terlekup dalam satu dimensi sahaja. Saya bersyukur kerana dikurniaan senior-senior yang suka menolong dan mengajar. Suatu ketika saya tertawa ketika sedang diterangkan tentang struktur kren, kerana memakai helmet keselamatan serta but, berdiri di hadapan binaan serta memegang kertas besar merupakan perwatakan seorang jurutera yang digambarkan dalam drama-drama melayu.

Yang anehnya, watak saya di sini ialah Fatin. Fatin ialah seseorang yang memiliki nama lain tetapi nama itu sukar disebut oleh orang lain. Saya merasakan nama Fatin itu terlalu tidak sesuai untuk saya tetapi apa nak buat, sudah terlekat. Yang penting, maksud nama kena baik kerana nama itu adalah doa. Fatin ialah seorang yang agak kuat makan, yang jarang tengok televisyen, yang tidur sangat awal dan membawa beg tangan ala datin sedangkan nama yang lain membawa watak yang agak berlainan. Mungkin kerana perubahan jadual hidup atau nama itu membawa watak yang tersendiri? Itu saya akan fikirkan kemudian.

Di sinilah baru saya merasakan merananya hidup tanpa tarbiyyah. Betapa sukarnya mencari tarbiyyah. Seksanya tercampak ke dalam dunia, yang jahilnya menarik-narik kita sedikit demi sedikit untuk jatuh ke sisi tebing kalau tidak ke dalam curam. Di sinilah hati kita perlu benar-benar bersih untuk mengenal pasti yang mana halal, haram, syubhat. Yang mana taqwa, yang mana dosa. Yang mana kerja, yang mana mengada-ada.

Terkini, emak telah membelikan baju dan seluar baru untuk saya, kerana dia kata seluar yang saya pakai untuk pergi ke kerja merupakan seluar pakai tidur.