Tuesday, 10 November 2009

Berapa Harga Kelisa?


Ketika soalan ini dijawab, ternganga juga mulut saya apabila mendengar jawapannya. Pada mulanya, logiklah jika nilai RM sebanyak 5 digit ditaruhkan kepada kereta perodua kelisa tapi bukan kelisa ini yang sedang menjadi tajuk perbualan.

Semasa dalam perjalanan pulang ke kampung, saya singgah ke tapak projek kolam ikan kelisa. Ketika mula-mula saya membelok kenderaan ke simpang yang dimaksudkan, lorong berkenaan sudah penuh dengan kenderaan-kenderaan besar seolah-olah menteri-menteri sedang bermesyuarat di situ. Rupa-rupanya inilah pelabur-pelabur untuk projek ikan kelisa ni.



Ikan-ikan kelisa yang bakal dilepaskan ke dalam kolam. 

Ikan kelisa merupakan makhluk Allah yang sangat unik. Ini kerana ikan kelisa jantan akan menelan telur-telur ikan kelisa dan menyimpannya sehingga anak-anak kelisa menetas. Kemudian, anak-anak ini akan diluah keluar dari mulut si bapa. Wow si bapa sangat baik! Sepanjang saya melintas setiap kolam, saya akan ternampak sepasang kelisa berenang beriringan. Rupa-rupanya sekarang musim mengawan. Maha Suci Allah yang cipta jadual alam dengan begitu teratur tanpa perlu menggunakan percetakan mahupun pengumuman. Ikan-ikan itu tahu sahaja masanya.

Ikan kelisa yang terbaik di dunia dikatakan datang dari kawasan ini. Ini kerana mungkin faktor air kolam itu sendiri yang sesuai dengan pertumbuhan ikan kelisa. Air kolam ini diambil daripada air tasik Bukit Merah sendiri. Kemudian, ikan-ikan ini pula akan diimport ke luar negara seperti China dan sebagainya.

Sebenarnya, yang paling unik di sini adalah harga ikan kelisa itu sendiri yang mencapai RM 13,000.00 seekor! Saya juga diberitahu bahawa harga anak ikan kelisa yang panjangnya seinci itu pun sudah mencecah RM 1,500.00 seekor. Pelaburan untuk kolam kecil seperti dalam gambar sebenarnya bernilai RM 260,000.00!! Garu kepala saya dibuatnya.

Nilai ni... manusia yang letak sedangkan Allah cipta secara percuma sahaja. Kalaulah ikan itu tahu dia begitu bernilai di mata manusia. Saya renung saja ikan dalam beg plastik itu. Mulutnya muncung-muncung belaka sambil memandang saya. Dan kalaulah bicaranya boleh kedengaran, tentu akan terdengar, "Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar!"

Sebelum ini ketika saya belum tahu cerita sebenar, saya telah pun berjenaka yang saya boleh melabur sebanyak RM 1,000.00. Namun sekarang, telan air liur sajalah sebab ekor pun tentu tak dapat!

p/s: Anda ingin melabur? Jomlah melabur bantu akhawat lain yang lebih memerlukan dalam perjuangan =)

Saturday, 7 November 2009

Baju


Aku jejak kaki ke tempat yang aku pernah datang tiga tahun dulu. Lepas beberapa jam aku sedar - aku memakai set pakaian yang sama seperti aku tiba di sini dahulu! Apakah? Setelah banyak perubahan yang berlaku dalam hidup setelah tiga tahun?

Aku tersilap tengok jadual final presentation project (jadual yang silap). Lalu, di hari presentation yang sepatutnya penuh formal dan bersedia, aku pula memakai 'abaya hitam yang besar dan labuh. Sedangkan sejak berminggu-minggu lalu aku sudah menyiapkan baju presentation sebenar di dalam almari. Dan sudah tentu aku tidak bersedia!

Tidak mungkin ada istilah kebetulan. 'Kebetulan' itu melawan hakikat takdir. Allah yang tetapkan semua ini. Mungkin aku ditakdirkan memakai baju yang sama supaya aku menilai diri aku pada kedua-dua rentetan masa. Apa perubahan yang aku alami, adakah aku gembira dengan diri aku sekarang (?). Dan mungkin aku disuruh supaya tidak fobia dengan tempat itu lagi disebabkan kisah kecil tiga tahun dahulu.

Mungkin aku ditakdirkan untuk berdiri di hadapan kelas dengan penampilan begitu. Mungkin sekali Allah ingin memelihara aku daripada benda buruk. Atau mungkin baju di dalam almari itu tidak bagus untuk aku. Allahu a'lam.

Aku hanya mampu meneka 'mungkin dan mungkin'. Yang pasti, 'mungkin' itu datang dengan keyakinan dan redha.

Monday, 2 November 2009

Sayang, Tapi Tak Guna


Aku menekan brek mengejut. "Bodoh," marahku kepada kereta yang memintas secara merbahaya di hadapan keretaku tadi. Tertanya aku juga terkejut dengan sasulku sendiri. Bodoh? Apa itu bodoh. Tidak, aku tidak maksudkan 'bodoh' seperti ejekan kanak-kanak itu tapi yang aku maksudkan adalah perlakuan dia itu bodoh. Ah, sama saja maksudnya.

"Astaghfirullah, kenapa saya kata bodoh tadi," kataku sambil mengusap-ngusap mulut.

"Itulah yang aku pelik juga. Setahu aku, aku tak pernah dengar kau kata macam tu," kata co-driver.

Benar juga. Aku tidak suka dan tidak pernah suka menyebut perkataan itu walaupun semasa kecil dulu. Namun, hari ini pagi-pagi lagi aku sudah memecahkan rekod. Sepanjang masa aku buntu memikirkannya.

mendengar perkara baik/buruk, efek pada hati dan akhlak

Rupa-rupanya beberapa hari itu, aku asyik mendengar bodoh, bodoh, bodoh serta kata-kata kesat yang lain. Walaupun aku tak perasan pun kehadiran suara-suara itu atau tidak ambil perhatian, ia telah lekat di hati dan otak. Wahh hebat rupanya kuasa minda manusia ini.
Kuasa minda manusia memang tak dijangka. Sebagai contoh, anda duduk dalam suatu tempat bersama seseorang yang sedang menyanyi lagu A. Tidak lama kemudian, apabila anda sedang rasa ingin berehat-rehat, terpacul lagu A itu daripada mulut anda juga tanpa anda sedari. Fuh, seperti fenomena menguap.



Macam mana nak berubah?


Soalan itu sangat biasa didengari daripada orang-orang yang ada keinginan untuk jadi lebih baik, yang baru mengenal erti taqwa. Yang ingin jadi berhati-hati dalam menjaga hubungan dengan Tuhan dan orang-orang yang ingin dikurniakan jiwa yang basah sentiasa dengan unsur-unsur ketuhanan.

Sudah cuba untuk jadi baik, tapi tak boleh juga. Sekejap sahaja kesannya. Jadi macam mana ni?

Aku juga pernah mengalami krisis perasaan yang sama, yang akhirnya meninggalkan rasa berputus asa untuk menjadi muslimah yang baik seperti yang lain kerana aku fikir aku telah banyak berdosa sehingga aku begitu hina dan tidak layak untuk kembali kepada Tuhan. Berubah itu sesuatu yang luar biasa mustahilnya! Fikirku. Lalu, semangat untuk berubah itu terpadam dan dibawa pergi arus semasa.

Hakikatnya, sama ada aku belum jalankan bersungguh-sungguh atau aku belum jalankan dengan cara yang betul.

kena tinggalkan perkara yang tidak berguna walaupun nampak kecil

Perkataan 'jahiliyyah' itu popular dalam buku sejarah, apabila kita menggambarkan masyarakat arab dahulu sebelum kedatangan Islam. Jahiliyyah itu bunuh anak, zina, arak, judi, sembah berhala. Itu sahajakah? Jadi bagaimana jahiliyyah itu boleh dikaitkan dengan orang-orang seperti kami yang ingin berubah sedangkan kami tidak bunuh anak, berzina, minum arak, berjudi apatah lagi menyembah berhala?

Aku pernah berasa seperti munafik sekali, apabila di ceramah atau kelas agama aku menitis air mata keinsafan lalu ingin bertaubat tetapi apabila pulang aku kembali jadi seperti biasa seolah-olah tidak menangis sebelumnya. Apa yang menghalang hati aku daripada terus basah mengingati Tuhan? Apakah yang menghalang aku daripada menjadi seseorang yang sentiasa berjiwa bertaubat??

Rupa-rupanya, aku yang belum tinggalkan perkara-perkara yang tidak berguna buat aku. Perkara-perkara yang tidak berguna itu adalah termasuk ke dalam jahiliyyah  dan mampu menghalang kita untuk memulakan langkah pertama untuk berubah - sama ada kita sedar atau tidak.


Perkara-perkara biasa mampu jadi jahiliyyah. Beli-belah, komputer, menonton, muzik, sosial, sukan, berekreasi, hatta belajar sekalipun.  Apabila semua perkara yang bermula dengan keperluan atau keharusan ini mula termasuk ke dalam ketagihan dan menjadi fokus, hatta nasyid juga boleh jadi melalaikan, hatta drama cinta islamik juga boleh jatuh ke dalam kategori yang menghalang kita berubah jika ia sampai telah membawa perhatian kita semakin jauh daripada Tuhan.

Seperti kes aku sebut 'bodoh' tadi, adalah kerana 'bodoh' itu telah terperap lama dalam lubuk hati. Maka aku juga jadi tidak sabar untuk menyebutnya. Semudah itu sesuatu perkara boleh menjadi sebati di dalam jiwa. Sesenang itu ia dihadam dalam jiwa.

Aku sibuk melayan, muzik dan drama cinta islami tapi akhirnya aku sedar aku telah terjatuh ke dalam dunia kejiwangan lalu mula melara dan mendamba sedih pilu dok teringat kisah cinta lama. Bukannya semakin islami malah lupa terus pada Tuhan. Aneh. Lalu, aku kena tinggalkan, sebab itu yang menghalangku. Mungkin orang lain tidak selemah aku baguslah. Namun, tugasku ialah menjauhi semua itu. Lalu, selepas itu aku boleh kekal berjiwa dengan jiwa sepatutnya.

Sebagaimana Allah telah berfirman dalam surah al-mu'minun (ayat 1-3):
"Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyu' dalam solatnya, dan yang menjauhkan diri daripada (perkataan dan perbuatan) yang tidak berguna." 

Bagaimana juga mahu khusyu' jika hati tidak ada di tempat solatnya, memikirkan perkara-perkara lain? Perkara-perkara itu lalu jatuhlah kategorinya sebagai perkara yang tidak berguna buatnya juga sebagaimana yang dinyatakan pula dalam ayat ketiga.

Jadi, hati-hati dengan apa yang kita lihat, dengar, cakap, dan rasa. Jauhi yang tidak berguna dalam menjana perubahan jiwa. Ia boleh memalingkan hati sekelip mata sahaja. Semudah paculan 'bodoh' dengan hanya terdengarnya di jalanan. Yang penting untuk diambil kira, untuk meninggalkan semua yang tidak berguna itu kita perlukan tekad yang kuat kerana meninggalkan perkara yang memang sebati dengan jiwa memang sukar dan menyedihkan. Tapi apa gunanya sayangkan semua perkara atau habit itu jika ia tidak beri harapan yang baik untuk kita selepas mati?

p/s: Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian..... (sambunglah sendiri)