Pages

Thursday, 1 October 2009

Arachnophobia


Pertama kali saya dengar istilah quran buruk ialah ketika saya tingkatan satu dahulu. Dalam banyak-banyak benda atau secara spesifiknya buku, kitab quran dipilih atas kemuliaannya. Namun, saya kerap kali membayangkan quran buruk ini sebagai dilema. Dilema yang dibawa quran buruk ini -atas nama kemuliaan alquran hatta yang menyentuhnya pun mesti menyucikan diri dahulu lalu dikaitkan quran buruk itu dengan orang tua. Mahu disimpan, tiada guna. Mahu dibuang, sayang. Itu maksud yang ditulis dalam buku.

Gara-gara seekor labah-labah, solat isya' saya tertangguh beberapa jam. Selepas saya siap mengambil wudu', saya singgah sebentar di komputer riba untuk menyemak fail yang sedang dimuat turun. Ketika itu, seekor labah-labah melintas dari dapur menuju ke karpet. Saya menjerit kepada adik saya supaya menjauhi karpet. Lalu, sepanjang beberapa jam kami berdua ketakutan walaupun labah-labah itu telah lama menghilang. Saya pula tak masuk ke dalam bilik untuk solat kerana kali terakhir dilihat labah-labah itu melewati pintu.

Labah-labah sahabat Nabi, itu yang didoktrinkan kepada saya sejak kecil. (Sehingga saya rasa bukan pencinta Nabi?)  Labah-labah membuat sarang di pintu gua demi menyelamatkan Rasul s.a.w.

Namun, labah-labah pula yang menghalang saya memasuki pintu untuk solat lalu tidak 'menyelamatkan' saya kerana melewatkan solat.

Labah-labah menyebabkan saya berada dalam dilema ala-ala dilema quran buruk. Betulkah apa yang saya buat dengan menjauhkan adik saya dari labah-labah itu lalu menakutkannya? Saya mungkin menyebabkan dia mengalami krisis jiwa masa kecil lalu menjadi arachnophobia macam saya. Atau patutkah saya mengelak untuk menjadi terlalu melindungi sebab labah-labah itu mungkin tidak berbahaya pun? Saya mungkin pula mengambil risiko mendedahkan dia kepada bahaya.

Atau saya je yang fikir complicated? Labah-labah tu rileks je.

          "Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar,

                     (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa mushibah, mereka mengucapkan: “Innaa Lillaahi Wa Innaa ilaihi Raaji’uun”.
  
           Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk."

(Al-Baqarah 2:155-157)