Sunday, 27 September 2009

Terima Kasih Kedah


Hari ini sudah menjelang jam 1:52 pagi Ahad, 27 September 2009. Ketika ini saya sedang berada di kampung halaman. Ada peluang saya ikut ibu bapa saya berjalan-jalan.

Mula-mula majlis perkahwinan kawan sekolah rendah saya, kemudian rumah terbuka kawan ayah. Makan. Kemudian saya memulakan perjalanan ke negeri Darul Aman untuk menghantar adik saya kembali ke sekolahnya MRSM (hari ahad hari bersekolah. Jumaat cuti.)

Seronoknya tengok keadaan sekolah berasrama, rasa rindu pada sekolah.

Kedah.

Kedah memberikan banyak kenangan buat saya. Di Kedahlah saya mendapat pengalaman dikejar anak lembu kerana baju merah. Saya juga boleh naik lori padi di bahagian belakang. Saya naik motosikal dengan Pak Long melawat padang (sawah padi) dan pergi melawat kilang beras.

Semasa kecil, saya sangat kerap ikut ayah dan Pak Long pergi tengok bola di Stadium Darul Aman. Saya sentiasa sokong Kedah, selalunya melebihi Perak. Saya masih ingat bagaimana saya bersorak apabila bola masuk gawang pasukan lawan. Paling seronok buat sorakan berombak (bangun dan angkat tangan tinggi-tinggi apabila giliran datang macam ombak)

Dan tadi, kedatangan saya disambut oleh alunan lentok pokok padi, langit luas dan sekerat pelangi yang cantik. Namun, saya dah lama tinggalkan Kedah. Perasaan sudah jadi lain.

Perasaan saya melarut-larut melihat sawah padi di sepanjang lebuh raya semasa perjalanan pulang. Mulalah datang satu persatu perkara lepas itu ini. Sedih dan sunyi pula.

Rasa malu dan bodoh pula apabila merasa sedih disebabkan semua itu. Kerana apabila hati sunyi, maksudnya hati sedang jauh dari mengingati Allah. 

Perasaan ini datang dan membebani. Hati ini menagih taqwa tetapi mungkinkah kurang usaha atau kerana tidak mahu berusaha dan menunggu suapan Tuhan semata. Jiwa kacau.

Mulakan pembaharuan. Mulakan hidup baru. Selamat Hari Lahir.

Sunday, 13 September 2009

Di Meja Persatuan 2


Sedang aku promosikan keahlian kepada kawan-kawan melayuku, tiba-tiba aku nampak dia datang semula ke meja kami. Kali ini dia bawa buku nota dan sebatang pen bersamanya. Aku terkejut juga dengan kesungguhan dia untuk mengenal islam. Dalam masa yang sama aku berasa sangat malu, terpukul kerana aku fikir selama ini mereka di universiti ini tidak berminat mengenali islam.
Aku menjemputnya ke tepi meja supaya perbualan kami tidak terganggu dengan pengunjung meja persatuan yang lain. Dia mengangguk senyum.

"Boleh ulang kembali apa yang anda ceritakan kepada saya tadi? Saya mahu catatkannya."
Terkejut yang aku alami tadi semakin dikejut-kejut. Memang dia bersungguh-sungguh. Aku rasa sangat terharu dan berdebar-debar.

Aku ada masalah memori. Aku pernah terlupa membuat assignment. Aku pernah menyebut nama orang dengan nama yang lain setelah berkenalan dengannya baru beberapa saat. 

Aku dah lupa apa yang diceritakan kepadanya tadi. Namun, aku cuba mengingat kembali dengan susah payah. Mujurlah dia yang banyak mengingatkan aku apa point utamanya. Jadi, tugasku cuma menerangkan kembali sambil tersengih-sengih malu.


Kemudian, aku lihat dia mencatat apa yang aku katakan. Buat pertama kali aku terasa seperti ditemuramah wartawan akhbar Utusan.


"Tolong terangkan kepada saya, tentang syurga dan neraka," soalan baru ditanya.


"Syurga itu sangat indah, buat mereka yang membuat kebaikan. Dan neraka itu sangat menakutkan dan menyakitkan, untuk mereka yang membuat dosa" jawabku dengan penuh ekspresi.


"Jika saya tidak beriman, saya akan masuk neraka?"


"Secara teorinya, orang yang tidak beriman akan masuk neraka. Namun, semua keputusan di tangan Tuhan. Manusia tidak mampu membuat apa-apa kesimpulan."

"Saya pernah dengar, orang Islam yang berdosa akan masuk neraka. Namun, akhirnya mereka akan masuk syurga juga."


"Benar, tapi anda harus tahu satu hari di neraka itu sangat panjang. Bersamaan 60 tahun di dunia. Dan manusia tidak mampu bertahan walaupun sesaat."


Dia mengiakan.


"Apa yang harus saya lakukan supaya saya masuk ke syurga? Adakah manusia akan masuk syuga jika melakukan kebaikan?" Tanyanya lagi.
Tak semena-mena aku senyum.


"Anda harus tahu, kebaikan yang paling besar dan utama adalah beriman kepada Allah. Kebaikan selain itu, yang datang tanpa iman dan tidak bermatlamatkan Allah sebagai Tuhan, telah digambarkan Allah seperti debu-debu berterbangan. Tidak bermakna langsung."

Dia mengangguk.


"Bagaimana jika orang yang tidak pernah tahu tentang islam? Adakah dia akan masuk neraka juga?"

"Secara teorinya, ya. Kerana dia bersalah kerana tidak berusaha mencari kebenaran. Namun, dalam masa yang sama orang-orang islam akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti. 'Mengapa mereka tidak menyampaikan tentang islam kepada orang-orang ini?' " Ketika ini aku bersa sangat terpukul dengan jawabanku sendiri. Hati aku berdebar-debar dengan pertanggungjawaban yang aku ambil remeh. Aku rasa malu padanya ketika itu tapi aku tahan saja.



"Jika saya masuk Islam (beriman), adakah Tuhan akan maafkan dosa saya supaya saya boleh terus masuk ke syurga?"

Aku terasa seperti mahu melonjak kegembiraan pada ketika itu. Aku memiliki perasaan yang kuat untuk memeluknya ketika itu. Tapi aku tahan sahajalah dulu.



"Sudah tentu!"


"Walaupun dosa saya banyak?" Dia nampak ragu.



"Ya. Allah itu Maha Pengampun, Dia akan mengampunkan dosa kita walaupun sebesar gunung sekalipun, walaupun sebanyak lautan, selagi kita bertaubat dengan sebenar-benarnya."


Aku nampak matanya berkaca. Ternyata dia hampir menangis ketika itu.


"Anda harus tahu, Allah itu Maha Berkuasa, Dia Maha Mengetahui. Tidak ada sehelai daun pun yang gugur ke bumi tanpa pengetahuan-Nya. Dia tahu perkara tersembunyi walaupun seekor semut hitam kecil di atas batu hitam di dalam malam yang gelap gelita. Dan kalam Tuhan itu... sangat banyak. Walaupun semua air di lautan ini digunakan untuk menulis kalam Allah, air laut itu akan habis walaupun kita ganda dengan lautan yang sama banyak dengannya."


Aku pun hampir menangis. Ketika itu aku baru tersedar, perasaan orang yang islam sejak kecil seperti aku sangat tak sama dengan yang lambat memeluk islam. Kita sungguh bangga dengan title islam itu sehingga mendengarkan cerita tentang kebesaran dan kekuasaan Allah pun tidak membawa apa-apa perasaan. Mungkin disebabkan kita telah mendengarkan perkara yang sama sejak kecil. Aku ingin ucapkan terima kasih kepada gadis ini kerana disebabkan dia, aku telah meletakkan diri aku ke dalam diri yang lain serta memahami islam dari kaca mata orang yang baru mengenali Tuhan.


Subahanallah. Indahnya perasaan itu. Seolah-olah mendakwahi diri sendiri.



p/s: Cerita ini bukan untuk pujian. Saya hanya ingin beri perkongsian kepada orang lain bahawa tugas kita di dalam hidup ini bukanlah semudah berfoya-foyaan tapi bukanlah sesusah dakwah Rasul Allah. Peristiwa ini benar-benar memberi motivasi dan keyakinan kepada diri saya untuk hidup sebagai hamba Allah yang 'lurus' walaupun terperangkap sebagai orang asing di dalam sebuah universiti antarabangsa. - Tidak perlu jadi sekular.

Monday, 7 September 2009

Air Mata Angah


Tadi sebelum solat isya', tiba-tiba fikiran saya asyik melayang teringatkan angah. Selalunya apabila terkenangkan adik-beradik, saya lebih cenderung untuk flash back kisah-kisah lama berbanding kisah sekarang. Oleh kerana saya seorang yang agak visual, kisah-kisah itu seperti ditayangkan semula di skrin mata lalu saya pulang ke masa lampau tanpa perlu menggunakan mesin kartun doraemon.

(Filem masa lampau ni nakal juga -dia pilih kisah-kisah dramatik untuk ditayangkan. Misalnya, apabila saya terkenangkan adik saya Siti, mesti saya teringat satu kisah kami semasa kecil-kecil dahulu. Saya bergaduh dengan dia sebab dia pukul adik kami yang kecil tu. Masa tu Siti baru nak makan nasi. Saya membentak lalu ikan goreng dalam pinggan dia terjatuh atas lantai tanpa sengaja. Dia pun menangis kesedihan. Saya rasa bersalah sebab saya tak pernah nak marah dia sebelum ini. Niat saya hanyalah supaya dia tidak mengganas sangat pada adik-adik. Tak sangka dia disakiti oleh saya sampai tahap macam tu. Hati saya terguris sampai sekarang setiap kali teringat kisah itu.)

Kisah dramatik yang terpilih adalah kisah angah di hari konvokesyennya. Hari itu saya rasa sangat bahagia. Sebab kali pertama saya berharap agar angah akhirnya menyedari dan merasai perasaan belonging dalam keluarga. Saya harap dia tahu betapa saya sangat bangga kepadanya. Begitu juga emak dan ayah.

Tetapi cara manusia memahami sesuatu perkara itu berbeza. Dan disebabkan itu tercetus salah faham yang menyusahkan dan tak terelak. Salah faham itu tidak menuding jari kepada mana-mana pihak kerana tidak ada sesiapa yang bersalah. Namun, semua pihak jadi terkesan.

Angah lurus juga orangnya. Dia beratur panjang untuk memulangkan jubah konvokesyen kerana dia fikir semua orang harus melakukan begitu. Sedangkan kami menunggu di luar untuk meraikan bersama-samanya. Akhirnya, lima belas minit, setengah jam, satu jam kami menunggu, dia tidak muncul-muncul. Kami hanya mampu melihat orang lain bergambar dan bergembira dengan keluarga dan kawan-kawan masing dengan jubah graduan. Ayah dan emak sudah semakin penat dan kecewa kerana dibiarkan begitu.

Dan angah tidak tahu tentang itu.

Ketika angah datang dengan gembira untuk meraikan bersama kami, kami semua telah pun berada di dalam kereta dan bersedia untuk pulang. Ayah dan emak telah penat menunggu. Muka angah berubah ketika dia masuk ke dalam kereta. Saya dapat melihat kegembiraan yang berkecai di wajahnya. Saya cuba ceriakan suasana dengan ucapkan tahniah kepadanya dan memberikan kepadanya jambak bunga yang kami beli.

Angah mungkin menyesal kerana ketidaktahuannya bahawa jubah boleh dipulangkan kemudian. Dia kecewa kerana hari bahagianya pergi begitu sahaja, tidak seperti yang dirancangnya. Tidak ada walaupun sekeping gambar, pelukan tahniah, atau ciuman kasih sayang. Semua orang ada kekecewaan mereka masing-masing ketika itu. Tidak semena-mena saya lihat ada air meleleh perlahan di pipinya. Angah!

Buat pertama kalinya saya lihat itu. Betapa sedihnya angah.

Ketika itu, barulah saya sedar betapa halusnya hati seorang lelaki bernama angah. Ketika itu dia seolah-olah telah membuat kesimpulan tentang penderitaannya selama ini. Yang mungkin datang dengan prasangka atau rendah diri.

Oh Angah.

Saya harap angah tahu, saya sangat bangga dengan angah dengan dirinya yang seadanya. Saya sayangkan dia walaupun dia jarang bersama-sama keluarga di rumah, walaupun dia tidak menonjol kerana tidak memasuki universiti. Masih, kakak sayang sangat angah. Tidak langsung berbelah bahagi antara angah dan along.

Angah tidak seharusnya cemburu apa-apa. Itu hanyalah prasangka orang yang merendah diri dan melara dengan keadaan diri. Kasih-sayang tiada batasan dengan kata-kata, senyuman, tahap pelajaran atau masa. Ia ada mendalam walaupun manusia tak menyedarinya.

Angah sekarang sudah bekerja dan berumahtangga. Saya lega kerana dia bahagia dan semakin bahagia serta makin matang alhamdulillah.

Memori Sedih

Saya tak suka mengingat kembali. Namun hikmahnya semua ini juga mengajar dan mendewasakan kita semua. Sekarang semuanya berubah menjadi semakin baik. Baru-baru ini bahu angah patah sebab dia kemalangan lagi. Angah ini sungguh kasihan orangnya.

Angah adalah abang rempit yang paling saya sayang. Saya suka bila membonceng motosikal angah apabila kami sama-sama mengambil lesen memandu di Bukit Mertajam dulu.

Memori sedih merupakan di antara perkara yang paling ditakuti manusia. Ia sering datang bersama malam dan kegelapan. Lalu kita tenggelam di dalamnya bersama hati yang lara.

Macam baru-baru ini ketika saya pergi ke LCCT untuk pick up sisters dari Jakarta untuk pergi ke program, sepanjang masa saya kesedihan kerana terkenang suatu memori sedih yang berlaku suatu masa dahulu di KLIA. Ketika itu jam 4 pagi, saya duduk berseorangan dan cuba membuang memori lama tapi ia datang juga menghimpit.

Berlindung

Bagaimana menjauhkan memori sedih dalam kegelapan malam ini? Saya teringat firman Allah dalam surah yang sering kita baca:

Qul a'uzubirobbil falaq...

Falaq. Subuh, waktu perantara siang dan malam. Perantara gelap dan cahaya. Siapakah Penguasa yang mampu menukarkan kegelapan kepada cahaya itu? Berlindunglah pada Penguasa itu.

"Daripada segala perbuatan makhluk-Nya. Dan daripada malam apabila gelap-gelita."
(ayat 2-3)

Hanya Allah pelindung daripada segala kegelapan dan kesedihan. Lagipun, semua kegelapan dan kesedihan itu makhluknya juga!

Jadi, sudah-sudah. Jangan cengeng ya semua!


Angah di hari bahagia.

p/s: Segala puji bagi Allah yang ada penawar dan penyelesaian bagi segala-galanya.