Tuesday, 18 August 2009

Astable


Telah lama saya merasa bagaikan telah menjadi bangkai bernyawa. Nak berjalan kena mengengsot basau seperti tak ada kaki apabila mahu ke kelas. Makan tak lalu, mandi tak basah tapi tidur sangat lena. Tidur sunat seolah-olah wujud pada waktu dhuha, sebelum asar dan selepas maghrib. Amboi! Perasaan berat apakah ini, seperti torsional force memulas jasad saya seperti memerah kain basah, lalu saya berkecai dalam keadaan yang sangat rapuh.

Kesusahan demi kesusahan.

Sejak melangkah ke tahun ketiga, segala-galanya kelihatan begitu sukar buat saya. Bermula dari kuliah yang tidak berkesan sehinggalah terlupa akan adanya tugasan yang perlu dihantar, saya telah mula panik.

Saya ini ialah manusia yang telah menjejakkan kaki ke tempat asing. Di negara yang dipenuhi lelaki-lelaki. Seringkali saya menghadapi kesukaran dan berputus asa. Saya selalu bertanya kepada Allah, "Ya Allah, apakah hikmahnya saya berada keseorangan di sini?"

"Sungguh, Kami telah menciptakan manusia itu berada di dalam susah-payah." (Al-Balad)

Benar, ya Allah.

"Apakah dia mengira bahawa tidak ada sesuatu pun yang melihatnya?"

Oh.

"Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (kebajikan dan kejahatan). Tetapi dia tidak menempuh jalan yang mendaki dan sukar itu?"

Begitu.

"Mereka adalah golongan kanan."

Wah, benarkah? Subhanallah.

Saya terlupa yang hakikat kesusahan itu memang sudah sebati dengan hidup setiap manusia. Jalan yang lurus itu kebanyakannya adalah jalan yang sukar dan mencabar. Dan golongan kanan itu berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan kepada kesabaran.

Akal fikiran 'dewasa' saya telah membantutkan/menaifkan motivasi diri sendiri. Sedangkan sejak kecil kita semua adalah juara. Siapa yang berjaya mendapat tempat di dalam rahim ibu berbanding jutaan applicant lain? Saya. Siapa yang berusaha untuk keluar dari perut ibunya, kemudian berusaha untuk bernafas buat pertama kalinya dengan susah-payah? Saya. Siapa yang tidak berputus asa belajar untuk meniarap, merangkak kemudian berlari tanpa paksaan? Saya!

Oh sayalah si tidak-putus-asa sejak dulu. Mengapa kini, setelah dikurniakan ilmu, akal, iman, kekuatan dan kelebihan, saya memilih untuk menarik diri? Porah!

Susah-payah itu sudah sebati dengan fitrah manusia. Namun ada yang bersusah payah kepada perkara yang tidak berguna, kejahatan atau lebih sedap disebut sebagai susah-payah untuk ke neraka. Dan alangkah indahnya apa yang dikatakan susah-payah untuk ke syurga yang tidak tergambar keindahan rupanya. Dan paling hebat, bertemu dengan-Mu ya Allah. Apakah yang lebih indah daripada itu untuk kami, untuk bertemu Yang Menciptakan, Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Mengetahui. Berikanlah saya peluang itu, ya Latif.

Saya mengibaratkan kehidupan yang dilalui manusia sebagai perjalanan merintis anak sungai di dalam hutan. Sekali-sekala kita terpesong sedikit dari jalan lalu termasuk ke dalam hutan yang semakin tebal. Lalu kita berusaha mencari semula laluan anak sungai yang selamat tadi. Adakalanya, kita tersasar lebih jauh ke dalam hutan lalu bertemu dengan pelbagai cabaran yang kritikal seperti harimau atau ular sawa. Lantas pada ketika itu baru kita tersedar yang kita sudah tersasar jauh. Kemudian, kita berusaha pulang ke anak sungai.

Terima kasih kepada kesukaran hebat tadi. Jika bukan kerananya, sudah tentu kita leka dan berjalan ke dalam hutan tebal, sesat dan tidak menemui jalan pulang selama-lamanya. Ingat, tidak semua orang yang sedar akan kesesatannya dan tidak semua berjaya kembali ke anak sungai kerana hutan juga ada tarikan indahnya yang tersendiri.

Seharusnya saya bersyukur Allah berikan saya kesukaran demi mengukuhkan hati saya berbanding memberi kesenangan sehingga saya jauh terpelanting daripada-Nya. Kami telah banyak menzalimi diri sendiri, ya Allah. Dengan rahmat dan kasih sayangmu, ampunilah kami, terimalah taubat-taubat kami, kekalkanlah penyesalan dalam hati-hati kami.

Saya harap saya dapat sampai ke muara.

'Astable' merupakan istilah baru yang dipelajari semalam. Ia merujuk kepada situasi 'neither stable nor unstable'. Situasi ini tidak dikehendaki ketika menganalisis tindak balas sesuatu model. Kita hanya mahu stable, stable! "You know the science, but design is an art!" You love art? Chayuk2! We love mechanical engineering!

Tuesday, 11 August 2009

Di Meja Persatuan 1

Setelah sekian lama aku duduk di meja persatuan itu, akhirnya aku membulatkan hati untuk menjadi proaktif. Aku sudah tidak tertahan melihat mereka di sebelah begitu ramah menyapa orang yang lalu-lalang tapi aku pula seperti patung busana muslimah yang didudukkan di atas kerusi sebagai pameran tambahan di meja persatuan.

Mula-mula aku senyum dan berusaha mengangkat pandangan kepada orang yang lalu-lalang. Senyum aku perlu lebih sikit sebab ia dinilai dari ekspresi mata sahaja. Dan bukan semua orang senang nak memahami senyuman mata. Disebabkan ramai sangat orang, mulut aku sangat lenguh jadi aku sepetkan mata sepuas hati sahaja supaya aku dikatakan sedang senyum he he.

Namun mungkin masih belum cukup. Tak ada orang singgah lagi ni. Kena proaktif lagi.

"Hye! Would you like to joint us?" Itu ayat pertama yang terpacul dari mulutku kepada seorang perempuan cina yang kelihatan berminat membaca artikel di meja persatuanku. Akhirnya ada yang menyinggah. Dalam hati aku menggelabah dan menyumpah, 'Buatlah ayat bunga-bunga sikit dulu aduh kau ini.'

"Tak mengapa. Saya cuma nak melihat-lihat," katanya dalam bahasa Inggeris.

Aku fikir. Tak mengapa. Teruskan! Proaktif! Proaktif!

"Sekarang persatuan ini dibuka untuk semua. Walaupun anda bukan beragama Islam."

"Ya, saya tahu," katanya sambil tersenyum.

Tapi aku lihat dia lebih cenderung kepada islam itu sendiri berbanding persatuan Islam. Sedangkan dalam kepala aku ketika itu sibuk merancang untuk meramaikan orang dalam persatuan Islam. Sampai jadi terlupa matlamat hakiki untuk meramaikan orang dengan Islam. Jadi cepat-cepat aku bertanya kepadanya mungkinkah dia ingin tahu tentang Islam.

Dia kelihatannya berfikir dahulu.

"Sebenarnya saya mempunyai seorang sepupu yang telah masuk islam," katanya membuka cerita.

"Oh."

"Bolehkah saya bertanya sesuatu?"

"Ya, silakan."

"Jika saya bertanya kepada anda 'Apa itu Islam?', apakah yang akan anda katakan?"

Kepalaku penuh berisi tapi lidah Inggerisku karat macam besi. Aku berdoa dahulu semoga Allah memudahkan urusanku.

"Aa..er..hmm.."

"Anda boleh bertutur dalam Bahasa Melayu? Jika ya, silakan. Dalam mana-mana bahasa yang memudahkan anda," ujarnya.

"Oh, ya, ya." kataku, malu. "Islam itu maksudnya tunduk dan patuh pada perintah Allah seluruhnya. Kita menyerahkan diri kita kepada Allah semata-mata. Kamu tahu, sebenarnya Islam itu bukan sekadar 'agama' dari sudut yang manusia selalu pandang. Ia menyeluruh. Islam itu ekonomi, politik, sosial, akhlak, dan semuanya. Sehinggakan cara kita bercakap dengan orang lain seperti sekarang ini, juga diajarkan dalam Islam."

Ketika itu tidak semena-mena orang ramai berkumpul untuk melihat perbualan kami seperti berkumpul melihat keraian. Yalah, aku pun bersemangat tanpa disedari apabila mula bercakap dari hati. Siap dengan gaya tangan ke langit. Mungkin itu menarik perhatian semua orang. Semoga mereka tahu, Islam itu terbuka untuk mereka dan semua.

Dia juga bertanya soal purdah yang aku pakai. Aku dengan berbesar hati bercerita tentang isu itu kepadanya.
Dan kami terus bersoal jawab satu dua soalan lagi. Dan akhirnya berkenalan. Bersalaman.

"Sebenarnya saya juga pergi ke meja-meja persatuan agama lain untuk bertanya. Saya tidak berpegang dalam mana-mana agama pun."

"Oh. Silakan bertanya lagi bila-bila masa sahaja jika anda mahu lebih mengenali islam."

Selepas dia pergi, mereka di meja sebelah-menyebelah masih memandang-mandangku dengan wajah ingin tahu berbaur cemburu. Semoga mereka cemburu untuk mengenali islam juga.

Dan selepas itu, aku semakin bersemangat untuk menguasai Bahasa Inggeris. Aku juga semakin yakin untuk bersosial. Ya, aku ada Islam yang paling haq jadi mahu takut apa jika kita di pihak yang benar. Yakin! Proaktif!

Aku kemudian berjalan dengan rasa bahagia berkembang, dengan rasa 'izzah akan Islam yang mencelup seluruh jiwaku sambil merasa aura cemburu mata yang memandang. Alhamdulillah.