Wednesday, 20 May 2009

Queen It

Maaf, post kali ini mengandungi unsur-unsur emosional tentang hidup. Diharapkan kesempitan kali ini menjadi peringatan dan pedoman pada masa akan datang supaya menjadi seorang hamba yang lebih bertaqwa. Allah tidak membebani seseorang melainkan dengan kemampuannya. Saya amat yakin dengan Allah.

Saya telah terbeban dengan masalah kewangan. Ini semua ujian daripada Allah. Walaupun saya telah merancang kewangan saya dengan baik, Allah merupakan perancang yang lebih bijaksana. Mungkin Allah ingin memberikan pengajaran kepada saya supaya menjadikan hamba yang lebih bersyukur.

Ayah sering memberi nasihat, "Guna duit untuk makan tak apa" sebab dulu saya selalu sayang duit dan tak makan. Saya pun ikut cakap ayah sebab tak mahu jatuh sakit dan menyusahkan emak ayah lagi. Bila dewasa, saya tidak sedar yang saya seolah-olah telah mengkhianati kepercayaan ayah. Nasihat itu disalahguna untuk dijadikan alasan berbelanja wang sesuka hati. Walaupun untuk perkara penting, saya telah lalai menyusunnya lalu memboros. Bila dah tersedar, ah! muslimah jenis apa kau ini -tapi sudah terlambat, duit takkan kembali. Yang berguna sekarang, saya perlu lalui ujian ini untuk muhasabah kembali diri. Mungkin disebabkan saya yang telah banyak membina jurang dengan Tuhan.

Hal wang bukanlah sesuatu yang dikesalkan sangat. Ia hanyalah kepingan kertas. Nilainya pun bergantung kepada golongan tamak bergelar currency traders kan -bukannya kita. Sebenarnya saya jadi beremosi disebabkan hal ibu dan ayah terkorban sama.

Saya sanggup berlapar dan ikat perut daripada meminta duit daripada emak dan ayah. Masalahnya, keperluan kewangan saya tidak hanya terhenti pada hal makan minum sahaja. Kini, saya memerlukan lagi duit untuk membayar duit rumah sewa baru. Duit yang telah saya beri tidak cukup. Untuk pendahuluan, saya perlukan lagi RM470. Sekarang saya cuma ada 10 keping wang RM 1 dalam dompet dan RM90 dalam akaun bank.

Disebabkan keperluan wang, saya terpaksa juga hubungi mak. Mak memulakan bicara dengan suasana sepi. Televisyen di rumah rosak -wang. Kos pelajaran dan makan minum abang di bandar - wang. Kos walimah abang ngah - banyak wang. Emak tidak sebut pasal wang tetapi kisahnya semua tentang wang. Ayah juga tidak lagi bergaji setinggi dulu. Sudah lumrah bekerja dengan orang. Kami bukannya senang.

Sepanjang waktu perbualan itu lidah saya terkedu.

Hati saya tercalar-calar. Saya tak sanggup nak beritahu emak. Saya sanggup berlapar demi emak tapi kali ini keperluan wang ini datang bersama suatu pertanggungjawaban dan janji. Saya terpaksa juga sebutkannya. Saya memohon ampun kepada Allah berkali-kali supaya hati ibu saya tidak susah. Tidak terjejak syurga kalau ibu menitiskan air mata!

Akhirnya ketika saya bertekad sebutkan tentangnya dari hujung talian, saya tidak sedar mengalirnya air mata di pipi saya. Saya tahan peritnya di hati. Pedih jiwa saya apabila membuatkannya susah hati, terpaksa memerah otak dan keringat dalam mengusahakan wang. Berkali-kali saya memohon keampunan tapi tidak terluah juga maka saya ulang dan ulang dalam hati.

Sepatutnya seorang anak yang sudah dewasa yang akan mengirimkan wang kepada ibu bapanya tetapi saya di sini masih lagi menyusahkan mereka.

Saya juga mungkin tidak dapat menghadiri walimah abang saya sendiri kerana tidak ada wang untuk membeli tiket bas. Apatah lagi nak bayar duit minyak kereta. Kalau boleh saya nak sewakan dulu tapi saya sendiri pun pinjam sahaja. Jadi buat masa sekarang, saya telahpun memasang niat untuk makan nasi sehari sekali sahaja sampai hujung bulan ini. Namun langsung tidak mengapa, kerana merasa hidup susah menjadikan kita lebih bersyukur. Ada yang jauh lebih susah.

Apa yang menariknya, saya semakin faham mengapa di dalam Surah Al-Ma'un Allah melarang kita daripada mengherdik anak yatim dan tidak mendorong memberi makan kepada orang miskin. Golongan ini merupakan golongan yang susah hati, tiada pelindung dan yang paling terdedah kepada kerendahan moral dan pendidikan. Jika hal ini berlaku di kalangan umat Islam sendiri terutamanya, maka kita sukar mendakwa bahawa Islam itu membawa kepada kesejahteraan. Jadi, orang yang mengherdik anak yatim dan tidak membantu orang miskin ini boleh dikatakan sama sahaja sama ada mereka beriman atau tidak beriman. Sikap mereka tetap tidak 'mensejahterakan Islam' di mata orang lain.


Ujian kali ini mengajak saya menilai ayat-ayat Allah. Alhamdulillah saya jumpa keindahan itu. Cara untuk saya berbakti dan membalas jasa emak dan ayah adalah dengan tidak hanya bersungguh-sungguh di uni, tapi, malah berusaha menjadi seorang wanita yang solehah. Itu yang lebih penting.

p/s: Kurniaan Allah akan sampai kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Saya berdoa semoga masalah kewangan ini menjadikan saya lebih dekat dengan Yang Maha Kaya.

Saturday, 16 May 2009

Saya Hormat Semut

Sebenarnya komputer riba saya merupakan komputer riba yang unik. Ini kerana ia bukan hanya mampu menyimpan maklumat, internet, microsofts dan softwares malah secara fizikalnya komputer riba sangat efektif. Ia mampu menjadi tempat tinggal SEMUT!

Ketika saya sedang menaip sekarang pun, ada semut yang seronok menyusuri di sekeliling skrin dan melintas. Ada juga yang sedang sibuk keluar masuk dari celah-celah keypad. Hmm.. Nampaknya lalu lintas agak sibuk hari ini.

Walaupun menyakitkan hati (tak ada tempat lain nak bersarang ke), namun semut adalah salah satu makhluk yang menarik perhatian dan mengagumkan saya.

Saya rasa semut ni lurus bendul. Pernah saya letak jari saya di tengah-tengah laluan semut di dinding rumah. Habis gelabah semua semut. Banyak yang berpatah balik lalu sibuk menyampaikan berita tentang laluan mereka yang 'hilang' kepada semut-semut yang ditembungi ketika berpatah balik. Tak ada seekor semut pun yang berjaya melepasi halangan hujung jari saya walaupun hanya perlu belok sikiiit saja. Alahai comellah semut ni.

Semut di rumah saya 'terpaksa' berjalan mengelilingi frame pintu untuk sampai ke bahagian seberang. Kadang-kadang saya rasa macam nak cuba cakap dengan semut tu supaya lalu di bawah sahaja untuk seberang pintu tapi semut manalah faham. Mungkin itu jalan terdekat yang dijumpai perintis mereka. Walau apa pun, semut memang terbukti rajin. Betapa bersungguhnya mereka sehingga mampu menggigit bungkusan plastik roti saya sehingga berlubang besar. Hebat..

Wayar tetikus saya dijadikan sebagai jambatan dari lantai ke komputer. Kreatif...

Celah-celah penutup botol air saya dijadikan tempat bersembunyi puluhan ekor semut. Licik...

Hamster, anak ayam, anak kucing saya habis dimakannya. Bagus, bercita-cita tinggi...

Suka gigit kaki orang. Berani, kuat...

Banyak sifat baik pada semut ni. Kalau kita betul-betul memerhati. Seekor semut lebih pakar dan awal berzikir daripada seorang manusia. Sambil angkut makanan sambil menyebut-nyebut zikrullah beramai-ramai.. Subhanallah walhamdulillah wallahuakbar...

Masyaallah.


p/s: Tapi kalau komputer ni meletup, memang nak kena semut ni.

Saturday, 9 May 2009

Target Masa Hadapan

Saya ingin berkongsi beberapa hasrat hati dan target saya untuk masa hadapan.

Sekarang-2011 : Saya masih di Monash University. Saya target akan graduate dalam bidang Mechanical Engineering pada pertengahan tahun 2011 insyaAllah..

2011-2012 (23-24 tahun) : Pada masa ini target mungkin sedang internship dalam bidang kejuruteraan. Minimum 2-3 bulan, maksimum satu tahun. Katakanlah maksimum masa yang diambil. Campur masa kosong untuk apply itu apply ini. Maka mula bekerja pada tahun 2013.

2013-2015 (25-27 tahun) : Mula bekerja sebagai engineer. Mungkin production engineer atau well engineer tapi bukan design engineer sama sekali. Wah ya Allah, tak dapat saya bayangkan yang saya akan menjadi engineer. Yahooooo! Mungkin saya akan bekerja paling kurang tiga tahun dalam syarikat yang sama. Masa itu agak lama. Jadi saya ambil kesempatan ini untuk belajar sambil bekerja di IPTA seperti UIA, UITM, UM atau U lain. Kalau ada rezeki, target nak ambil subjek Bahasa Arab atau Sejarah dan Peradaban. Jika tak ada rezeki atau tak berpeluang, mungkin saya akan pergi kelas tuisyen bahasa pada hujung minggu sahaja he he. Dan target saya insyaAllah pada tahun 2013 saya akan mendirikan rumahtangga.....

2016-2019 (28-31 tahun) : Setelah tiga tahun bekerja, pada ketika ini saya masih tidak memilih apa yang saya akan lakukan. Namun by this time, saya sepatutnya sudah langsai segala hutang biasiswa ke apa. Wang simpanan juga sepatutnya sudah dalam berkeadaan baik. Saya ada 3 perancangan. Yang pertama, teruskan bekerja tapi mungkin di syarikat lain untuk menambah perisa hidup sikit. Atau yang kedua, berhenti bekerja sebagai engineer - sambung belajar dan cari kerja lain yang ringan seperti menjahit he he dan kerja sebagai suri rumah tangga dan businesswoman yang berjaya. Atau yang ketiga yang paling best, merantau ke banyak-banyak negara untuk mencari ilmu. Saya prefer negara timur tengah supaya saya lebih mudah untuk belajar bahasa Arab. Selain itu saya akan rasa lebih dekat dengan sejarah islam dan tamadun-tamadun yang banyak diceriatakan di dalam Al-Quran. Saya juga nak explore Valley of The Kings nak sapa Tutankhamun dan Hatshepsut.

2020-... (32-... tahun) : Waktu ini bergantung pada pilihan tadi. Wawasan 2020 he he. Pada masa ini saya sepatutnya dah tukar no kereta jadi AUN129 he he.

Semuanya tertakluk kepada Qadar-Nya. Semoga panjang umur dan dikurniakan rezeki yang murah dan halal..

Apa perancangan anda?