Saturday, 28 February 2009

...



Testing mobile blogging. Gambar berikut adalah tempat cucuk USB di atas pelapik mouse, bukannya donut J.CO di atas kuih bendera.

Monday, 16 February 2009

Kampung Dulu-dulu

Seronoknya dulu-dulu duduk di kampung. Tak kenal erti allergy atau sakit. Budak-budak bebas pergi ke mana-mana tanpa halangan. Tak perlu takut penculik atau bosan. Tak perlu bazir duit untuk ps2 atau ps3. Nak beli gula-gula pun jarang sekali.

Masa sekolah fardhu ain pada waktu petang (kami panggil sekolah arab), kami main pepsi kola depan kelas. Lepas tu gaduh-gaduh dengan budak laki. Geng-geng kelas A suka main lompat getah (kami panggil zeropoint) tapi kami tak main sebab kaki kami penuh kudis. Takut lompat nanti nampak kaki kudis. Kami suka main di bendang. Jadi badan kami selalu miang-miang dan jadi kudis. Bila waktu rehat kami beli bihun 30 sen dibungkus dalam beg plastik kecil. Selalunya kami minta dia letak kuah laksa sama, baru sedap. Kami malas nak basuh tangan atau makan comot-comot. Jadi kami gigit dan koyakkan bucu beg plastik dan makan dari situ. Bila balik kami main aci ligan dan aci menyorok sampai petang.

Paling syok bila geng-geng orang besar nak mengagau di telaga dan parit. Sebelum mengagau, depa menimba dulu. Menimba ni buang air dari telaga atau parit sampai tinggal selut. Selalunya, depa guna timba yang diikat kiri kanan dengan tali. Lepas tu dua orang pegang pada hujung setiap tali dan mencedok air keluar ke tempat lain. Depa menimba cepat. Kadang-kadang air dan selut melompat mai dekat kami. Ada masanya, ikan pun tercedok sekali jadi kami letak pukat di tempat air yang dicedok tu. Bolehlah kami tangkap ikan sepat atau puyu yang tersesat.

Bila parit dah kurang air, depa semua turun dalam tu. Selutnya dalam. Kadang-kadang sampai pinggang. Jenuhlah nak bergerak. Kerja kami budak kecik ialah mengutip ikan yang dilempar ke atas oleh orang di dalam parit tu. Kami pun pernah mengagau juga tapi kami takut nak tangkap ikan sebab kami tak boleh bergerak dalam selut.

Lepas mengagau, kami mandi dalam parit lain yang ada air. Semua orang jadi warna kelabu sebab penuh dengan selut sampai atas kepala. Jadi, kena mandi dulu baru boleh masuk dalam rumah. Sambil tu, mak depa menyiang ikan-ikan tadi dekat tepi tu. Yang lebih bagi dekat jiran tetangga.

Selain mengagau, kami juga selalu lari-lari dalam bendang. Kadang-kadang saja nak berjalan atas ban sampai hujung. Di bendang tok su, depa buat titi sampai hujung bendang. Lebar titi dia kecik saja. Saiz satu papan. Kami suka pergi sampai hujung untuk tengok rumah kami dari jauh.

Bila orang dah ambil padi, kami main layang-layang dalam bendang. Kami buat sendiri. Kalau tak jadi, kami beli dekat kedai cina kat pekan. Layang-layang kami tinggi. 45 minit nak gulung balik tali dia. Kalau lambat, teriakla sebab kena tinggal dengan orang lain dekat tengah-tengah bendang malam-malam. Pacat pula wajib naik atas kaki.

Kami pernah bergaduh dengan kawan kami. Depa ejek dari jauh, jerit kuat-kuat, "Munirah gigi rongak! Munirah gigi rongak! Ye! Ye!" Orang tu orang Kolumpo jadi dia cakap pelek sikit.

Bila ada kapal terbang yang lalu, kami jerit panggil-panggil kapal terbang tu. Sampai kapal terbang tu hilang dari pandangan di celah-celah pokok nyioq.

Sekarang ni dah tak ada orang menimba, mandi parit, aci ligan. Di belah atas nun adala ramai yang main layang-layang. Kerja kami dok teringat saja la.

p/s: Mendewasakan insan.

Monday, 2 February 2009

Fuluslah!

Abang telah mewariskan kepada saya sesuatu benda sebelum beliau kembali ke Bangi. Celcom Broadband! Alhamdulillah akhirnya dapat juga bekalan internet yang berterusan. Semoga jalan dakwah dan ilmu bertambah luas terbuka untuk saya yang terperosok di kejauhan ini.

Masalahnya sekarang, saya akan mengalami masalah kewangan sebermulanya semester kedua pada bulan hadapan. Kini, saya terpaksa membayar bil Celcom Broadband pula untuk setiap bulan. Walaupun duit scholarship bulanan yang diberi oleh MARA agak banyak iaitu sebanyak tujuh ratus ringgit, saya perlu membayar untuk bermacam-macam lagi perkara yang menyebabkan kemungkinan tidak cukup makan. Peruntukan wang biasiswa saya ialah untuk:

1. Sewa bilik RM 260.00 (Setelah berpindah kerana sewa rumah lama naik kepada RM 450.00)
2. Kenderaan RM 200.00
3. Hal-hal sampingan kenderaan RM 100.00
3. 5% "KWSP" (Kump. Wang Simpanan Pelajar) RM 35.00
4. Celcom Broadband RM 60.00-RM 70.00 (Tak pasti)
5. Makan minum: RM 700.00 tolak average RM 660.00 = RM 40.00

Biar betik RM 40.00 sebulan? Sehari +-RM 1.00. Seringgit nak makan apa kak?

p/s: Belum tolak duit untuk simpanan bulanan. Kalau tidak, dah negatif ringgit he he.
-Tak mengapalah, rezeki di tangan Allah. Guna apa yang ada. Mungkin lebih elok daripada makcik-makcik dan pakcik-pakcik di kampung yang simpan duit berpuluh-puluh ribu dalam bank tetapi tidak pernah merasa pegang duit sebanyak itu di tangan sendiri. Nanti meninggal orang lain yang merebut sakan.