Pages

Wednesday, 24 September 2014

Kita Lepaskan

Bagaimana perasaannya,
Apabila menyeka air hujan di pinggir mata,
Tapi hati luluh kerana
ia saat sempurna.

Bagaimana pementasannya,
Apabila kehilangan banyak benda,
Tapi memiliki segala-galanya?

Perasaan jadi mengalir
Jika ia selalu menzahir.

Rindu akan tersekat,
Kerana hati yang hitam pekat.

Apa yang ada ambillah.
Yang lain kita lepaskan.

Thursday, 7 June 2012

Teori

Kita hidup dengan gumpalan-gumpalan teori yang disumbat dalam ruang otak kita. Nak hidup bahagia, begini. Nak hidup kaya raya, begini.

Kita share dan bersetuju dengan teori-teori ini dengan sepenuh jiwa, malangnya ia begitu susah dipraktikkan di dalam kehidupan kita yang realiti.

Contohnya apabila bercakap tentang cinta. Memang mudah kita menyebut dan meletakkan prinsip cinta pada dahi kita masing-masing. Kita menulis dengan tegas tentang pentingnya cinta Allah. Kita bercerita tentang hubungan cinta yang halal serta mudahnya urusan pernikahan.

Teori-teori.

Kadang-kadang dengan teori ini kita cuba melawan diri sendiri dan mengingkari fitrah. Kamu berbicara tentang nikah yang halal dan couple yang haram, lalu beranikah kamu bersaksi bahawa jiwa kamu bebas daripada cinta kepada manusia berlainan jantina itu? Kamu berbicara tentang kehebatan rijal yang terbaik dicipta oleh sejarah. Kita harus begini, mengapa kita begitu. Apakah kamu berani bersaksi bahawa kamu bebas daripada kelemahan itu?

Itulah dunia yang penuh teori. Kita melafazkannya tanpa mengambil kira fitrah manusia. Walhal Islam yang diajarkan Allah melalui Rasulullah saw. adalah sedekat-dekat deen dengan fitrah.

Bukan di atas buku-buku, praktikal.

Thursday, 19 April 2012

Hipotesis

Apa tahap viscosity hidupmu? (Kredit)

Ini hanyalah suatu tarikan dari kelikatan (viscosity) yang melambatkan gerakan cecair. Gerakannya lambat, cukup perlahan untuk memberi masa yang memadai untuk menyedari keadaan sekeliling. Gerakannya tidak seberani atau serawak air biasa, supaya kekangan yang ada melatih sifat sabar.

Tetapi apabila kita sedar daripada penceritaan yang panjang ini, kita merasakan kita telah ketinggalan daripada realiti selama puluhan tahun. Maka, romantisnya perjalanan yang likat ini kadang-kadang menyakitkan dalam jiwa, lalu memberikan kita mimpi-mimpi ngeri dalam tidur.

Apabila kita mula rasa hipotesis kita salah, eksperimen yang dijalankan sudah pun hampir berakhir. Dikala jari kita menyelak kertas-kertas conteng yang penuh dengan senarai hipotesis yang tidak terpilih, ada suatu rasa besar di situ apabila kita merasakan kita telah melepaskan hipotesis yang betul.

Menyesal?

Dahulu, semasa kita bertongkat dagu untuk memilih hipotesis yang menarik, semuanya kelihatan sama sahaja. Sama baik dan sama hebat. Kemudian apabila kita berjaya memilih satu, sudah tentu kita melihat ia sebagai hipotesis terbaik.

Sehinggalah eksperimen tidak memberikan hasil yang kita inginkan, pada saat itu, hipotesis lain sangat kompetitif, semacam bangkit memerli-merli sinis kerana tidak dipilih dahulu.

Menyesal?

  Ini adalah permainan dunia. Sudah tentu itu
hanyalah alasan, walaupun manusia malas mengakuinya. (Kredit)

Sesalan akan memakan rasa untuk bangkit; ia akan mematikan sekecil-kecil harapan; ia akan menutup hampir kesemua peluang dan keyakinan; dan memudarkan makna hidup.

Menyesal?

Ada terlalu banyak untuk dilepaskan dengan menyesal.

Ianya salah besar jika kita cuba membanding-banding dengan generasi sebelumnya. Kita tidak dididik untuk mencari kejayaan dengan usaha tungkus-lumus dan kesabaran seperti mereka. Generasi kita dididik untuk mencari makna hidup, dan melakukan sesuatu yang mendorong kepadanya.

Maka, penyesalan hanya akan menambahkan kelikatan dalam perjalanan hidup yang singkat ini. Terlalu rugi untuk dibazirkan.

Dan masa yang berlalu tidak akan selamanya rugi jika kita membawanya ke eksperimen hadapan sebagai malar yang baru. Impian juga tidak pernah terkubur jika kita setia memekatkan aksara-aksaranya dalam kertas-kertas conteng kita.

Jangan patah semangat dalam mencari makna hidup.

:)