Pages

Saturday, 20 August 2011

Bertanding dengan Aragorn



Bukanlah saya mahu membandingkan kehebatan orang-orang yang beriman dengan orang yang musyrik, kerana darjat orang-orang yang beriman tentulah sangat tinggi darjatnya di sisi Allah. Allah juga telah meletakkan satu soalan yang benar-benar jelas maknanya di dalam surah Az-Zumar ayat 9:

(Apakah kamu orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadah pada waktu malam dengan sujud dan berdiri, kerana takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah, "Apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sebenarnya hanya orang yang berakal sihat (ulul albab) yang dapat menerima pelajaran.

Cuma saya berasa lucu kerana pernah cemburu kepada watak Aragon (juga dikenali sebagai: Aragorn II) yang memiliki umur yang panjang. Umurnya sudah melebihi 80 tahun semasa menyertai the Fellowship of the Ring. Dan Aragorn bersemadi pada umur 210 tahun. Saya mendapat tahu bahawa the Hobbits (Merry dan Pippin) juga memiliki umur yang panjang.

Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam qadar.

Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?

Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.

Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izinnya Tuhannya untuk mengatur semua urusan.

Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar. (Surah Al-Qadr)

Seribu bulan itu bersamaan kurang lebih 83 tahun, kurang sedikit sahaja daripada umur Aragorn the Strider pada ketika itu. Tetapi 83 tahun itu dapat dicapai dalam satu hari dalam setahun, dan 83 tahun yang berpanjangan dengan ibadah soleh, dan 83 tahun sebagai orang mukmin. Tahun hadapan ada lagi tambahan 83 tahun jika kita berusaha sebetulnya dengan sebenar-benar 'kepahlawanan'.

Oh kelakarnya. Mengapalah saya membanding-bandingkan dengan Aragorn. Ternyata kita jauh lebih hebat kerana kita ada the Lord of the Alamin! Ada apa dengan sebentuk cincin kosong dibandingkan dengan Allah yang Maha Berkuasa? Heh.

Sisipan: http://zaadut-taqwa.blogspot.com/2011/08/manifestasi-cinta-ar-rahman.html

Wednesday, 6 July 2011

Samudera

Dalam melayari bahtera kehidupan ini, laut nampak luas. Kita berpusing dalam gelora mana sekalipun, kita akan sampai jika kita memegang kompas dengan betul. Jalan mana yang kita pilih, ia tetap akan sampai kepadanya walaupun ada yang lambat atau cepat berlabuh.

Destinasi.

Kalau tidak ada arah tujuan, ke manakah kita berlayar, kapankah kita sampai? Dan apa yang sebenarnya kita berbuat di atas bahtera ini?

Dalam pelayaran ini, mampukah kita mengucapkan 'cukup bagiku Allah' ketika laut bergelora menghempas lantai-lantai samudera. Kita hampir hanyut jika tidak berpaut pada tali layar.

Mampukah kita mengucapkan 'cukup bagiku Allah' tatkala kita melihat dari kejauhan layar bahtera lain mengejar di belakang, layarnya semakin mendekat berkibar-kibar. Mungkin tiga atau empat jam lagi ia sampai.

Bahtera kehidupanku.

Aku tinggal dalam tidak ketahuan bagai berserah menunggu ajal. Adakah musuh atau sahabat? Angin di sini tidak membantu layar kami. Mampukah aku mengucapkan 'hasbi Allah'?

Andai aku mati dikelar lanun itu, apakah mampu aku ucapkan 'cukup bagiku Allah' ketika aku terdampar menanti malaikat datang menjemput. Dan ketika aku berdiri di tanah besar, aku tahu itulah destinasi semua pelayaran. Mampukah aku ucapkan ayat yang sama?

Aku fikir yang dia fikir dia mahu aku berlabuh di sini. Namun aku fikir aku mahu berada di sana. Aku sedang fikir apa yang mereka fikir.

Sesungguhnya aku perlukan pimpinan dari-Mu.

p.s. Tak ada hati, sedang cari hati untuk cari kerja.

Monday, 13 June 2011

Luar Biasa

 
Doa adalah seorang ibu kepada anaknya.

Adalah kuntum kepada bunganya.


Doa ialah surat rindu yang tidak bertinta,

Sampai tidak bernama, tiba tidak bertanda.


Doa itu gelombang kuasa,

Yang menggegar langit, dan mengundang taufan.

Doa bisa menghentikan masa,

Menggagalkan fitnah, menjayakan cinta.

Doa itu pintu diri yang tiada berkekang,

Diketuk dan dibuka.

Untuk melihat Furqan.

Luar biasa.




-AM