Pages

Saturday, 10 December 2011

Celaka

Astaghfirullahal 'azim.

Ya Allah, sesungguhnya aku sangat jarang mensyukuri segala nikmat kebaikan yang telah Engkau berikan kepadaku. Ternyata masih tebal debu-debu jahiliyyah pada wajah ini yang selayaknya ditabur tanah. Aku khuatir, jika usaha yang aku lakukan ini hanyalah sebuah drama boneka yang dimainkan si penghibur demi mencari keredhaan manusia di atas nama ketuhanan.

Tatkala aku mencipta mahligai di dunia, apakah mahligai akhiratku telah lama runtuh kerana dibangunkan dengan batu-bata dari lembah kepura-puraan?

Sungguh ikhlas dan riak itu bermain di antara dua tali yang nipis. Dikala aku sedang leka memintalnya, tali itu terputus dan jariku terluka dengan halusnya gesekan kemunafikan.

Wahai hati yang rapuh, mengapakah engkau meminta-minta secara memaksa dan menjatuhkan semangat dirimu seolah-olah Allah tidak pernah memberimu apa-apa kebaikan? Celakalah kamu, celakalah.

Sungguh aku hina. Aku tidak layak beroleh hadiah indah kerana aku hanyalah manusia yang tamak luaran tetapi hatinya pengecut untuk merembat segala kebenaran dan kepastian. Mengapa aku tidak menyalahkan diri sendiri sebagaimana terlihat salahnya hati aku bangkit menyambut deruan itu? Tatkala mereka melangkah pergi dahulu, apakah aku layak mengharapkan panggilan yang sama?

Celakalah kamu, celakalah.

Ya Allah, Engkau lebih mengetahui apa yang selayaknya buat diriku yang hina ini. Hanya kepada-Mu aku berharap, hanya kepada-Mu aku sembah dan hanya kepada-Mu aku memohon pertolongan.
 

Wednesday, 16 November 2011

Action wa Reaction

"That man plays with pig."

Dalam hidup, kadang-kadang kita bertemu dengan falsafah dan teori yang aneh dan lucu tetapi benar. Contohnya, sunnatullah yang berjaya diinterpretasikan oleh Newton sebagai hukum gerakan ketiga Newton (Newton's 3rd Law of Motion). Hukum ketiga Newton menyebut bahawa bagi setiap daya yang dikenakan, terdapat satu daya yang sama bertindak ke atasnya di arah yang bertentangan.

Sebagai contoh, apabila kita ingin melompat keluar daripada sampan ke tebing, kita menyedari bahawa sampan itu akan bergerak ke arah bertentangan dengan tebing. Susah nak lompat kan? Dan jika kita memakai kasut roda dan menolak seseorang, kita pun merasakan suatu daya ke atas diri kita lalu kita tertolak ke belakang. Ini dinamakan sebagai action dan reaction.

Dan saya selalu membuat ayat-ayat lucu mengenai Newton's 3rd Law of Motion seperti:
Buah epal jatuh di atas kepala Isaac Newton. Kepala Isaac Newton jatuh di atas buah epal.
Kakinya menyepak punggung kucing. Punggung kucing menyepak kakinya.
Tangannya menepuk-nepuk lantai. Lantai menepuk-nepuk tangannya.
Saya bersandar pada tunggul. Tunggul bersandar pada saya.
Saya berdiri di atas padang. Padang berdiri di atas saya.
Tangan kamu menampar pipi saya!?! Pipi saya menampar tangan kamu!!

Dengan itu tercapailah equilibrium (keseimbangan) yakni net force equals to zero. Anda boleh duduk dengan statik (atau bergerak dengan dinamik) tanpa ada risiko disedut oleh graviti lalu terperosok ke dalam mantel bumi :D

Action Reaction Rohani

Dan sebagai seorang muslim, kita sepatutnya melihat perkara ini dengan lebih halus dan mendalam. Kita sepatutnya menyedari, setiap tindak tanduk atau lintasan hati sekalipun, adalah daya-daya yang sedang keluar dari jasad kita. Maka, menurut hukum sunnatullah melalui Newton tadi, daya akan dibalas dengan daya yang sama kuat.

Kebencian akan dibalas dengan kebencian.
Prasangka akan dibalas prasangka.
Manakala cinta pastinya akan dibalas dengan cinta.
Atau selainnya, kebinasaan akan berlaku kerana tiada keseimbangan. Seperti binasanya Abu Lahab kerana cinta Rasulullah saw. yang diberi kepadanya dibalas pula dengan kebencian.

Sahabatku,
Jangan takut untuk memberikan cinta kerana menurut ketetapan action reaction tadi,

Saat kamu mencintainya, dia mencintaimu!

Maka, jangan takut mencintai mad'u mu kerana keikhlasan itu tidak akan dibalas melainkan dengan kecintaan. Jika mad'u itu menolak cintamu, pasti akan datang cinta dari mad'u yang lain kerana daya cinta itu perlu ada action reactionnya.

Action reaction juga ada disebut dalam al-Quran,

“Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (an-Nur :26)

Dan ketika kita memberi dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan, sebenarnya akan dibalas juga dengan suatu daya lain yang seimbang dengannya berupa ketenangan, kebahagiaan dan sebagainya. Dari sudut yang lain, prasangka akan dibalas kembali dengan prasangka. Jika kamu membenci seseorang, kebencian itu akan kembali kepadamu. Kemudian, ia boleh membawa kebinasaan seperti yang disebutkan dalam al-Quran,


Matilah kamu kerana kemarahanmu itu!! (Ali-Imran: 119)

Ternyata manusia bisa mati kerana kemarahannya sendiri. Kemarahannya berbalik kepada jiwanya sendiri.


Tabayyun


Bersangka baiklah (husnu dzon) terhadap saudaramu. Dalam surah al-Hujurat, Allah menyuruh manusia mendamaikan antara dua pihak yang bertelagah. Dan dalam surah yang sama, Allah memerintahkan kita agar meneliti (tabayyun) dahulu berita-berita yang diterima. Bererti mendengar daripada semua pihak.

Dan selagi mana kita benar-benar ikhlas, Allah tidak akan membiarkan diri kita larut di dalam fitnah orang-orang yang fasik. Tegasnya diri kita terhadap berita-berita yang tidak diketahui kebenarannya (dari kedua-dua belah pihak) perlu seperti tegasnya Abu Ayub al-Ansori apabila isterinya membawa cerita Aisyah ra. difitnah bersama Sofwan;

"Aisyah ra. jauh lebih baik daripada kamu!"

Para ulama' termasuk Imam Shafie rahimahullah juga mengakui yang boleh jadi ia benar, boleh jadi ia salah. Itu ulama' agung, lalu kita sesempurna mana?

Dalam zaman yang semakin berkembang ini, ijtihad memainkan peranan yang sangat penting. Dan dalam pemilihan jalan-jalan yang tidak jelas, barangkali terdapat khilaf dalam menentukan yang mana benar dan yang mana salah. Namun, tidakkah kita tahu, ijtihad itu ada pahalanya walaupun ia salah?

Itukan jauh lebih baik daripada menggunjing kerana tentu-tentu sahaja ada dosanya meskipun ia betul! Maka telitilah. Fatabayyun! Dan jauhilah prasangka kerana kebanyakan prasangka itu dosa!

Apabila ada yang berkata, "I play with pig," atau "I am pigging,", telitilah dan bersangka baiklah kerana mungkin ia maksudkan PIG (Pipeline Inspection Gadget) dalam konteks pipeline. Adakah anda telah husnu dzon?

 Mungkin saya yang su'u dzon terhadap kamu yang husnu dzon :P

Monday, 10 October 2011

Keperitan Untuk Kenikmatan



Sesungguhnya dunia itu menyakitkan. Itulah sebabnya orang-orang yang soleh sejak zaman dahulu begitu merindui akhirat. Alam yang kekal sejahtera selamanya. Selamanya itu bermaksud tiada penghujung kerana semua makhluk termasuk masa telah 'expired'.

"Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui." (29:64)

Aku begitu terkesan dengan kisah Uwais al-Qarni ra., seorang pemuda yang tidak mahu dikenali di bumi tetapi terkenal di kalangan penduduk langit. Sehingga Allah sendiri mewahyukan kepada Rasulullah s.a.w. akan khabar kedatangan Uwais ke Mekah semasa ketiadaan Baginda. Setelah Rasulullah s.a.w. wafat, para sahabat menanti kedatangannya untuk mendapatkan doanya seperti yang disarankan Baginda. Setelah uwais meninggal dunia, para penghuni langit datang berbondong-bondong mengiringi jenazahnya dan ketika itu barulah penduduk kampungnya gempar - siapa sebenarnya Uwais al-Qarni ini sehingga begitu ramai 'orang asing' datang mengiringinya?

Subhanallah. Itulah kisah seorang lelaki yang bersusah-susah untuk dapat bertemu dengan Rasulullah s.a.w., juga lelaki yang sangat memuliakan ibunya, lelaki yang mengorbankan harta dan jiwanya demi Allah dan Rasulnya, lelaki yang paling tidak dikenali manusia tetapi paling 'popular' di kalangan malaikat.


Kita dapat membayangkan kesakitan yang dihadapi Uwais al-Qarni r.a. semasa hayatnya. Antaranya deritanya merindui untuk bertemu Rasulullah s.a.w, peritnya memikirkan ibunya semasa pemusafirannya, kecewa dan patah hatinya tidak dapat bertemu Rasul walaupun dari jauh ia datang serta sakit dalam jiwanya kerana terpaksa pulang dengan segera demi cinta dan janji kepada ibunya yang sakit. Kesakitan di atas kesakitan di dunia.

Aku membayangkan betapa bahagianya Uwais al-Qarni pada ketika ini bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dengan kemuliaan daripada Allah dan para malaikat. Mereka tidak mendapat peluang bertemu di dunia ini, tetapi dihadiahkan pertemuan di tempat yang gilang-gemilang suasananya.

Kita telah menemui banyak formula dan teori mengenai alam. Kebanyakannya teori sains tulen. Allah pula telah mengajarkan kepada kita tentang formula-formula kehidupan di dalam Al-Quran.

"Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan. Maka ditekankan lagi sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan!"

Orang kita pun selalu sebut, "Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian."

Kita ini juga ditimpa kesakitan saban hari. Ada yang sakit diuji dengan luka fizikal, ada yang sakit diuji dengan masa yang cepat, ada yang sakit untuk sabar menjadi orang asing di tempat baru, ada sakit menahan cinta dan rindu, ada yang sakit menyesal apabila tergelincir kerana kesilapan, sakit kehilangan, sakit berpenat lelah berusaha, sakit dalam usaha berlapang dada, sakit untuk bertahan supaya tidak tidur, sakit dalam berharap. Semuanya sakit.

Bertabahlah! Kerana sakit-sakit ini tidak akan wujud lagi di dalam syurga. Tidak wujud lagi luka, masa, sabar, suruhan menahan, sesalan, kesilapan, kehilangan, penat atau suruhan berusaha. Yang ada hanyalah kenikmatan!

Maka jika anda mengalami perih dan sakit di dunia ini, maka anda selangkah menuju ke arah lumrah kehidupan beragama. Jika kesakitan itu kesakitan yang benar, yakni sakit dan terluka kerana Allah, maka anda selangkah mendapatkan janji-janji Allah.

Lalu, sedarlah bahawa keperitan itu suatu kenikmatan!

Ya Allah, kurniakanlah kami kesabaran dengan kesabaran yang baik.

p.s. Asyik terkenang seorang ukhti yang aku rindui. Ukhti, jika aku tidak dapat menjengukmu... ketahuilah bahawa keperitanmu itu dicatat oleh Allah sebagai suatu kenikmatan jika kita redha dengan sebenar-benarnya. Semoga kamu beroleh kesembuhan dan kekuatan serta kecintaan daripada Allah. (update: Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Moga Allah rahmati ruhmu)