Pages

Wednesday 7 March 2012

Cinta & Prejudis

Segala puji-pujian bagi Allah yang menguasai langit dan bumi dengan kebesaran-Nya, dan menguasai hati-hati manusia dengan kekuasaan-Nya. Dialah yang mengilhamkan cinta dan benci. Dan Dia jugalah yang menggerakkan setiap urat saraf dan sendi hamba-hamba-Nya bagi menjalankan kehidupan mengikut jalan-jalan yang mereka pilih.

Dalam derasnya jari ini yang menaip, semoga perasaan yang mengalir dalam deras yang sama ke seluruh jasad merupakan perasaan yang benar.



Adikku,

Ada suatu tajuk, yang kebanyakan di antara kita malu nak sebut atau bincangkan kerana takut dicop oleh pihak yang lain. Dalam masa yang sama, tajuk itulah yang berlegar-legar dalam kepala kebanyakan antara kita terutamanya pihak yang suka mengecop itu sendiri. Tajuknya ialah cinta. 


Disebabkan sikap-sikap tegas yang diajar terhadap perhubungan, kita tersilap menghukum perasaan cinta itu sendiri. Kita terpaksa bersetuju bahawa cinta itu hanya menjadi halal selepas waktu sekian-sekian -sebelum itu haram, dosa besar, tak boleh.

Kita menyekat terus perkataan cinta. Hanya dibenarkan pada masa tertentu. Sehinggakan jiwa kita merasa begitu sakit dengan peraturan ini. Sakit kerana berlagak suci dan menipu diri sendiri; mahu bertarung dengan fitrah menggunakan peraturan-peraturan yang disalahertikan.



Adikku,

Apakah cinta itu bisa dihalalharamkan?

Cinta itu tiada halal atau haram, tetapi bagaimana melaksanakan cinta itu yang ada halal haramnya.

Sayangnya, kita tidak diajar cara untuk bercinta dan menguruskan rasa cinta. Kita membesar dengan melihat perasaan cinta dihukum dan disekutukan dengan nafsu. Ini sangat menyedihkan.

Akhirnya hari ini, kita berjaya menghasilkan pemuda pemudi yang pandai ‘menjaga diri’ mereka tetapi jiwa mereka telah gagal awal-awal lagi. Jiwa mereka sakit setiap masa. Terkurung dalam penjara penipuan diri sendiri.

Pada suatu tahap, krisis ini menimbulkan pelbagai penyakit hati.

Mereka menjadi orang-orang yang suka mempertikai tentang semua perkara. 'Dia tu tak beramal pun, kenapa dia dapat kahwin dulu?' atau yang seumpamanya. Hati-hati mereka menghukum/menilai orang-orang yang terlibat dengan cinta, sama ada yang berlaku secara halal atau haram. Mereka tersilap membanding-bandingkan nasib mereka berbanding nasib orang lain dan kadang-kadang tersilap menggesa Allah dalam doa-doa mereka.

Kedengaran seperti suatu protes terhadap qadar Allah? Ini adalah produk-produk pemuda pada hari ini.

Inilah realiti yang berlaku dalam jiwa kebanyakan di antara mereka; walaupun mereka enggan mengakuinya.



Maka adikku,

Saya tidak mahu menulis untuk menghalang jiwa-jiwa daripada cinta. Kerana nanti walaupun saya nampak anda mengangguk bersetuju dengan syarah-syarah itu, hanya Allah sahaja yang tahu betapa terlukanya jiwa anda pada saat itu.



Adikku,


Belajarlah bercinta, dengan cara yang benar. Yakni cinta yang tidak perlu disekat dan dihalang, kerana cintanya ternyata mulia. Inilah yang dikatakan cinta Allah dan kerana Allah. Tidak terpisah dengan Allah.

Maka, semuanya perlu berbalik kepada Allah.


p.s. Saya tidak sesekali bermaksud untuk menghalalkan apa yang telah diharamkan!