Monday, 11 June 2012

Cermin



Saya pernah katakan kepada si dia, bahawa dia adalah cermin saya. Melalui cermin, kita melihat imej kita yang sebenar tanpa ada unsur penipuan atau hipokrasi. Jika wajah anda ada cela dan jeragat yang besar, maka itulah yang cermin tunjukkan. Jangan marah kepada cermin kerana ia tidak mungkin menipu.

"Ya Allah! Besarnya jerawat aku!"

Ha ha.

Cermin yang terbaik adalah cermin yang tidak memantulkan imej yang palsu. Kalau kita melihat ke dalam cermin yang kurang kualiti, pemantulan cahayanya yang tak sekata menyebabkan anda salah tafsir terhadap diri anda sendiri. Terkadang anda lihat mata anda besar, cantik! Namun, bila digerakkan sedikit cermin itu lubang hidung pula yang besar macam serobong asap!

Jadi, bagaimana kita memastikan bahawa cermin itu tidak memberikan imej yang salah? Jawapannya, pilihlah cermin yang betul!

Orang yang bijak tidak akan membuang masanya memilih-milih cermin yang sempurna. Orang yang bijak adalah orang yang cuba meneliti dan mengenal sifat cermin yang ia lihat itu. Walaupun cermin yang ia lihat itu tidak sempurna kualitinya, orang itu tidak akan tertipu dengan imejnya kerana ia telah memahami sifat cermin itu awal-awal lagi. Dia akan pandai adjust pemahaman terhadap imejnya berdasarkan pemahamannya terhadap sifat cermin tadi. Ini yang dimaksudkan dengan mencari cermin yang betul.

Dan dengan sifat cermin yang tulus itu, ia hanya mampu mengajarkan dan menunjukkan kepada kita rupa kita sendiri. Apa yang kita lihat, kita nilai sendiri dan betulkan sendiri. Kita tidak boleh mengandaikan imej kita dalam cermin yang tolong membetulkan rambut kita yang serabai atau memadamkan gincu yang terlebih pekat itu. Kalau imej dalam cermin yang bergerak tiba-tiba tanpa mengikut gerakan anda, tidakkah itu sungguh angker?

Jadi, perubahan hanya akan berlaku dengan "tangan" sendiri.

Ini menjawab beberapa salah faham mereka tentang perubahan-perubahan drastik 'lagenda budak setan' kepada 'angel pakai gucci' yang berlaku setelah berkahwin.

Beberapa bulan lepas, seseorang bertanya kepada saya,

"Saya rasa nak tahulah. Apa perubahan selepas kahwin ya? Ada tak perubahan? Semakin senang ke hidup?"

Saya katakan YA, sudah tentu ada perubahan. Disebabkan 1. Dia; dan 2. Diri sendiri dengan adanya dia.

Oleh itu, ayat "Mak, saya nak kahwin!" semasa stress dengan masalah hidup memang sangat selfish kerana bergantung pada point nombor satu sahaja! (Sekali lagi isu ni) Ha ha.



Formula Baitul Muslim

Sejak zaman dahulu, saya sering mendengar tentang tambah tolak sifir pernikahan yang disebut-sebut dan diajar:

1 + 1 = 1 (atau > 1)
1 + 0 = 0

Ini memang valid dari suatu sudut, yakni supaya kita melihat betapa pentingnya baitul muslim yang dibina dengan mereka yang faham akan agama mereka. Saya sangat bersetuju dengan formula ini. Isu Baitul Muslim tidak boleh diambil sambil lewa, kerana ia penyumbang besar dalam tangga kebangkitan Islam menuju ustaziatul alam (ustaz kepada alam) heh.

Dek kerana tersilau dengan blink-blink dunia yang cantik, ramai yang menggunakan alasan bla bla itu ini untuk menyalahi prioriti ini dan menggunakan nama dakwah untuk memenuhi kehendak nafsunya. Akhirnya, kerana salah niat maka hijrahnya menuju apa yang ia kehendaki sahajalah...

Prioriti tetap prioriti.

Tetapi realiti selepas perkahwinan, 1 + 1 boleh menjadi 0, apabila mereka tersalah pandangan bahawa dengan menikahi orang yang 'faham', maka baitul muslim mereka sudah 'heaven', mereka sudah selamat dan boleh berehat. Lama kelamaan, entah siapa yang bimbing, entah siapa yang mendidik. Aku harapkan kau, kau harapkan aku, maka kes senyap. Na'uzubillah.

Dalam masa yang sama, ada banyak kes yang berlaku sebaliknya dengan formula 1 + 0. Bahkan kehidupan mereka jauh lebih baik & 'laju' berbanding yang lain kerana mereka berusaha untuk saling meningkatkan diri masing-masing. Rumah mereka berapi-api dengan semangat tarbiyah yang meletup-letup bom bom.

Hakikatnya, manusia memang hanya boleh menilai manusia lain dengan nombor berdasarkan apa yang ia lihat sahaja.. Namun, ketahuilah bahawa Allah Maha Bijaksana dan sebaik-baik Perencana. Setakat 1 dengan 0 ni, Allah boleh bolak balik macam tu saja. Boleh jadi yang disangka-sangka 0 tu adalah 0.9999999 sebenarnya.



Nombor-nombor ni hanya permainan. Dan penilaian 1 + 1 atau 1 + 0 hanya permulaan. Selebihnya, bergantung kepada usaha mereka sendiri untuk mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri, barulah Allah akan mengubah segala "nombor" yang ada pada diri mereka.

Dan ya, sebagaimana kita melihat punca masalah jerawat melalui cermin, dia adalah sumber untuk kita melihat punca masalah lalu melaksanakan perubahan itu. Tarbiyah sentiasa bermula dengan diri sendiri, kemudian barulah dilaksanakan bersama-sama. Perjalanan ke arah 1 + 1 = 1 itu bukanlah ditentukan pada permulaan perkahwinan semata-mata, ia adalah proses seumur hidup.

Semoga Allah memberkahi pernikahan kami dan mereka yang berusaha melaksanakan syariat-Nya demi mendapatkan redha-Nya.

p.s. Kegembiraan atau kegusaran yang terpancar pada 'cermin kita' adalah kegembiraan dan kegusaran diri kita sendiri.

p.s.s. Yeay! Dah update!

No comments: