Sunday, 8 April 2012

15th Day

Beheaded. Hu hu.

Hari ke-15 bergelar seorang isteri.

Saya tidak tahu adakah bercerita tentang ini bakal memberikan manfaat kepada orang lain, kerana saya sendiri merasa agak ganjil untuk bercerita tentang fasa hidup yang baru ini.

Pada mulanya, saya merasakan cerita ini tidak perlu ditulis kerana lambakan kisah cinta yang diperdengarkan hanya akan mengganggu jiwa-jiwa remaja di luar sana. Walhal, ada banyak lagi perkara penting yang boleh dituliskan. Namun, saya lebih suka menulis tentang sesuatu yang dekat di hati saya. Walau bagaimanapun akhirnya, tidak dapat tidak, ia mengambil 15 hari untuk saya mengumpul sebab untuk menulis tentang ini.



Pertama-tamanya, alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah memudahkan urusan pernikahan kami.

Dahulu saya pernah memiliki angan-angan pelik, iaitu untuk menerima lamaran daripada seseorang yang lebih muda daripada saya. Kenapa? Entah, saya pun tak tahu. Berangan nak jadi seperti Khadijah ra. agaknya. Saya menganggap angan-angan itu tidak tercapai kerana kedua-dua kami lahir pada tarikh yang sama, 26 September 1988. Namun, apabila saya mendapat tahu bahawa saya lahir beberapa jam lebih awal daripadanya, saya rasa macam nak ketawa besar. Angan-angan tercapai!

Saya akui, sejak dahulu lagi, mulai pada zaman sekolah, saya sebenarnya susah nak mengakui kewujudan cinta. Memang, cinta itu ada, tetapi bagi saya ia hanya selayaknya dari Tuhan, untuk Tuhan, dan manusia-manusia yang terpilih. Dan untuk manusia biasa seperti kita... cinta itu tak wujud. Atau persoalan sebenar saya, cinta tu apa sebenarnya?? Macam mana nak tahu kita sedang merasai cinta atau ia sekadar perasaan normal yang dirasai dalam semua ikatan?

Adakah rasa suka yang rendah boleh diiktiraf sebagai cinta (awalan cinta mungkin) atau tidak. Pening memikirkannya.

Maka, di antara rasa ragu, keliru dan takut ini, saya menakrifkan cinta sebagai sesuatu yang sangat suci sehingga manusia biasa seperti kita tak layak memiliki cinta. Yang kita ada hanyalah perasaan-perasaan palsu yang disalahfahamkan sebagai cinta.

Disebabkan itu, saya agak alergik dengan ayat-ayat cinta islami yang dikongsi oleh kebanyakan orang dalam dunia maya seperti, "Aku mencintaimu kerana cintamu kepada Allah. Jika cintamu pada Allah hilang, maka hilanglah cintaku padamu." Lebih kuranglah hu hu. Walaupun ayat-ayat berkenaan di-quote dari hadith dan kata-kata ulama', tetapi penggunaan meluas di kalangan kita untuk melayan jiwang masing-masing menyebabkan saya sedikit anti dengan aktiviti itu (bukan anti dengan kebenaran kata-kata berkenaan).

Maka, ianya agak susah bagi saya untuk membuka pintu hati bagi seorang lelaki atau apa-apa sahaja -baik kucing, bunga, baby cute, impian. Saya percaya cinta kepada semua itu sirna, dan hanya akan melukakan diri sendiri. Saya pernah menangis selama 3 jam tanpa henti selepas dimarahi di pejabat walaupun kerana kesalahan kecil. Ini kerana saya sangat berusaha dan baru sahaja membukakan pintu hati kepada bidang ini tetapi ternyata kesannya sangat melukakan. Namun kemudian, peristiwa itu benar-benar membuatkan saya berfikir akan niat sebenar saya bekerja selama ini. Jika saya bekerja kerana Allah, perlukah saya terluka sebegini??

Dush.

Mengenali Allah melalui tarbiyah benar-benar merubah hidup saya sehingga hari ini. Dengan tarbiyah, segala yang menyakiti jadi penawar, segala yang buruk jadi indah, segala yang baik disyukuri, segala yang dilalui jadi hikmah. Tarbiyah bukanlah melalui kelas atau usrah semata-mata, ia proses penyucian hati dan pembinaan iman melalui peringatan dan ilmu. Tarbiyah bermula dari dalam diri sendiri.

Tarbiyah benar-benar mengajar saya erti cinta. Cinta kepada Allah adalah sesuatu yang tidak mungkin sirna. Dan cinta kerana Allah pula, adalah sesuatu yang lebih tinggi dan selamat daripada cinta biasa, kerana asbab cinta kita itu adalah Allah, yang tak mungkin melukakan.

Maka, setelah mengenali tarbiyah ternyata saya lebih lebih lebih mencintai ibu bapa saya dan sahabat-sahabat saya, lebih istimewa lagi cinta ini berputik di atas nama aqidah dan ukhuwah, serta tanpa rasa rugi sanggup berkorban harta kerana mereka -kerana-Nya.

Itu sebabnya jika orang berasa pelik melihat segolongan manusia yang sanggup bersusah payah pergi program dan usrah sehingga dua hingga tiga pertemuan setiap minggu, sanggup meninggalkan pakaian dan cara hidup yang seronok, dan ada sahabat saya yang sanggup bertukar kepada pekerjaan yang gajinya separuh sahaja dari pekerjaan lama demi hidup yang lebih berkat dan diredhai Allah; mereka ini.... bukan obses kepada manusia, persatuan, aktiviti atau jamaah. Tidak mungkin orang-orang yang obses kepada semua itu akan bertahan lama.

Mereka dapat mengecapi nikmat iman dan islam yang sebenar, yang menggerakkan wajah dan halatuju hidup mereka untuk mendapatkan redha Allah.

Mereka orang-orang yang dilamun cinta Allah.

Dan sungguh, saya mensyukuri tarbiyah Allah kepada saya selama ini, kerana dengannya, saya tiba-tiba boleh membuka pintu hati kepada seorang lelaki yang kini menjadi pemimpin saya. Sungguh ajaib, selepas janji diikat setia melalui lafaz akad itu, segala-galanya berubah. Saya adalah orang yang baru. Yang semakin bersemangat untuk menjalani tugas dan tanggungjawab, serta berlumba-lumba untuk berubah. Benarlah, dengan pernikahan itu, separuh daripada agama telah disempurnakan. Kami mesti bertaqwa dan bertawakal untuk yang selebihnya.




Saya mengambil masa yang lama untuk menulis, kerana kini saya tidak mewakili diri saya lagi, tetapi kami berdua. Segala apa yang saya katakan adalah kata-katanya. Segala apa yang dia katakan adalah kata-kata saya.

Sudah tentu, saya boleh katakan ini dengan senang hati kerana alergi saya telah menemukan penawarnya: "Aku mencintaimu kerana cintamu kepada Allah. Jika cintamu pada Allah hilang, maka hilanglah cintaku padamu." Beliau juga berhak melafazkan kata-kata yang sama kepada saya.

"Barangsiapa memberi, menolak, mencintai, membenci dan menikah karena Allah, maka sempurnalah imannya." (maksud hadith, riwayat Abu Daud)

No comments: