Saturday, 10 March 2012

Untitled

Apabila sesetengah orang berkata, jangan bercerita tentang diri sendiri, saya rasa cemas. Kerana walaupun saya tak bercerita tentang apa yang saya makan hari ini, adakah ia keju atau susu, ia masih cerita-cerita tentang diri saya.

Jika kamu membaca blog ini sejak post pertama, kamu hanya akan dapat baca cerita dari satu pihak sahaja -saya. Tidak kiralah sama ada saya bercerita tentang isu semasa, pendapat, ilmu atau peringatan, ia tetap datang dari kepala dan jari saya. Maka, semua di sini tetap milik saya.

Cerita-cerita dalam blog umpama sebuah komet yang meluncur dalam dunia asing yang gharib. Jauh untuk dicapai tetapi dekat untuk dilihat.

Apabila orang-orang yang saya jumpa bertanya, kenapa kamu tak suka makan sayur. Saya akan jawab, ia adalah trend. Apabila mereka bertanya mengapa kamu tak makan ketam, sotong, siput atau kerang, saya akan jawab bahawa saya adalah jelmaan ikan duyung dan saya cintakan rakan-rakan laut saya. Dan apabila mereka bertanya, mengapa kamu tak makan epal, anggur, jambu atau betik. Saya akan jawab bahawa saya adalah makhluk asing yang merantau ke bumi semasa kecil. Di planet saya, mereka hanya import durian dan rambutan.

Jenaka. Manusia memilih untuk berjenaka kerana dua perkara: mereka malas nak ceritakan hal sebenar kerana impaknya tak bermakna pun atau mereka sebenarnya tidak mahu memberitahu jawapan dan dalam masa yang sama mereka tidak suka menipu. Jadi, apabila seseorang mula berjenaka, pastikan apa sebabnya. Kecualilah jika anda memang memilih untuk mendengar jenaka berbanding jawapan sebenar.

Rasulullah saw. juga berjenaka, tetapi dia tidak pernah menipu. Ini sangat menakjubkan, kerana tidak semua orang memiliki bakat itu. Dia, boleh membuatkan saya yang berada di abad ke 21 ini ketawa apabila mendengar jenaka yang berusia lebih 1400 tahun itu.

'Semua unta adalah anak unta.' Memang genius.

Berkenaan dengan sebab jenaka saya, ia adalah pilihan pertama. Saya tahu saya adalah manusia yang rugi kerana saya tidak pernah merasai makanan-makanan itu. Sebelum saya mendengar hujah yang sama pada mulut setiap orang, lebih baik saya mengaku dahulu bahawa saya memang adalah makhluk asing.

Saya tak menipu. Kita semua adalah makhluk. Dan saya memang asing disebabkan hal epal itu. Ya, berkenaan ikan duyung itu, itu merupakan suatu perkara yang saya perlu ubah. Saya nak menggunakan alasan bahawa saya menggunakan ayat kesusasteraan, tapi ia tetap satu penipuan.

Kesimpulannya, saya memang makhluk asing. Kadang-kadang saya mempunyai ikatan rasa sayang yang pelik terhadap barang-barang. Saya kumpulkan tiket tempat letak kereta di tempat kerja sejak hari pertama saya bekerja sehingga hari ini. Saya simpan barang-barang saya yang rosak. Dan kertas-kertas, kamu dapat bayangkan.



Disebabkan saya suka menjadi komet yang gharib, maka suka melihat dengan perspektif komet yang gharib. Maka ada orang yang menyangka bahawa saya tidak mengenali dia, sedangkan saya rasa saya lebih mengenali dia melebihi apa yang dia tahu tentang diri saya. Ia sangat mengujakan, kerana saya merasakan mereka kawan atau adik-beradik yang sangat saya sayang. Tetapi pelik, ikatan perasan yang aneh pada kenangan membaca cerita.

Itulah sebabnya, tak semestinya mereka perlu bercakap dengan seseorang setiap hari, untuk mengetahui adakah dia benar-benar sayang kepada mereka. Kadang-kadang dalam sesetengah kes, perkara elok dibiarkan tidak dibicarakan.

Dan blog ini, saya tidak tahu berapa lama usianya. Saya sendiri tidak pasti, adakah saya masih menulis lagi selepas ini. Adakah saya sendiri yang akan berhenti atau sebaliknya.

Kamu tahu, saya bercita-cita untuk menjadi seorang penulis novel sejak kecil, atau pembikin filem. Saya menulis cerpen di kertas-kertas semasa sekolah dan memberikan kepada kawan-kawan saya supaya dibaca. Ada kisah cinta, ada kisah epik. Saya masih ingat suatu kisah yang tidak ditulis habis, wataknya adalah Istika dan Kismat pahlawan wanita melayu yang handal menunggang kuda. Huh.

Sigh. Saya tak tahu dari dunia mana saya boleh berakhir sebagai seorang jurutera. Adakah ia pernah berkait pada mana-mana konsep. Mungkin hanya minat dan kesukaan yang dibina atas pengaruh media, harapan kebanyakan ibu bapa dan National Geographic. Masih, sepatutnya Civil Engineering.

Cerita hidup tidak mungkin selancar babak-babak hero dan heroin dalam televisyen. Jika ia semudah itu, umur kita sepatutnya sependek 2 atau 3 jam. Tetapi ia merupakan suatu kebodohan tatkala kita merasa ingin jadi seperti mereka. Sedangkan kehidupan kita sendiri jauh lebih baik. Kita rasa kehilangan dan selamat dalam masa-masa tertentu. Itu sebabnya, kita mereka-reka cerita indah yang habis dalam masa beberapa jam. Terbukti, manusia sukar untuk berpuas hati dengan apa yang mereka ada.


Realiti, tetap menjadi sesuatu yang terbaik.

Itu sebabnya, kita paling bijak untuk menulis tentang diri sendiri pada hari ini.

1 comment:

TyRoX SaN said...

Please keep writing as I will be here to as ur reader.

-i'm an alien too-