Monday, 19 March 2012

Perhimpunan Syria: Saki Baki Semangat



"Jangan risau, saya doktor," kata lelaki berbangsa Syria itu dalam bahasa melayu yang pelat. Dia memegang pergelangan tangan saya, untuk memeriksa degupan jantung.

Mata saya dibuka separuh untuk melihat apa yang berlaku. Kepala masih berpusing-pusing.

"Apa nama Encik?" Tanya sahabat saya, Maryam yang duduk di sebelah.

"Anas," jawabnya ringkas, sambil meneruskan pemanduan.

"Oh, terima kasih banyak-banyak doktor Anas," kata Maryam.

Ingatan saya masih samar-samar mengenai apa yang berlaku pada saat itu. Kali terakhir yang saya lihat, beberapa orang sahabat mengerumuni saya dan bergurau senda. Saya duduk kerana terasa lemah. Mereka memberi kata semangat kepada saya untuk bangun dan bergerak pulang dari perhimpunan. Ketika mereka mengangkat-angkat saya dengan manja, segalanya gelap.

Saya sedar ketika berada di dalam kereta doktor Anas bersama beberapa sahabat yang lain. Tidak pasti dari mana datangnya watak doktor Anas di situ pada saat itu.

Disebabkan pengalaman berada sendiri di tempat kejadian, dan kerana merasai suasananya, maka mulut saya tak habis terlopong lagi setelah menonton video tadi.

Oh, beginikah...... apa yang mereka lihat? Indahnya...

Agak berbeza dengan cuaca sebenar, tapi semangat di tempat kejadian pastilah lebih membuak-buak!

Saya pun terfikir, betapa situasi cerita sebegini sama sahaja. Perasaan mereka yang berpenat lelah, berpeluh-peluh menahan terik matahari dan sesak nafas itu hanya dirasai oleh mereka yang berada di medan berkenaan. Hasil daripada pengorbanan itulah yang dinikmati oleh penonton-penonton yang terlambat menyertai tetapi rasa cemburu dengannya.

Begitulah juga kempen mahsyur pada tahun ini iaitu KONY 2012, di mana filem dokumentari pendeknya sahaja mampu membuatkan kita semua kagum. Kadang-kadang kita cemburu kerana lambat tahu dan tidak berada di kalangan mereka yang kini meraikan kejayaan itu. Sedangkan kita tidak merasai sakit perit kumpulan yang bermula dari 3 orang itu, yang usul mereka ditolak mentah-mentah oleh warga rumah putih, serta betapa besarnya pengorbanan masa, tenaga dan fikiran mereka dalam mempersiapkan program-program untuk menyedarkan masyarakat.

Lebih 1400 tahun yang lampau, sejarah pun mencatitkan statistik yang lebih kurang sama seperti di atas, di mana sokongan tiba-tiba datang mendadak selepas sekian lama sekumpulan manusia diseksa dan dipulau oleh kafir Quraisy. Dakwah berlaku selama belasan tahun, tetapi hanya lebih kurang 3% manusia sahaja yang masuk ke dalam Islam. Anehnya, setelah pembukaan Mekah, manusia masuk ke dalam Islam berbondong-bondong  kerana mereka tertarik dengan hasil dan produk Islam -tanpa perlu didakwahi dengan susah payah!





"Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah berbondong-bondong." (An-Nasr: 1-2)

Itu adalah sunnatullah. Ia pasti berulang-ulang sehingga hari kiamat. Akan ada yang bersusah payah dalam perjuangannya sehingga bermati-matian. Kemudian, akan sampai suatu masa apabila ia mencapai kemenangan yang sangat besar. Dia tidak perlu mengajak manusia dengan susah payah lagi.

Beginilah kita!

Kita lebih suka menjadi orang-orang yang terlewat walaupun kita sudah dibukakan peluang untuk berjuang dengan lebih awal. Mereka yang berebut untuk menyahut seruan itu telah pun mencapai kemenangan mereka yang tersendiri -dijamin masuk syurga, berjaya di dunia, kenikmatan yang sebenar serta pertolongan Allah yang dekat.

Namun, kita menolak pilihan yang pertama, kerana takut risiko dan nak tengok dahulu. Dan akhirnya jadi golongan terlambat yang berupaya memujuk diri dengan saki baki semangat pejuang terdahulu.


'Takut sunburn la, minggu depan I nak kahwin tau.'

Pfft. Bukan ayat saya.

Kes saya istimewa, kerana saya puteri lilin yang pantang berjalan di tengah panas lama sedikit, terlalu manja untuk turun ke medan. Ada kanak-kanak di situ, tetapi semangat mereka lebih kental daripada orang dewasa.





Itulah pengalaman berhimpun di jalanan buat pertama kali. Saya menggenggam tangan Laili yang sejak tadi setia menemani ketika jururawat ingin mencucuk jari saya untuk memeriksa kandungan gula dalam darah. Laili, dialah yang memapah saya, menyapu muka saya, menyuap saya dan menjaga saya. Dia -ukhti dari syurga. Dia rasa bersalah kerana sebelum perhimpunan kami ada bergurau sebegini;

"Auni, kalau awak pitam nanti tak apa. Saya sediakan ambulans untuk awak."
"Baiklah, nanti saya akan pura-pura pitam." Ketawa.

Kata-kata diaminkan malaikat.

Betapa pengalaman ini mengajar kita memahami erti pengorbanan, perjuangan dan cinta kepada Islam dan saudara kita. Walaupun diberi peluang merasai babak kehidupan mereka 1/10000000000, masih saya rasa bersyukur.

Sebelum saya turun menyertai mereka atau sebelum membuat apa-apa sahaja pilihan, saya selalu mencatitkan dahulu objektif dan niat saya melaksanakannya, supaya nanti apabila saya menjadi keliru, saya tidak mudah dipalingkan. Adakah saya dikira ekstrim kerana turun berhimpun, hanya kerana cinta kepada saudara-saudara saya?

Err, tapi jangan berhimpun membuta-tuli ya.

Semoga Syria, Palestin dan negara umat Islam dipelihara Allah.
Jangan lepaskan peluang lagi, jom sertai Global March For Jerusalem! Kalau anda ada RM5,000 ke atas, anda berpeluang menyertai march dari Malaysia ke Jordan dan Jerusalem. Kalau tak ada, march di Shah Alam sahajalah. Allah lihat dan nilai keikhlasan, tahu? :)

No comments: