Friday, 9 March 2012

A Night to Remember

Ada sesetengah perkara yang kelihatan terlalu buruk untuk diingati.

Tetapi malam itu lain, ia perlu diingati. Walaupun waktu itu agak dramatik. Seusai pulang dari perjumpaan dengan adik-adik yang dibatalkan kerana saya diserang ketidaksihatan selepas solat maghrib di sebuah masjid di PJ, saya berjalan dengan riang gembira di kawasan apartmen saya. Kerana lantainya basah dan bertakung.

Permandangan lantai jadi berkilat-kilat. Dengan hujan yang lebat begitu, saya rasa begitu romantis sekali berjalan di dalam air sambil membayangkan saya adalah Ratu Balqis yang mengangkat kainnya sedikit ketika berjalan merentasi air. Dalam kes saya, ini adalah air betul. Maka anda tidak dapat bayangkan betapa basahnya stokin saya.

Tapi itu bukannya cerita utama...
Apabila saya dikejutkan dari tidur dengan bunyi bising suara manusia dan alarm kereta, saya turun ke bawah basement untuk melihat kawasan itu dah menjadi tasik yang sangat... ya, besar.


Saya meredah kawasan banjir dan menuju ke arah kereta saya. Mujurlah, alhamdulillah, ianya tidaklah begitu teruk. Cuma beberapa inci sahaja lagi maka air akan memasuki enjin kereta (ha ha). Maka pada jam 2 pagi itu, suasana kawasan apartmen agak sibuk dengan kereta-kereta yang cuba dikeluarkan dari air dan diparkir di tempat-tempat kosong. Hanya pada jam 3 pagi, bunyi bising sedikit reda.



Inilah rupa kereta saya. Air mencecah bumper, maka belum teruk lagi. Alhamdulillah.



video

Menjelang subuh air surut dan terus kering. Subhanallah. 

Anyway...
Malam itu ingin saya ingati bukan sahaja kerana peristiwa banjir tetapi peristiwa yang berlaku sebelum itu. Oleh disebabkan ketidaksihatan saya, saya membuat keputusan untuk tunggu di masjid sehingga masjid ditutup. Maka, saya tunggu sehingga pengisian habis dan solat isya'. Ada momen yang bermakna pada waktu itu. Terlalu mendalam sehingga saya tidak tahu cara nak ceritakan semula di sini. Anda tentu pernah merasai perasaan itu, apabila anda merasakan suatu hikmah yang sangat besar, dan Allah sedang menyampaikan sesuatu kepada anda. Ia perasaan yang hebat. Ia sangat bermakna sehingga saya rasa terus sihat selepas itu dan berjalan pulang dengan gembira sambil menyepak-nyepak air di lantai apartmen. 

Mungkin kerana saya suka dengan perkara-perkara baru, saya rasa dua cerita besar dalam malam itu cukup sempurna untuk memotivasikan dan mematangkan diri saya. Menarik cara Allah mentarbiyah kita. Kan?

Ianya memang -suatu malam untuk diingati. 

Selamat hari Jumaat!

p.s. Perasan tak yang post ini sepatutnya ditulis dalam bahasa inggeris? :P

No comments: