Sunday, 12 February 2012

Force Majeure

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, sudah hampir lima bulan sejak pertama kali saya menjejakkan kaki ke dalam dunia pekerjaan. 

Saya mengakui, kehidupan zaman belajar memang lebih bebas daripada zaman pekerjaan -kebebasan menulis impian-impian, juga bebas mewarnai cerita-cerita... Ini kerana di dalam dunia pekerjaan ini, yang ada hanyalah seorang dewasa yang perlu mematangkan dirinya bagi menyusun hidupnya.

Saya juga mengakui, saya sangat merindui saat-saat saya menulis di blog ini dengan sengih atau dengan air mata. Mungkinkah saya merasakan 'kedewasaan' ini telah memaksa saya berfikir ke hadapan, lalu membunuh seni-seni yang pernah saya lakarkan pada masa itu?

Mungkinkah juga saya berdiri dalam ruh yang tidak perlukan solusi pada saat ini, kerana bertungkus-lumus dengan urusan-urusan di hadapan?

Tetapi situasinya di sini, saya ada kemampuan dan sangat ingin menulis setiap hari di dalam dunia maya ini. Ini bukanlah tentang kesibukan alam pekerjaan lagi. Sebenarnya pada setiap kali ketika saya ingin mencatatkan sesuatu di sini, saya berasa gentar kerana saya melihat kehidupan saya berbanding mereka memang seperti langit dan bumi.




Tak boleh hidup tanpa tarbiyah dengan tak boleh hidup tanpa dakwah merupakan dua perkara yang berbeza. Saya ini, mungkin telah menyerahkan jiwa, titik peluh serta pengorbanan di jalan ini tetapi ia masih lagi suatu penyerahan yang tidak sempurna. Komited saya ini mungkin masih terjatuh pada tampuk ‘tidak boleh hidup tanpa tarbiyah’. Dan saya telah berjumpa dengan ramai orang yang tak boleh hidup tanpa dakwah, yet mereka masih datang kepada saya dan memuji-muji Munashah dengan penulisannya.

Luluh hati saya.

Itu teguran yang sangat kuat daripada Allah swt buat saya. Masakan saya yang beramal dengan amalan seciput ke arah Allah ini layak melebihi taraf mereka yang sangat hebat amal dakwah mereka itu hanya kerana kata-kata bisu yang tertera di medan maya saya?

Tidak mungkin.

Jadi saya pun berhenti sebentar daripada menulis kerana tidak mampu menanggung perasaan sangat malu dengan iman dan amal sendiri. Kehidupan dan penulisan saya penuh dengan teori-teori yang tidak dipraktikkan. Dunia dan medan saya adalah kertas-kertas kosong, sedangkan perjuangan kita yang sebenar adalah melakar manusia di dalam usrah dan halaqah.

Down.

Muka tembok

Tetapi memilih untuk melarikan diri dari tugas sekarang hanya kerana kita bukanlah yang terbaik, bukanlah jalan penyelesaian yang baik. Saya menjaga sudut ini pada agama ini buat masa ini, maka begitulah tanggungjawab saya -yang sebenarnya datang daripada Allah.



Wajah menebal menahan malu; malah dengan pukulan di hati yang berjalan serentak dengan pukulan jari ke papan kekunci ini; ruh ini diperingatkan kembali bahawa mujahadah saya ketika ini adalah untuk merealisasikan teori-teori yang saya coretkan dulu, kini dan akan datang menjadi suatu praktikal yang saya amalkan pertama-tamanya. Kata-kata mesti berjalan seiringan dengan kerja-kerja.

Apa yang dimuhasabahkan sekarang adalah bagaimana penyerahan jiwa dan titik peluh saya pada jalan ini secara praktikalnya. Dan apa yang membuatkan saya masih belum layak mencapai perasaan ‘tak boleh hidup tanpa dakwah’ itu?

Allah.. Allah..

Saya sungguh tidak mahu menjadi orang-orang yang berhenti dan diberhentikan. 

Begitulah.

No comments: