Friday, 27 January 2012

Saya Menggatal Kerana Allah

Sememangnya aku tidak dapat menyalahkan manusia atas segala pertimbangan yang mereka lakukan, kerana mereka dilahirkan dengan fitrah. Punya kelemahan dan saling bergantung kerananya. Namun, disebabkan pengaruh-pengaruh kehidupan mereka ini, mereka payah untuk menghayati nilai-nilai luhur yang diperturunkan dari langit.

Kadang-kadang nilai kebaikan itu menjadi murah atas dasar kepentingan diri.

Kita masih tidak terlepas daripada melihat kebaikan pada seseorang melalui keturunannya, kekuatannya atau kekayaannya. Bayangkan seorang pemuda yang cukup pakej yang diidam-idamkan gadis muslimah seluruh Malaysia kerana beliau sungguh cool, malah seorang pendakwah. Pemuda-pemuda lain ingin menjadi seperti beliau. Dibandingkan dengan seorang lagi pemuda yang hebat juga dakwahnya tapi oleh kerana beliau kurang lucu atau kurang tampan, maka yang 'like' juga kurang.




Belum lagi cerita tentang selebriti dakwah lain yang popular kerana kelebihannya bercakap, sama ada di vlog atau televisyen, semua orang mengikuti kata-katanya. Apa yang di'post' pasti mendapat ribuan 'like' atau 'retweet'.

Di dalam kehidupan harian kita juga, jika memilih di antara dua orang wanita solehah, kita akan pandang yang lebih berbakat atau lebih cantik. Wanita lain simpan cemburu dalam hati. Kalaulah aku secantik dia... Kalaulah aku pandai menulis seperti dia... Kalaulah... Kalaulah...


Pengaruh realiti kehidupan manusia menyulitkan mereka untuk menghayati nilai-nilai luhur dari langit. (Tafsir Fi Zilalil Quran Surah 'Abasa)


Memang tidak salah kita memandang sesuatu pada pertimbangan dunia, kerana dengan nilai-nilai itu, kita dapat menjaga hubungan kita sesama manusia; malah dengan hal itu juga, kita dapat menarik minat manusia kepada Allah.

Wanita cantik dan solehah adalah pakej. Ustaz yang cool dan stylo memang menarik lebih ramai pendengar.

Hatta Rasulullah saw. juga bersemangat mendakwahi kaum kafir Quraisy yang kaya-raya, supaya dengan kelebihan harta mereka itu, perkembangan islam akan mendapat manfaat. Umat Islam akan terbela. 


Neraca Allah

Tetapi kisah teguran Allah (Surah 'Abasa) kepada baginda kerana memalingkan wajah dari lelaki buta yang datang bersegera kerana ingin mendengar tentang Islam itu, benar-benar menekankan kepada kita, supaya kita mengambil nilai-nilai pertimbangan dari neraca langit (neraca Allah) sebagai pertimbangan yang tunggal dalam hidup. Ya. Walaupun pertimbangan 'duniawi' yang Rasulullah saw. lakukan tadi hanyalah untuk kepentingan Islam juga yakni tiada kepentingan bersifat peribadi.

Ternyata kemuliaan Quraisy itu tidak ada bandingan berbanding keikhlasan Abdullah yang buta itu.
Soal ini soal yang besar. Kerana Rasulullah saw. juga memerlukan bimbingan ini. Persoalan ini lebih besar daripada kebesaran dan kemuliaan baginda kerana ia tidak terbanding dengan pertimbangan, nilai dan neraca yang ingin ditekankan Allah dalam kehidupan kita ini, iaitu neraca Allah.

Dan nilai yang teragung adalah taqwa.

Oleh sebab itu, Islam telah menolak segala nilai dan pertimbangan dunia, walaupun atas nama kebaikan. Dakwah juga tidak boleh menjadi mulia selagi nilai-nilai dari langit ini tidak tertegak. Di dalam kehidupan ini, dakwah tidak memerlukan pergantungan kepada apa-apa atau siapa-siapa pun. Walaupun dia kaya, hebat, berbakat dan sebagainya.

"...Janganlah kamu merasa lemah dan mengajak untuk berdamai, padahal kamulah orang-orang yang tertinggi keadaannya, lagi pula Allah bersama-sama kamu (untuk membela kamu mencapai kemenangan), dan Dia tidak sekali-kali akan mengurangi (pahala) amal-amal kamu." (Muhammad: 35) 


Maka tidak perlulah kita berasa gagal jika kita tidak punya harta dan kekuatan seperti rupa paras yang cantik, bakat-bakat khas dan apa-apa sahaja hubungan yang terbina kerana kelebihan itu. Kerana Allah sendiri mengecam perbuatan melebihkan dunia walaupun pada kerja pembaikan jiwa.

Dan tak perlulah memuja-muja manusia kerana pujian itu hanya akan mengundang penyakit-penyakit hati yang mampu merosakkan bukan sahaja anda tetapi niat dan amal manusia berkenaan. 

Aww. Dia balas komen aku lah.
Dia balas tweet aku. Yes!


Jika taqwa telah tertegak dalam jiwa, tidak wujud istilah-istilah menggatal atas nama kebaikan. Dalam kata lain, menggatal kerana Allah. Dan tidak akan ada rasa tidak malu itu kerana nak menarik perhatian manusia kerana kita gemar padanya.

Masalah ini tidak akan berlaku jika kita mempertimbangkan setiap sesuatu dengan neraca dari langit. Ayuh berusaha!

Jika anda bertaqwa, anda memang hot di mata Allah. Jika anda hot di mata Allah, masihkah ada orang yang lebih hot daripada anda?

Kalaulah taqwa itu boleh dilihat pada manusia...

No comments: