Tuesday, 17 January 2012

Perubahan



Ada kepada suatu hari
Saya ke pasar berlari-lari
Terjumpa seekor si burung nuri
Sedang asyik bercerita peri.


Syair ini sering saya lagukan ketika kecil. Ia diambil daripada muka hadapan sebuah buku cerita bergambar yang sangat saya sukai. Saya masih ingat, di bawah tulisan syair itu, ada ilustrasi seorang budak perempuan yang separa berlari sambil membawa bakul, sedang tertarik kepada seekor burung yang berkicau-kicau di dalam sangkar.

Di dalam buku itu ada kisah Ikan Todak, kisah Bagaimana Gagak Berwarna Hitam, sajak Kereta Api, sajak Oh Bulan dan sebagainya. Wah, tiba-tiba rindu pula dengan buku yang dah hilang entah ke mana.

Kenangan

Kata orang, jangan hidup dalam kenangan.

Saya sendiri khuatir dengan kehidupan yang jenis bergelumang dengan memori, kerana kita nanti tidak dapat membezakan sama ada kita hidup dengan cinta atau tertipu dengan obsesi kenangan.


Namun, dalam sudut yang lain. Kenangan sangat penting bagi kita bermuhasabah. Yalah, tanpa bantuan kenangan muda-muda dulu, anak-anak sukar nak cintai ibu mereka sekarang. Juga suami isteri perlu mengenang saat muda-muda dulu untuk perbaharui (refresh) perasaan sebagaimana dahulu. Ecece.

Tanpa kenangan, saya tak akan teringat yang saya sebenarnya sangat suka membaca semasa kecil. Entah apa yang membuatkan saya terfikir saya benci buku sejak kecil. Kini rasa lebih bersemangat nak membaca :)

Jadi, kenangan ini ada pros dan cons nya. Semua perkara pun begitu. Itu sebabnya kita lebih suka dengan kesederhanaan, kita juga adalah ummatau wasata (ummat pertengahan).

Lagipun, muslim tidak susah memandang satu perkara dalam dua perspektif berbeza kerana kita memang dididik Allah sebegitu. Contohnya, perspektif kehidupan-

Bekerjalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup untuk selama-lamanya dan bekerjalah untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati pada esok harinya.- Ibn Umar.

Bagaimana mati dan hidup boleh bertemu dalam satu masa yang sama? Boleh. Dengan didikan Allah.

Itu sebabnya muslim itu bijak dan positif setiap masa. Melihat kebaikan pun bermuhasabah, melihat dosa pun bermuhasabah.

Berubah

Kita tidak boleh hidup dalam kenangan sahaja kerana manusia sentiasa berubah. Perubahan itu fitrah. Mana ada orang yang ingin pakai baju yang sama setiap hari. Dan mana ada orang yang sanggup melalui rutin yang sama sahaja setiap hari.



Saya suka membaca blog seorang kakak tetapi dia telah berhenti menulis selepas berkahwin dan menimang cahaya mata. Kalau nak ikutkan hati, memang kecewa sebab penulisan dia memang bermakna buat saya.

Namun, tak semestinya yang baik untuk saya itu baik juga untuk dia. Kerana mungkin sahaja suami dan anaknya lebih memerlukan perhatian dan prioriti daripadanya.

Manusia berubah kerana pengalaman dan pengetahuan mereka bertambah setiap hari. Kalau dulu saya hanyalah seorang pelajar yang seronok bercerita soal susah payah belajar dan diari sendiri, kini tak boleh lagi. Kerana saya yakin diri saya sekarang patut lebih banyak mengirimkan hikmah dan pengajaran berbanding cerita kosong (bajet tak?).

Jadi, kita tak boleh expect seseorang itu kekal sama selamanya. Kalau kita cintakan manusia kerana apa yang ia miliki sekarang, barangkali Allah boleh membuat perubahan padanya, lalu cinta kita pudar (?)

Pada masa itu, adakah kita akan duduk menyesali bersama kenangan-kenangan lampau?

Jadi, cintailah apa sahaja di dunia ini kerana Allah.

Dan hanya Allah yang kekal Sempurna sifat-Nya..



p.s. Anda ingat lagi tak macam mana nak bersyair?

No comments: