Sunday, 8 January 2012

Per Assicurare La Migliore

Post ini bukanlah spam. Tajuknya sengaja ditulis dalam bahasa Itali.

Bismillahirrahmanirrahim.

Suatu pernyataan ringkas, sekuat teriakan kehendak. Aku tidak tahu bagaimana perasaannya menjadi diri sendiri. Kerana diri sendiri yang dicari itu tenggelam timbul dalam bayangan watak orang lain. 

Aku tidak pasti dalam keadaan apa diriku berdiri sekarang. Ada ketakutan dan ada pula cinta. Itu sebabnya aku sedikit buntu untuk menulis di sini -aku tidak gemar menulis apabila sedang buntu, kerana aku ada dorongan untuk bertukar personaliti mengikut orang sekeliling apabila sedang keliru (berikutan persoalan seseorang di formspring, jzkk).

Aku masih teringat saat itu, tatkala aku begitu gemar berjaga malam dan terlanjur masa kerana ralit menjawab soalan ujian personaliti. Jawapan-jawapannya sentiasa memberikan cahaya, dan aku terlelap kemudiannya setelah mengenali diri aku sebagai orang yang baru.

Ketika itu aku sering merasakan bahawa diri ini aneh. Aku tidak tahu warna apa yang aku sukai. Aku tidak tahu apa cita-citaku. Aku tidak pasti apa kelebihanku. Kadang-kadang aku suka biru, kemudian hijau, kemudian merah, kemudian perang, kemudian biru kembali. Dan melihat orang lain punya kepakaran dalam bidang mereka yang tersendiri, berlainan dengan diriku yang memiliki kesemuanya separuh-separuh. Ada yang sangat pandai melukis, sangat hebat bersukan, sangat cantik, sangat merdu suaranya, sangat bijak, sangat itu ini.

Aku tahu melukis tetapi pada standard hobi, aku tahu menyanyi tapi terhad, aku tahu menulis tapi kadang-kadang tidak menjadi ayatnya. Kalau orang bisa menyertai audition kerana bakatnya, orang separuh-separuh seperti aku ini mampu buat apa? Fikirku.

Aku lukis ni masa tengah jaga kedai runcit mak.

Namun, kini aku tahu ia bukanlah masalah dengan hal personaliti lagi. Degupan jantung bagai disentap beberapa ketika, nafas bagai dicuri beberapa saat, akal bagai disembunyikan dari kepala. Memang. Ada sesuatu yang tidak kena.

Aku sedang takut jika langkah yang diambil kali ini menyebabkan aku gugur dari jalan yang sedang aku pilih. Usia, fikrah dan kehebatan bukanlah jalan keselamatan untuk terus kekal kerana sejarah telah mencatitkan ramai sahaja orang-orang lama yang senyap daripada jalan ini selepas melalui fasa-fasa baru dalam hidup.

Ada yang hanya ingin suaminya sahaja yang melaju, biar dirinya duduk di rumah dan 'tarbiyah' anak-anak. Akhirnya, satu keluarga senyap begitu sahaja. Ada yang begitu faqih dalam buku-buku fikrah dan hebat bahasa arabnya, juga telah senyap. Tidak kurang yang pernah menjadi ahli kepimpinan, juga telah senyap.

Ini menyebabkan aku jadi begitu khuatir akan langkahku yang selama ini bertatih-tatih dan penuh ragu. Dengan personaliti yang masih kelabu sebegini, apa yang menjanjikan aku (yang langsung tidak ada kehebatan seperti mereka) untuk lebih kekal di jalan ini? Tidak, soalan ini bukan soal kehebatan di jalan dakwah. Ia adalah persoalan tentang hubunganku dengan Allah. Kerana jika Allah tidak menginginkan aku di sini lagi, maka aku akan lenyap begitu sahaja.

Jadi, aku begitu gentar untuk menulis, kerana aku takut, kata-kataku di sini akan menyumpah diriku kembali bersama-sama dengan sumpahan pembaca-pembacanya.

Untuk kamu, maafkan aku dengan sesungguhnya. Kerana ketakutanku terhadap hal ini melepasi cintaku pada selainnya. Maka aku bersikap acuh tidak acuh kepadamu kerana aku begitu ingin kekal di jalan ini bersama kamu di sisi aku. Mereka cakap aku bersikap psycho dan tegas kepadamu seolah-olah aku tidak melaksanakan dengan rela.

Akulah yang pentingkan diri sendiri. Akulah yang budget hot item. Aku buatkan orang rasa seperti mereka yang terhegeh-hegeh dengan respons aku. Aku buatkan mereka berasa aku sungguh ego, mementingkan pendirian berbanding tanggungjawab. 

Ianya begitu payah untuk menerangkan dan memahamkan semua orang. Aku sendiri mengambil masa bertahun-tahun untuk memahami perjuangan ini dan melalui banyak jatuh bangun untuk terus kekal bersama yang lain. Jadi terangkanlah bagaimana aku nak memahamkan masyarakat tentang 'pendirian' ini dalam satu dua ayat, seminit dua?

Mereka tidak sedar bahawa aku juga manusia biasa, punya fitrah dan perasaan. Aku merasai apa yang kamu rasa, cuma kerana kekhuatiran tadi, dan cuma kerana aku ingin kekal di jalan ini, maka ini yang kamu terima daripada aku.

Ketahuilah, tentang apa sahaja kata-kata mereka yang membuatkanmu ragu, ternyata mereka silap. Aku ini mungkin aneh pada pandangan kamu dan mereka. Dan mungkin extreme berbanding muslim yang lain. Dan aku membuat persoalan-persoalan yang tidak masuk akal. Aku menyusahkanmu. Aku mengelirukanmu.

Dan aku faham sekiranya kamu tidak mengerti semua ini. Ada satu perkara yang kamu perlu tahu, selama ini aku sangat mengagumi sikap dan keperibadianmu. Kamu begitu sabar dengan karenahku. Kamu matang menguruskan kehidupanmu dan kamu yakin dengan jalan yang kamu pilih. Dalam diam, aku sebenarnya berasa cemburu padamu. 

Aku sangat kerdil berbanding dirimu. Pada suatu sudut, sikap kekerdilan ini membuatkan aku berasa tidak berani ambil tanggungjawab. Hanya kerana keyakinan itu milik Allah, dan telah datang melaluimu, maka aku ambil pilihan ini yang sebenarnya, bukanlah suatu risiko buat diriku, tetapi buat dirimu.

Inilah aku, beginilah aku. Tiada apa lagi yang dapat aku katakan. Semoga Allah memberikan yang terbaik buat kita semua. Untuk saudaraku.

Faccio questo per assicurare la migliore. Untuk kita.

No comments: