Pages

Sunday 18 September 2011

Jurutera Bersenandung

Bismillahirrahmanirrahim.


Updates.

Alhamdulillah. Aku telah menjejakkan kaki ke alam pekerjaan -yang sekali lagi, menghidangkan babak ala-ala novel dalam kehidupan aku. Aku pernah begitu ingin sekali memiliki kehidupan sebegitu suatu masa dahulu. Namun, babak yang agak menarik ini telah aku tandakan sebagai satu noktah sepi di atas sebuah dinding putih yang besar.

Letakkan aturan hidup mengikut aturan keperluan orang lain. Jika keperluan itu menginginkannya berada jauh dari kesenangan demi orang lain, maka aturan persoalan pekerjaannya apa, tempat tinggalnya mana, suasana sekelilingnya bagaimana, temannya siapa, perlu diatur sebegitu.

Pergh! Kalaulah ia semudah yang disebut. Medan berfikir lebih luas daripada medan bicara. Medan bicara lebih luas daripada medan amal.

Aku khuatir, jika cita-cita yang aku panjatkan ini terjatuh ke dalam harapan senda gurau dan materialistik. Mungkinkah benar aku berasa takut jika tidak menjadi jurutera, aku akan menjadi fitnah kepada agama ini? Atau sebenarnya mungkinkah hanya kerana aku takut tohmahan masyarakat yang sesetengahnya tidak percaya akan kebolehan kaum hawa menjadi jurutera? Atau aku takut jika pekerjaanku itu tidak setaraf dengan degree yang diterima? Na'uzubillahi min zalik.

Aku juga khuatir, jika karier yang aku gebang-gebangkan ini menjatuhkan aku dari jalan ini setelah menyibukkan aku dengan kecintaan dunia. Aku akan mula bertanya-tanya, kenapa gaji sedikit, berbanding soalan, kenapa taqwa sedikit?

Berhenti berfikir tentang kepentingan sendiri. Jadi biarlah noktah itu bertitik di situ.

Kerja hanyalah kerja. Ia tidak meninggikan darjat atau kemuliaan seorang manusia di atas manusia yang lain.

Mohon doanya.

Sunday 11 September 2011

Puisi Sebelum Berangkat

Lambaian antik
Aku sembahkan saat selekoh terakhir
Menyeret ke wajah semalam

Rindu sebelum tercerai
Yang aku tahankan pada engsel keresahan
Bercanda senyap

Pergilah wahai sayang
Jangan tuntut

Sekiranya
Manusia mula menuntut hak dan cinta
Kehambaan akan ditelan keinginan
Lantai pun mahu naik ke langit

Bangun
Dan pergilah wahai kekasih
Carilah segala hitam putih esok

Tuesday 6 September 2011

Bolt (Tadabbur Movie)

Bagaimana perasaan anda apabila menyedari bahawa seluruh kehidupan anda adalah sebuah pertunjukan TV semata-mata? Itulah perasaan seekor anjing yang bernama Bolt, yang percaya dirinya mempunyai kuasa luar biasa yang tiada batasan. Ia juga mempunyai kuasa salakan yang luar biasa sehingga mencetuskan gelombang udara yang sangat kuat. Sehinggalah pada suatu hari ia keluar ke dunia sebenar, ia mendapati semua kuasa supernya hilang. Bolt akhirnya sedar bahawa ia sebenarnya tidak mempunyai kuasa apa-apa pun dan segala efek aksinya sebelum ini hanyalah suatu lakonan di dalam set penggambaran.

Ada kata-kata yang selalu disebut, 'dunia ini ibarat pentas lakonan'.

Dan jika kita meneliti dengan lebih mendalam akan maksud Allahu Ahad, kita akan menyedari hanyalah Allah yang Wujud, Tunggal di alam ini. Kita tidak wujud, kita adalah pelakon-pelakon di dalam dunia yang sudah disediakan skripnya. Ending cerita sudah siap, tetapi hanya diketahui oleh Allah (Penerbit, Pengarah) dan para malaikat (krew-krew).

Kita juga tiada apa-apa daya di dalam dunia ini. Kita melambungkan bola ke dalam jaring tetapi Allah yang telah menggerakkan tangan kita; Allah juga yang memasukkan bola itu ke dalam jaringnya. Mereka di dalam medan Perang Badar yang melibas pedang ke arah orang kafir tetapi Allah yang memotong leher-leher mereka. Program yang kita uruskan dengan tangan-tangan kita berhasil, tapi sebenarnya Allah yang menjayakannya. Orang yang dapat pencerahan melalui kata-kata kita, sebenarnya Allah yang menggerakkan hati kita, lidah kita untuk mengucapkan kata-kata itu dan Allah menggerakkan hati orang itu untuk menerimanya.

Itulah sebabnya surah itu dinamakan Surah Al-Ikhlas walaupun tidak ada perkataan ikhlas di dalamnya, kerana kefahaman Allahu Ahad itu akan membuatkan segala amalan kita diikhlaskan kepada Allah sahaja. Kerana hanya Allah yang Wujud dan menggerakkan jasad-jasad kita.

Maka tak sepatutnya ada sedetik pun rasa bangga apabila dipuji soleh, berkepimpinan atau rajin beribadah. Wajah yang bercahaya yang bukan kita dapat atas usaha kita tu pun lagilah tak boleh nak banggakan. Semua tu Allah yang buat.

Para sahabat jauh daripada sifat riyak kerana mereka memahami Allahu Ahad.

Bolt menggerakkan kakinya untuk mengkarate pak cik penjahat, bukanlah disebabkan Bolt pak cik itu tumbang. Pak cik itu tumbang kerana pengarah sudah tetapkan pak cik itu akan tumbang. Tunggu Bolt beraksi sahaja.

Begitulah kita manusia.


Patutlah ada sahabat Nabi s.a.w. yang setiap kali solat berjamaah, ia suka membaca Surah Al-Ikhlas di samping surah lainnya sesudah Al-Fatihah kerana ia memahami dengan mendalam maksud surah itu. Kita-kita ini pula mengulang surah itu dalam setiap solat kita bukan kerana suka, tetapi kerana surah itu pendek :-|