Sunday, 27 November 2011

Siri Hijrah: Hijrah Sendiri-sendiri?

*Siri bertemakan Hijrah sempena Awal Muharram


     



Sesungguhnya saya terasa begitu tua sekarang. Mungkin kerana ada peristiwa-peristiwa orang dewasa yang telah pun saya lalui. Bunga-bunga majlis graduasi telahpun layu. Semasa saya kecil, melihat diri sendiri memakai topi itu adalah merupakan suatu impian yang masih jauh dari capaian minda. Dan kini sudah bekerjaya, adalah suatu sisi kelayakan matang bagi seorang manusia. Duduk di rumah sebagai orang yang bekerja, tidak sama lagi perasaannya dengan duduk di rumah semasa belajar walaupun isi rumahnya kekal sama.

Yang membuatkan saya betul-betul menginsafi usia yang meningkat ini adalah kerana peningkatan usia dan kepemudian ini tidak selari dengan sumbangan dan pengorbanan terhadap benda-benda yang diperjuangkan. Perjuangan ini perlu dilaksanakan dengan lebih proaktif. Tidak perlu berleter banyak dalam dunia maya. Jadilah manusia-manusia jahbaz, bukannya mastur yang bisu.

Apabila mengenang kembali segala kenangan dan masa yang berlalu, apa yang telah kita tinggalkan adalah apa yang terbaik untuk berlaku sebagaimana yang dirancangkan oleh Allah. Ada sesetengahnya kita menyetujui, sebagaimana bersyukurnya saya pada hari ini kerana tidak sempat berjumpa dahulu setelah berkejaran ala cerita Korea ke airport sana. Saya juga menyetujui sikap aneh dan penakut saya itu sehingga menyebabkan saya menarik diri, ternyata Allah ingin memelihara hati. Tentang itu, ya yang sohih. Alhamdulillah.

Namun, barangkali ada sesetengah perkara yang masih belum kita dapat lihat garisan peraknya di belakang setiap awan yang mendung. Maka keimanan akan ketetapan Allah akan jalan hidup kita adalah kunci kepada setiap redha dan ketenangan. Allah sesungguhnya, mencintai orang-orang yang sabar.


Kita telah melepasi masa-masa hitam itu dengan baik dengan izin-Nya. Allah telah menyelamatkan kita daripada lumpur jahiliyyah yang kotor dan busuk, serta membersihkan kita dengan cahaya iman dan islam. Lantas kita pun melihat dunia ini kecil sahaja. Apabila berdiri di atas fikrah yang baik begini, apa yang pernah kita kejarkan dahulu halus sahaja berbanding apa yang kita rasai ketika ini.

Saya kini merasa sedih, kerana adik yang kita tatang sejak kecil, yang kita manjakan dengan penuh kasih sayang, yang kita lihat betapa naifnya dia dahulu, kini jatuh ke dalam lubang yang sama yang pernah menjatuhkan saya dahulu. Ingin sangat saya memberitahunya bahawa apa yang dikejarkannya itu hanyalah perkara sia-sia.


Sudahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pelindungnya?  (Al-Furqan:43)


Dia menyalut segala perasaan dan kehidupannya pada keinginan-keinginannya (hawa nafsu), sedangkan dalam hidup ini, masih ada perkara yang lebih lebih besar daripada itu. Mereka seolah-olah anak-anak kecil yang leka bermain dengan bonekanya. Orang-orang yang telah dewasa fikrahnya yang telah melihat dunia dengan kaca mata yang hakiki pasti akan berasa geram melihatnya. 'Tinggalkan boneka itu! Tahukah kamu realiti kehidupan? Masih ada banyak lagi yang perlu dilakukan selain bermain dengan permainanmu itu!'




Diam. Sunyi. Masakan anak kecil bisa faham.

Panas hati orang-orang dewasa. Terfikir, penatlah kalau hijrah itu perlu berulang di takuk yang sama. Tunggu mereka dewasa baru mengerti erti cinta dan kehidupan? Ah! Penatlah begini. Mengapa kita 'orang dewasa', tidak mendidik dan membawa perubahan bermula sekarang? Supaya generasi akan datang akan membesar dalam fikrah islam dan memecut laju di alam remajanya. Lalu akhirnya, menjadi pemuda pemudi yang hebat pada umur kita ini.


Saya berharap agar hijrah saya yang pernah berlaku dahulu dan yang sedang berlaku kini, tidak hanya memberi manfaat kepada diri sendiri. Rugilah jika kita menjadi muslim soleh yang komited kepada agama tetapi berakhir sebagai seorang yang gagal pada suatu hari nanti apabila menyedari, tiada siapa yang dapat mendidik anak-anak kita. Generasi guru, siapa yang mahu mentarbiyyah? Generasi ahli professional, siapa yang mahu mentarbiyyah?

Tidak mahu menjadi da'i yang 'mandul' lagi. Tiada hasil untuk orang lain. Wahai! Berhenti bercerita tentang kisahmu. Zaman hijrahmu sudah berakhir. Mana tindakan dan perubahan?

No comments: