Thursday, 24 November 2011

Siri Hijrah: Buruk kepada Baik

*Siri bertemakan Hijrah sempena Awal Muharram.




Tersyahdu sebentar semasa dengar lagu ni tadi.

Mengenang kisah mereka yang meninggalkan kota yang penuh kegelapan menuju kota cahaya kebenaran. Mereka tak punya apa-apa - harta atau sanak saudara. Tetapi mereka percaya hanya janji Rasul-Nya. Gelap menuju cahaya.

Hijrah boleh ditafsirkan sebagai suatu perpindahan dari suatu keadaan/tempat menuju keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya.

Tiada hijrah yang menceritakan kisah perubahan daripada baik kepada buruk. Semuanya buruk kepada baik. Sunnah berhijrah penuh dengan rintangan, ketakutan, kepayahan dan debaran.

Apabila merenung kembali kisah hijrah ini, kita dapat melihat akan keperluan untuk melaksanakan hijrah apabila keadaan yang sediakala ini tidak membantu urusan dakwah dan tarbiyyah. Seperti penduduk Mekah. Hijrah tempat tinggal, hijrah keluarga, hijrah persahabatan, hijrah harta benda, hijrah medan perjuangan, hijrah hati. Sehingga yang terhasil hanyalah kesan-kesan taqwa mereka yang berkumpul kerana Islam, bersaudara kerana Islam, bersahabat kerana Islam, berharta untuk Islam, bekerja untuk Islam, berubah kerana Islam.

Apabila jiwa terasa kosong, mungkin ada keperluan untuk kita 'berhijrah' sebentar menuju akhawat daripada duduk mengharap petunjuk sambil memandang siling. Apabila jiwa terasa kering, mungkin juga 'penghijrahan' sejenak ke program-program atau masjid dapat mengeluarkan kita daripada kegelapan itu.

Dan jika keluarnya kita ini adalah demi mencari pengisian jiwa, ia adalah hijrah atas dasar taqwa, kita tidak akan terfikir-fikir akan kesenangan yang ditinggalkan. Hanya meyakini janji Allah dan Rasul-Nya dengan harapan penghijrahan yang telah kita lakukan ini mampu dibentangkan di hadapan Allah kelak dengan rasa lega.

Pada ketika itu semoga dinding-dinding, lantai, burung gagak, hamster, kucing pun turut tampil menjadi saksi penghijrahan itu.

Penulis merasakan dia perlu berhijrah ketika ini. Tidak termasuk bercuti balik kampung.

No comments: