Sunday, 13 November 2011

29 July



Saya duduk di atas rumput sambil memandang ke arah tasik. Sinar petang memantul pada permukaannya sehingga menyebarkan warna keemasan. Sesekali angin suam menghembus pada wajah. Saya memandang ke arah Uncle Eric yang membelek-belek radio yang dibawanya. Tidak lama kemudian kedengaran sayup-sayup lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee di corong radio itu. Indahnya, bisik saya.

Aunt Cecil pula sibuk menghidangkan lasagna yang dimasaknya. Seperti Uncle Eric yang menghidangi kami dengan lagu Melayu, Aunt Cecil tidak juga lupa menghidangkan nasi kerana dia tahu kami anak Malaysia tegar. Tiada nasi bukan makan namanya. Saya tersengih memandang Der, anak Aunt Cecil. Nampaknya petang ini kita ada menu campuran Malaysia dan Amerika.

Seusai perkelahan itu, Der meninggalkan saya bersama ibu bapanya di situ kerana dia perlu menghantar tunangnya yang ingin bergegas pulang. Saya mengambil kesempatan ini untuk beramah mesra dengan Aunt Cecil dan Uncle Eric.

Sebenarnya, niat saya ialah untuk mengorek kisah hidup Der melalui ibu bapanya kerana saya yakin kisah hidup Der sangat menarik untuk diterokai. Perasaan ingin tahu saya tentang keislaman Der membuak-buak. Soalan-soalan seperti bila, bagaimana, siapa dan mengapa berlagu-lagu dalam kepala, menunggu untuk dinyanyikan sahaja. Saya tidak berbicara banyak dengan Der kerana dia seorang lelaki.

Apa yang membuatkan saya lebih tertanya-tanya mengenai Der, dia seperti ingin tinggal selamanya di Malaysia. Mengapa? Berbalik kepada cerita yang masih misteri, sejak bila Der menjadi muslim? Di Amerika atau Malaysia? Jika di Amerika, siapakah yang mengenalkannya kepada islam? Dan adakah dia datang ke sini untuk belajar tentang islam? Sudah berapa lama Der berada di sini? Apa reaksi Aunt Cecil dan Uncle Eric dengan keislamannya? Mungkin juga kehadiran Aunt Cecil dan Uncle Eric di sini pada hari ini bertujuan untuk meninjau kehidupan Der sekaligus memujuknya pulang ke Amerika. Mungkin begitu.

Kami bertiga duduk di atas kerusi di tepi tasik tadi sementara menunggu Der. Uncle Eric kini ralit dengan novelnya. Saya tidak dapat mengenalpasti tajuknya kerana ia ditulis dalam bahasa Spanish. Aunt Cecil sibuk membungkus lasagna yang tidak habis tadi ke dalam bekas untuk kami bawa pulang. Sekali-sekala mereka bercakap dalam bahasa Spanish.

Kemudian, kami berbual tentang Amerika dan suasananya. Entah mengapa saya tiba-tiba begitu berminat tentang keadaan trafik di negara sana. Aunt Cecil dan Uncle Eric memberikan perbandingan suasana antara dua tempat itu dengan baik dan segar kerana mereka baru pertama kali tiba di Malaysia. Kami juga berbual tentang Der tapi saya tidak mendapat peluang untuk mendalami kisahnya dengan islam. Hanya kisah-kisah zaman remajanya sahaja. Itu sudah cukup baik bagi saya.

Aunt Cecil seronok bercerita tentang kereta mini milik Uncle Eric dahulu. Uncle Eric menokok tambah cerita Aunt Cecil dengan kisah yang lebih tepat manakala saya mendengar kisah-kisah lucu mereka sambil ketawa. Saat itu memang menyenangkan.

Apabila Der tiba selepas itu, saya menyedari itulah masanya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Aunt Cecil dan Uncle Eric. Saya merasakan masa berlalu dengan begitu pantas. Cukup menyedihkan untuk menamatkan saat indah itu sekarang.

Saya menyalami Aunt Cecil seperti mula-mula kami berjumpa tadi. Tiba-tiba dia memeluk dan menciumi pipi saya. Kali pertama dipeluk dan dicium orang putih. Dan saat itu juga menjadi seperti guruh yang berdentum dalam jiwa saya tatkala Uncle Eric juga berbuat perkara yang sama. Muka saya memerah. Der ketawa sambil meminta maaf dalam bercanda.

Selepas itu, mereka pun berangkat pergi dengan kereta Der. Der mengeluarkan tangannya dari tingkap dan melambai. Entah mengapa saya merasa kehilangan. Suasana keemasan tadi sudah menjadi sepi.

Kini, setelah beberapa lama, saya tidak tahu Der berada di mana. Saya yakin dia masih berada di negara ini, dan masih kekal kuat dengan kecintaannya kepada Allah. Saya merindui saat-saat manis bersama ibu bapanya. Dan masih menyimpan harapan agar kami akan bertemu kembali untuk duduk bercerita seperti ibu bapa dan anak lagi.

Manusia bagaikan mutiara yang tersimpan di dasar lautan. Mereka adalah jiwa yang unik dan berharga. Dan jiwa-jiwa yang unik ini saling berhubung melalui cinta dalam lorong sejarah masing-masing. Sejarah mereka adalah suatu permata yang dimiliki oleh mereka sahaja. Orang lain tidak dapat mencuri sejarah itu melainkan terpancar dek silauan dan keindahannya yang dikongsi pada setiap yang ingin melihat.

Kita berjumpa dengan mutiara dan permata ini untuk berkongsi keindahan dan harganya. Tidak kira sama ada ia khazanah baru atau lama, jauh atau dekat, sama atau berbeza.


No comments: