Thursday, 6 October 2011

Ma'adin



Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah saw. bersabda,

الناس معادن، خيارهم في الجاهلية خيارهم في الإسلام إذا فقهوا 

"Manusia itu seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliyyah, terpilih juga semasa Islam, sekiranya mereka faham." (riwayat Bukhari)


Dahulu kita belajar dalam Fizik, kualiti logam termasuklah tahap kemuluran (ductility) yang tinggi, membolehkan ia mudah dibentuk mengikut acuan yang dikehendaki. Sifat ini yang membolehkan kita mampu memiliki teknologi menukarkan handphone sebesar bekas air kepada sekecil-kecil handphone saiz poket. Logam seperti emas dan perak juga menjanjikan kemewahan dengan nilainya yang tinggi sepanjang zaman. Selain itu, kekuatan logam menjadikan ia benda terpenting dalam pembangunan dan teknologi. Mungkin kita terlupa bahawa pasak-pasak bangunan yang tersembunyi di dalam binaan konkrit adalah logam.

Lagi advance kalau kita belajar dalam engineering, logam juga elastik - ia mampu kembali ke bentuk asal apabila dikenakan stress, mengikut hukum Hooke's. Ia tidak seperti plastik yang berubah bentuk terus apabila dikenakan daya. Logam juga tidak mudah rapuh (brittle) seperti kaca. Selain mengalirkan haba dan elektrik, logam juga menjadi semakin berkualiti secara dalaman (microstructure) apabila kita pandai memanipulasikan suhu ke atasnya.


Kualiti setiap logam tidak berubah sepanjang zaman. Pisau tetap berguna sama ada digunakan untuk memotong sayur atau menikam manusia.

Jiwa-jiwa di bumi ada kelogaman masing-masing. Apa yang membezakan baik dan buruk penggunaanya adalah kefahaman. Iaitu faham erti kehambaannya di muka bumi ini. Faham tujuan ia diciptakan. Faham apa peranannya dalam dunia.

Dengan kefahaman ini Umar r.a. bertukar daripada orang yang paling ingin membunuh Nabi s.a.w. kepada orang yang paling mempertahankannya. Ia berubah daripada orang yang paling ingin mengangkat pedangnya kepada orang islam kepada orang yang mengecutkan perut-perut kafir Quraisy dengan ugutan keras lagi menakutkan,  

"Barangsiapa yang sanggup menjadikan ibunya keseorangan disebabkan kematian anak, meletakkan anak-anak mereka menjadi yatim piatu lantaran kematian bapa, sanggup menjadikan isteri kesayangannya menjadi balu kerana kematian suami, marilah kita adu senjata di sebalik bukit ini."

Lalu menjadi satu-satunya orang yang berhijrah secara terang-terangan ke Madinah tanpa sesiapa pun yang berani menghalangnya.

Begitu juga Khalid al-Walid r.a. dengan kehandalannya dalam peperangan, Amru r.a. dalam kemahirannya bersyair. Syair jahiliyyahnya kini bertukar menjadi syair-syair yang mempertahankan dan menceritakan keindahan islam. Tidak lupa Muaz bin Jabal r.a. menyumbangkan kepintaran sasteranya kepada pemahaman al-Quran melebihi sahabat-sahabat yang lain. Tidak disebut lagi kemampuan menulis yang tidak dimiliki kebanyakan penduduk Makkah tetapi digunakan oleh Zaid bin Thabit r.a. untuk menulis kalam-kalam Allah.

Di zaman ini juga mata dan telinga kita juga tidak terlepas daripada menangkap susuk-susuk tokoh yang menggunakan kepakaran masing-masing kepada islam. Bijak pandai dalam bakat dan bidang masing-masing - bahasa, ekonomi, multimedia, seni, kedoktoran, perguruan, kejuruteraan etc. semuanya itu hanya bermanfaat kepada islam sekiranya kita ada kefahaman itu.





Situasinya hanya ada dua: Jika tidak digunakan kepada islam, ia akan menyalurkan manfaatnya pada jahiliyyah. Dan jika digunakan untuk islam maka ia akan mampu melawan jahiliyyah. Tidak ada yang selain itu kerana tidak wujud logam yang sia-sia.

Kamu yang lebih mengetahui apa logam-logammu. Persoalannya jalan manakah yang kamu pilih?



No comments: