Sunday, 2 October 2011

KL2JB


Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. bahawasanya ada seorang lelaki berziarah kepada seorang saudaranya di suatu desa lain, kemudian Allah memerintah seorang malaikat untuk melindunginya di sepanjang jalan yang dilaluinya. Setelah orang itu melalui jalan itu, berkatalah malaikat kepadanya: “Ke mana engkau menghendaki?” Orang itu menjawab: “Saya hendak ke tempat seorang saudaraku di desa ini.” Malaikat bertanya lagi: “Adakah suatu kenikmatan yang hendak kau peroleh dari saudaramu itu?” Ia menjawab: “Tidak, hanya saja saya mencintainya kerana Allah.” Malaikat lalu berkata: “Sesungguhnya saya ini adalah utusan Allah untuk menemuimu – untuk memberitahukan – bahawa sesungguhnya Allah itu mencintaimu sebagaimana engkau mencintai saudaramu itu karena Allah.” (Riwayat Muslim)

Alhamdulillah.

Aku telah melalui suatu perjalanan yang amat indah. Walaupun di situ tiadalah Taj Mahal, Piramid, Stonehenge atau kesempatan untuk duduk di tepi laut sambil menulis puisi, apa yang disimpan dalam kotak hati jauh lebih berharga daripada apa yang aku sempat capture dalam kotak memori.

Negeri Darul Takzim merupakan negeri yang paling aku ingin kunjungi walaupun aku pernah menjejakkan kaki di situ pada tahun 2002 dan 2009. Johor bagiku, adalah negeri yang penuh dengan aset dan harta berharga, sebuah negeri 'berjiwa besar' dan sangat seronok untuk di'explore'. Johor adalah satu-satunya negeri yang apabila aku menjejakkan kaki di atas tanahnya, perasaannya seperti berada di sebuah negara yang jauh. 

Di sini aku bergurau sendiri. Kita menggunakan lebuhraya PLUS yang sama tetapi dari JB ini Melaka dan Kuala Lumpur itu adalah utara. Tidak tertulis Ipoh atau Alor Setar di signboard PLUS kerana itu bagaikan suatu dunia yang jauh. Apabila aku berada di kampung, Johor Bahru pula hanyalah suatu petunjuk yang mengatakan anda sedang menuju ke selatan. Loh kalau dah ada di JB, mana lagi arah jalan ke selatan? :) Perspektif jadi berbeza apabila berada di sudut pandang yang lain.

Jaulah = Fikir, Zikir, Syukur dan Sabar

Aku mengenangkan pengorbanan akhawat yang datang sejauh JB ke KL untuk memberi pengisian selama beberapa jam, kemudian pulang semula ke JB. Bayangkan jika ia bersusah-susah mengorbankan tidurnya di lebuhraya utara selatan itu semata-mata untuk bertemu dengan pendengar-pendengar yang tidak bersedia dan bermain-main. Subhanallah jikalau niatnya bukan kerana Allah swt., maka pengorbanannya tidaklah sesohih ini. Betapa seriusnya ia dalam menyeru kepada Allah.

Aku juga mengenangkan akhawat yang sanggup naik bas seawal satu pagi dan meninggalkan jaulahnya yang best demi tuntutan liqa' bersama adik-adik. Boleh saja ia beri alasan yang ia sedang berada jauh dari KL atau ia sedang tidak sihat. Pengorbanan itu hanya semakin menebalkan sticker 'dakwah menuntut keseriusan dan kesungguhan' di wajahnya. Kerana dia juga aku ada pengalaman menaiki bas dari Johor ke Kuala Lumpur buat pertama kalinya hee.

Bagaimana mereka menyantuni akhawat lain dan masyarakat. Bagaimana adab mereka. Bagaimana cara mereka saling mengasihi... Itu mungkin tidak dapat dipelajari dalam usrah atau daurah kebiasaan.

Melihat mereka ini, aku menyedari bahawa perjalanan aku masih jauh. Jalan ini suatu jalan yang panjang yang menggesa aku mengutip pengalaman-pengalaman di setiap hentian. Kerja kita masih banyak. Pengorbanan kita untuk islam masih kecil. Sahutan hidup dan mati demi islam itu masih lagi suatu bisikan sayup. Kalau perjalanan ini ibarat Kuala Lumpur ke Johor Bahru, mungkinkah aku masih di Petaling Jaya? Oh aku telah mula merindui Melaka, Batu Pahat, Skudai!

Ya Allah, semoga jaulah ini mempertemukan aku dengan lebih banyak saksi di langit dan bumi untuk membantuku di akhirat kelak. Semoga dengannya aku semakin sabar, ikhlas, ihsan dan bertaqwa.

:)

p.s. Oh Allah, aku kena banyakkan membaca!


No comments: