Sunday, 30 October 2011

Dilema Nasi Penuh Sepinggan



Pernah tak anda semua berada dalam dilema 'nasi penuh sepinggan'? Ianya adalah suatu situasi apabila anda dihidangkan dengan sepinggan nasi yang sangat banyak dan anda begitu pasti yang anda tidak akan mampu menghabiskannya (terutamanya kaum hawa).

Anda teringat bahawa pembaziran itu menjadikan anda sahabat syaitan tetapi tidak boleh memaksa diri makan sehingga habis kekenyangan kerana anda perlu mengikut adab makan -berhenti sebelum kenyang. Pilihan yang sama kuat.

Kalau perlu bungkus, anda akan rasa bersalah kepada alam sekitar pula kerana anda menggunakan styro.

Jadi bagaimana?

Dan baru-baru ini, saya berdepan dengan dilema; nak bersedekah atau tidak kepada anak-anak kecil yang meminta di jalanan kerana dikhuatiri mereka terlibat dalam sindiket yang menipu orang ramai. Realitinya sindiket ini memang benar-benar wujud. Ada yang berpura-pura cacat dan comot, padahal pendapatan mereka mencecah ratusan ringgit sehari.


Disebabkan sebaran kisah-kisah ini, kita dapat melihat ramai orang meletakkan pandangan skeptikal kepada golongan ini walaupun kepada yang benar-benar pengemis. Maka kebanyakan kita ada yang mengatakan mereka berada dalam dilema 'nasi penuh sepinggan' ini. Nak sedekah takut merosakkan lagi anak kecil yang dah diajar menipu. Kalau tak nak sedekah kasihan pula; sedih juga sebab tak beroleh pahalanya.

Jadi apa penyelesaiannya?

"Hai orang-orang beriman, jagalah dirimu sendiri, dan tiadalah membahayakanmu orang yang telah sesat, bila kamu telah mendapat petunjuk." (Al-Maidah: 105)

Bukankah sedekah itu memang dikhaskan buat orang-orang yang meminta dan yang tidak meminta? Adakah kita benar-benar boleh claim bahawa mereka itu menipu sebelum kita mengelak memberi sedekah?


Dalam keadaan dunia akhir zaman yang serba-serbi samar begini, kita seringkali mengalami kepayahan dalam membuat pilihan terutamanya dalam menentukan prioriti. Ada di antara kita yang terpaksa memilih antara kelas/kerja atau program yang 'super' penting, antara family gathering atau usrah.

Dan kisah-kisah peminta sedekah menipu ini disebarkan bersama-sama pros and cons nya. Orang ramai kini lebih berhati-hati agar tidak mudah tertipu tetapi lama kelamaan, sifat berhati-hati ini terpupuk dengan begitu tebal sehingga kita menghasilkan generasi-generasi yang kedekut demi 'kebaikan umat'.



Kita tidak dapat menetapkan hukum untuk setiap perkara kerana setiap hari, dunia teknologi kita ini mewujudkan barang baru bersama permasalahannya sekali. Kalau dahulu, para ulama dibebankan dengan isu darah nyamuk: adakah membatalkan wudu', sekarang kita berdepan masalah yang lebih kurang sama cuma dengan terma-terma yang lebih kompleks.

Al-Quran juga tidak meletakkan hukum untuk setiap perkara. Tidak tertulis halal atau haram di dalam al-quran dan hadith mengenai televisyen. Al-Quran juga tiada menerangkan isu boleh atau tidak bernikah dengan orang yang berlainan prinsip. Di dalam al-Quran tiada perkataan syumul sekalipun, ia adalah istilah yang dicipta pada masa al-Banna, digunapakai untuk memudahkan penyampaian maksudnya kepada masyarakat moden.

Kita tiada jawapan untuk semua perkara. Namun, Allah telah meletakkan banyak panduan untuk kita ukur sendiri dengan akal dan mata hati kita. Dan sudah tentu, hanya hati-hati yang terbaik dan terbersih dapat membuat pemilihan yang terbaik dalam mana-mana dilema 'nasi penuh sepinggan'. Itu sebabnya mengapa Rasulullah saw. itu tiada dosa (maksum) dan orang-orang soleh kurang berbuat dosa.

Dan dari Wabishah bin Ma'bad ra. berkata: Aku datang kepada Rasulullah saw., beliau bertanya,

"Apakah engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan?" Saya menjawab, "Ya." Beliau bersabda, "Bertanyalah kepada hatimu sendiri, kebajikan adalah sesuatu yang membuat jiwa dan hatimu tenang sedangkan dosa adalah sesuatu yang menggelisahkan jiwa dan menimbulkan keraguan dalam hati, meskipun orang-orang memberi fatwa yang membenarkanmu." (hr Ahmad)

Saya pernah memilih untuk tidak bersedekah kepada orang yang dikhuatiri menipu, manusia di sekeliling bersetuju dan 'berfatwa' dengan hujah masing-masing, saya berpuas hati tetapi akhirnya jiwa saya tidak tenang dan gelisah. Ketika itu barulah saya dapat melihat apa itu kebajikan dan apa itu dosa... Mungkinkah kekhuatiran tadi bisikan syaitan?

p.s. Nasi penuh sepinggan? Nasi sepinggan penuh? Sepinggan nasi penuh? Sepinggan penuh nasi? zzzzz.....

2 comments:

Miss Sheikh said...

dilema tu biasa. delima pun best jugak...

ala kulil hal dik, yg ptg masa kita nak memberi tuh, hati di mana...

yg lain kita serahkan pada Allah.di saat tiada khalifah ni, mmg susah nak membanteras apa yg haram dan menyuburkan apa yg halal...

Munashah said...

jzkk kak :)