Wednesday, 19 October 2011

Curhat Anak Manja

Tarbiyah Allah adalah tarbiyah yang terbaik. Sesungguhnya kita selalu sahaja mengadu masalah kita kepada semua telinga dan mata dengan harapan mereka memahami dan memberi perhatian padahal Allah yang Maha Mengetahui tentang permasalahan kita itu dan Maha Memahami. Maka apakah ada teman curhat yang lebih dekat dan tepat selain Allah Pencipta kita?

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya dari pada urat lehernya (50:16)

Hari ini apabila manager mengatakan saya kelihatan sedih sejak semalam, saya agak panik kerana saya menyangka saya sudah menghadapi permasalahan saya dengan setenang mungkin. Kemudian, saya mula tertanya-tanya sama ada saya benar-benar sedang cuba bersabar dan bersyukur, atau sedang meratapi diri sendiri. Jika redha, sepatutnya kesugulan itu tidak terpancar sebegitu sekali daripada riak wajah di luar kesedaran diri.

Astaghfirullahal'azim. Saya tidak mahu jadi orang yang kufur sebegini lagi.

Saya ingatkan saya telah berulang kali berbicara dengan-Nya bahawa saya meredhai apa yang berlaku. Kerana ujian tidaklah datang untuk menghukum. Saya juga selalu memperingatkan diri bahawa ujian itu adalah sunnatullah kepada hamba-hamba-Nya. Saya perlu melalui jalan yang mendaki yang sukar ini. Ujian adalah tanda kasih sayang Allah yang ingin kita semakin dekat pada-Nya.

Apabila meneliti kembali, saya mula menyedari bahawa bertahan sahaja tidak cukup. Saya perlu yakin dan bersabar menunggu pertolongan Allah. Mungkin saya terlalu 'mendesak' Allah sehingga semakin pudar rasa redha dan yakin terhadap janji-Nya. Mungkin sahaja hati saya masih belum bersungguh-sungguh berdoa sebagaimana bersungguhnya hamba-hamba-Nya yang soleh dan terpilih.

Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah. (57:16)

Mungkin sahaja sifat bertahan saya ini kurang dibaja dengan rasa bersyukur dengan ujian Allah ini. Atau sebenarnya saya belum juga berusaha bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan masalah ini dengan sedaya upaya saya?

Semenjak bermulanya dunia baru sebagai seorang yang bekerjaya, saya telah pun berazam untuk mengatur hidup dengan lebih matang dan berdikari. Mungkin disebabkan kami telah dimanjai dengan harta benda semasa kecil, tabiat itu sukar dibuang walaupun pada hakikatnya kami tidak lagi mewah sejak pemergian ayah. Saya tidak dapat mendidik mereka untuk lebih berkorban, kerana antara mereka ada yang masih kecil dan ada pula yang masih struggle dengan hidup baru. Maka, setakat ini kelihatannya saya sahaja yang mampu diharapkan untuk meringankan beban keluarga apatah lagi kerana saya faham bahawa hidup kami tidak boleh manja-manja lagi.


Dan indahnya tarbiyah Allah kerana menarik kemudahan yang ada pada saya itu supaya saya sedar bahawa inilah masanya untuk saya bertindak merealisasikan azam saya. Mungkin sahaja kesugulan itu datang kerana anak manja ini sedang terkejut dengan perubahan. Alhamdulillah apabila direnung kembali, ada banyak perkara baru yang saya pelajari setelah melalui perubahan ini.

Jangan kamu berputus asa daripada pertolongan Allah, sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat (atau pertolongan) Allah melainkan orang-orang kafir. (12:87)

Dan sesi curhat kepada manager tadi terhenti pada kisah-kisah surface sahaja kerana anak manja ini tahu sebaik-baik tempat curhat adalah kepada Tuhannya, Allah yang sering memanjainya. Wow! Dan menulis ini benar-benar memberi penawar. Memang benar,

Tiga orang yang akan selalu diberi pertolongan oleh Allah adalah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah Swt., seorang penulis yang selalu memberi penawar, dan seorang yang menikah demi menjaga kehormatan dirinya. (HR Thabrani)

p.s. Apa agaknya khabar Julaybib (kereta saya) sekarang ni.
p.p.s. Ya Allah permudahkanlah urusanku, keluargaku dan urusan orang-orang mukmin.

2 comments:

Miss Sheikh said...

adik..x dpt lg keta?

Munashah said...

belum kak. kena cari duit dulu nak bayar huu.