Friday, 23 September 2011

Engkau Fanatik, Aku Cemburu!


Ramli 19!

Sampai sekarang masih tak faham kenapa kaum Adam ni boleh jadi fanatik dan kipas-susah-mati bola. Abang Chelsea. Ngah MU. Tapi ni bukan nak cakap pasal fanatik bola. Cuma bila fikir pasal fanatik terus teringat bola. Tak tahu kenapa he he.

Fitrah manusia cintakan kebaikan. Mereka akan menjadi begitu mudah tertarik kepada seseorang yang dilihatnya berbudi bahasa, berpakaian kemas dan sopan, berakhlak mulia dan sebagainya.

Lalu apabila manusia mula tertarik kepada seseorang, dia terdorong untuk mengenalinya lebih daripada biasa untuk cuba mencari lebih 'bukti'. Sama sahaja kesnya dengan seseorang yang pada mulanya secara tidak sengaja tertekan link video seorang penyanyi misalnya, ia terdorong untuk menekan link yang lain kerana telah tertarik dengan video pertama. Selepas itu, cari biodatanya, blognya, profil laman sosialnya, search nama dan gambarnya di gugel dan ambil tahu aktiviti hariannya serta pandangan orang lain terhadapnya.

Suka.. kenali... semakin suka... kenali... semakin suka...

Ia menjadi fanatik

Ia tidak boleh tidur kalau tidak tahu updatesnya setiap hari. Ia berulang kali melihat laman profil dan blognya setiap beberapa jam walaupun memang tiada perubahan pada laman itu. Ia buka hanya untuk melihat. Itu penyakit rindu.

Kemuncak perasaan cinta adalah cemburu. Disebabkan perasaan cemburu itulah ia mencari jalan 'menyelongkar' segala kisahnya demi mengetahui segala-galanya tentangnya. Tidak ada orang yang boleh mendekatinya atau menyukainya lebih selain daripada diri dia.

Dia membuatkan kita gelisah.

Setiap daya penarik dan kebaikan yang dimiliki oleh seseorang itu ada Pemiliknya. Keindahan itu keindahan-Nya. Mengapa manusia begitu mudah menyuburkan cintanya pada seseorang tetapi begitu payah untuk menabur baja cinta pada pemilik segala kebaikan itu? Keindahan Allah kan lebih Indah?

Jika kita berusaha mengenali seseorang, mengapa susah untuk mengambil langkah untuk semakin mengenali Allah dalam menggapai cinta-Nya?

Aku cemburu jika engkau mencintaiku melebihi cintamu kepada Allah!

Seorang wanita memang akan berbahagia jika ia dicintai oleh seorang lelaki yang setia. Namun wanita solehah sepatutnya cemburu jika ada lelaki yang mencintainya lebih daripada cintanya (cinta lelaki itu) kepada Tuhan. Apalagi jika cinta itu belum halal.

Apakah dia tidak terfikir - yang lelaki itu mencintai seorang wanita secara mendalam dan wanita itu bukan isterinya? Ia juga melebihkan wanita itu daripada Tuhannya. Maka boleh jadi ia jatuh cinta kepada wanita lain dengan cintanya yang belum halal itu?

Katakanlah: ""Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya."" Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik." (At-Taubah : 24)

No comments: