Saturday, 13 August 2011

Simbiosis




Pada zaman saya dahulu, menjejakkan kaki ke London merupakan suatu impian yang sangat tinggi buat saya sehingga saya sendiri tidak berani untuk merealisasikannya. London dan mat salleh - dua perkara yang menonjolkan kejakunan saya dulu-dulu apabila mendengar tentangnya. Segala-galanya tentang orang putih adalah hebat dan bertamadun.

Peristiwa yang berlaku kepada Asyraf Haziq Rosli merupakan suatu peristiwa yang menggemparkan rakyat Malaysia, Britain dan dunia khususnya, setelah video kejadian itu ditayangkan di media. Dunia seolah-olah telah dibukakan mata bahawa negara hebat dan dijulang tinggi itu juga telah menjadi tidak selamat dengan jenayah rakyatnya sendiri. Yang menyedihkan, kanak-kanak lingkungan sekolah rendah dikatakan turut terlibat sama dalam rompakan ke atas Asyraf.

Dunia sudah lagi tidak selamat. Masjid jadi tempat menyamun. Tabungnya sudah pecah-pecah dikerjakan penagih. Nak beriktikaf pun sudah diberi amaran awal supaya berhati-hati. Muslimah awal-awal lagi ditegah untuk beriktikaf kerana faktor keselamatan. Ibadah di bulan Ramadhan sudah menjadi rongak disebabkan faktor masyarakat sekeliling. Nah lihat sahaja adik Asyraf Haziq, nak cari juadah berbuka puasa pun sampai patah-patah rahangnya.

Semakin lama kita tidak dapatlah menjadi muslim yang semakin baik. Sudahlah hiburan dan pemikiran kafir telah meyerap masuk minda kebanyakan orang-orang kita, kita yang baik-baik ni (insyaAllah semua pun baik) nak beribadah pun tidak selamat. Bagaimana nak sahut seruan Allah:

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. (Az-Dzariyat: 56)

Itulah sebabnya, Allah menyeru kita supaya menjadi khalifah-Nya, kerana kekhalifahan dan kehambaan itu adalah suatu simbiosis, tidak dapat sempurna tanpa tolong-menolong. Ramai di antara kita yang menyimpan ilmu dan iman di dalam hati, dan mengambil keputusan untuk baik seorang diri kerana katanya kubur kita asing-asing. Dan mengamalkan selemah-lemah iman iaitu menolak kemungkaran di dalam hati.

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi"... (Al-Baqarah:30)

Sedangkan Allah menjadikan manusia sebagai khalifah-Nya di atas muka bumi untuk menegakkan syariat-Nya dan untuk memastikan (memimpin) seluruh makhluk untuk beribadah kepada-Nya. Termasuklah mengislah masyarakat untuk menjadi komuniti yang patuh dan taat kepada Allah.

Kita juga telah lama mengenal simbiosis. Kandang tempat kita orang-orang mukmin akan semakin mengecil jika kita membiarkan manusia di luar sana terbiar dalam kegelapan dan lambat laun menghimpit kita pula. Maka kenalah buat kerja khalifah. Tetapi untuk menarik dan berhadapan dengan mereka, kehambaan (iman) haruslah tinggi untuk terus tsabat dan tidak 'terjoin' sekali dengan mereka. Kena kuatkan iman dan beribadah. Simbiosis.

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (At-Taubah: 71)


Sunnah Rasulullah s.a.w. yang terbesar - dakwah (seruan kepada Allah).


Mari mendoakan kesihatan adik Asyraf Haziq dan semoga peristiwa yang berlaku kepada beliau tidak akan berulang lagi kepada kita dan anak cucu cicit kita.

No comments: