Tuesday, 2 August 2011

Apa di Langit, Apa di Bumi



Ramadhan kali ini diserikan dengan bintang-bintang yang bersinar indah di langit perkampungan. Pohon-pohon padi melambai dan menari ditiup angin. Suara zikrullah alam menghasilkan getaran indah yang menyeimbangkan suhu udara. Subhanallah kesemuanya berzikir! Kalau manusia dan jin dibukakan hijab pendengaran ke atas alam, maka mereka akan terpekakkan oleh 'kebingitan' zikrullah alam itu.

Whatever is in the heavens and whatever is on the earth exalts Allah , and He is the Exalted in Might, the Wise. (As-Saff, 61:1)

Setiap hari, dalam perjalanan harian kita menuju tempat belajar atau kerja, kita tidak terlepas daripada tersalah menyempitkan definasi alam kepada sebahagian elemennya. Bagaimana kita mengertikan langit dan bumi itu bergantung kepada capaian pemikiran kita pada saat itu. Kalau bersesak di dalam tren sehingga hampir putus nafas, kita begitu fokus pada kebajikan diri kita saat itu sehingga begitu bergantung kepada manusia. Pada ketika itu manusia sahaja yang kita lihat.

Sehingga mungkin ada yang pernah terlintas dalam fikiran, "Aku bersesak di dalam tren untuk pergi usrah. Orang lain bersesak tapi dapat berseronok dan melagho tanpa rasa bersalah." Terasa seperti golongan minoriti yang lemah dan tidak disokong.

Mahukah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?
Bagi orang-orang yang bertaqwa di sisi Tuhan mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya... (Ali 'Imran: 14)

Hakikatnya definasi 'alam' itu bergantung kepada pengalaman individu itu sendiri. Jika elemen alam itu disempitkan kepada manusia sahaja, maka Islam jadi minoriti kerana masih ramai manusia yang lalai dalam menyempurnakan tugas mereka sebagai hamba Allah di dunia. Namun apabila kita meluaskan pandangan mata kita, iaitu jika elemen alam itu dipandang dari sudut sebenar, kita akan mendapati bahawa kita termasuk ke dalam golongan majoriti kerana pada saat itu oksigen di dalam tren, dinding dan lantai tren, bunyi bingit, hatta bau-bau peluh adalah elemen 'ma fissamawati wa ma fil ardh'. Setiap molekul dan atom dalam alam bertasbih kepada-Nya. Hamba Allah sangat ramai dan sibuk berpesta zikir! Mereka sedang menyimpan kesaksian ke atas manusia-manusia di dunia untuk akhirat. Maka berbahagialah semua orang mukmin!

Bapa kita, Nabi Ibrahim a.s. begitu yakin untuk masuk ke dalam api yang menjulang tinggi. Betapa tunduk dan sujudnya alam itu sehingga api telah keluar dari fitrahnya untuk mentaati Tuhannya. Tidak ada rasa takut padanya (Nabi Ibrahim a.s.) dan tidak bersedih hati.

Wahai orang-orang mukmin, anda berada di dalam arus perdana, maka apakah rasa selamat dan rasa kuat yang lebih baik daripada didokong Allah dan semua makhluk di langit dan bumi? Maka kobarkanlah semangat para mukmin untuk terus tsabat dan berhimmah dalam mentaati Allah!

Ya Tuhan kami, kami benar-benar beriman, maka ampunilah dosa-dosa kami dan lindungilah kami dari azab neraka.  

Katakanlah, "Mahukah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?"
Bagi orang-orang yang bertaqwa di sisi Tuhan mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya... (Ali 'Imran: 14)

Juga orang yang sabar, orang yang benar, orang yang taat, orang yang menginfakkan hartanya, dan orang yang memohon ampunan pada waktu sebelum fajar. (Ali 'Imran:17)

Apa yang ada di langit, apa yang ada di bumi, bertasbih kepada Allah.

No comments: