Tuesday, 7 June 2011

Masjid ketiga di Tebing Barat dibakar Pendatang Yahudi

Sumber Ma'an News

RAMALLAH, Tebing Barat -Cubaan membakar sebuah masjid di utara Tebing Barat, menyebabkan kemusnahan di bahagian dalam masjid, termasuk tikar-tikar sejadah di dalamnya. Punca kejadian itu diletakkan kepada pendatang Yahudi yang bermukim di pos-pos penempatan berhampiran, berikutan bukti-bukti slogan anti Arab dan tulisan Hebrew di dinding-dinding masjid.

Sumber Middle East Online

Penyerang-penyerang bertindak meletakkan beberapa dozen tayar sebagai bahan bakar di dalam masjid kampung al-Mughayyir yang terletak 20 kilometer di utara Ramallah itu. 

Mereka juga menggunakan cat penyembur dan menconteng di dinding-dinding, termasuk tulisan bermaksud, "Price Tag, Alei Ayin" dalam bahasa Hebrew. 'Price Tag' (Tanda harga) merupakan istilah yang digunakan oleh pendatang-pendatang Yahudi yang bermaksud amalan menyerang warga Palestin, harta dan kampung-kampung mereka sebagai tanda balas dendam setiap kali tentera Israel merobohkan pos-pos penempatan mereka. 


Tulisan bahasa Hebrew bermaksud 'Price Tag' (atas) dan 'Alei Ayin' (bawah, kecil) - Sumber Ma'an News

"Alei Ayin" pula merupakan nama pos penempatan Yahudi yang dirobohkan oleh tentera Israel baru-baru ini.

Israel mengharamkan pos-pos penempatan Yahudi yang dibina tanpa kebenaran kerajaan dan telah merobohkan beratus-ratus penempatan yang giat dibina sejak lebih sepuluh tahun yang lalu. Kini, pendatang-pendatang pos penempatan Yahudi aktif memberi kesedaran dan mesej mereka melalui laman sosial Facebook. 

Aktivis Yahudi dan Facebook - Sumber Haaretz (Israel)

Walaupun kekurangan bekalan air dan elektrik di pos-pos penempatan ini, mereka menggunakan kelebihan wireless di sebahagian kawasan Tebing Barat untuk membuat grup untuk kesedaran di laman sosial berkenaan.

Pada tahun 2009, Puan Ronen, yang anak perempuannya ditahan oleh tentera Israel atas dakwaan menyerang tentera Israel ketika mereka merobohkan pos penempatan mereka, berkata, "Perjuangan untuk 'The Land of Israel' (Tanah Israel) adalah jalan yang panjang, susah; kami tidak pernah mengharapkan hasil serta-merta. Saya rasa kita perlu memperbaharui komitmen terhadap Tanah ini di dalam kelompok kita sendiri, dan adakan kempen bersemuka yang meluas kepada orang awam terutamanya tentang kepentingan Tanah Israel untuk bangsa kita..."

Pegawai polis Israel bertengkar dengan pendatang Yahudi di pos penempatan Yahudi di selatan Tebing Barat, Mac 2004 - Sumber berita Yahudi.

Aktiviti 'Price Tag' ini telah pun bermula lama dahulu seperti kejadian di Masjid al-Kabir di perkampungan kampung Yasuf pada tahun 2009 dan masjid di perkampungan Nablus pada tahun 2010.

Masjid al-Kabir diconteng dengan tulisan-tulisan "Kami akan membalas dendam" dan "Kami akan bakar kamu semua" di atas karpet masjid. Manakala kejadian pada tahun 2010 pula merekodkan beberapa orang Yahudi berkenderaan datang pada jam 3 pagi, mencampakkan al-Quran dan mengoyakkan langsir sebelum dibakar di dalam masjid. 

Kejadian di masjid al-Mughayyir pada tahun ini pula merupakan kejadian yang ketiga untuk tindakan balas dendam orang Yahudi yang dilakukan pada jam 3 pagi Selasa malam waktu tempatan. 



Penulisan ini juga boleh dibaca dari sini.

No comments: