Wednesday, 18 May 2011

Persamaan yang Bermakna...


 
Saya tidak tahu mengenai orang lain, tetapi saya ada pengalaman seperti ini. Suatu ketika dahulu, kita sangat rapat dengan seseorang. Macam belangkas lah katakan. Pergi sekolah sama-sama. Belajar sama-sama. Makan sama-sama. Solat sama-sama. Pada waktu itu, perasaan seolah-olah dialah sahabat sehidup semati kita. Namun, beberapa waktu selepas itu, kita mengalami situasi yang tidak terlalu drastik, cuma apabila disedari, kita dan dia telah menjadi seperti orang yang tidak pernah saling mengenali.

Pernahkah?

Dahulu saya sering tertanya-tanya - apakah yang membuatkan keakraban suatu hubungan itu pudar. Mungkinkah masa yang melunturkan kasih itu? Atau perubahan situasi yang akhirnya membentuk perbezaan dan pemisahan?

Ironinya, kita pernah rapat serapat rapatnya dengan seseorang walaupun bilangan perbezaan kita dengan dia lebih banyak daripada bilangan persamaan yang kita ada. Kita telah berjaya mengharungi perbezaan itu dan membentuk perasaan sayang berdasarkan sedikit persamaan yang kita perjuangkan. Maka, mungkinkah perpisahan ini berlaku kerana tiada lagi persamaan itu?

Persamaan sering menghubungkan manusia. Manusia sering berjuang di atas nama persamaan. Itu lumrah.

Terserempak dengan ini di Teluk Intan (2007)

Ada yang bersatu kerana masing-masing suka makan budu. Ada yang bersatu kerana minat terhadap hobi seperti memancing. Ada yang bersungguh-sungguh mempertahankan antara satu sama lain kerana minat mereka terhadap aktiviti demonstrasi. Ada pula yang sanggup datang dari Perlis ke Kuala Lumpur demi pertemuan geng-geng Proton Saga contohnya. Dan macam-macam lagi.

Lagi hebat, manusia mampu berkumpul sebanyak berjuta-juta orang dalam group Facebook kerana minat yang sama. Group 'kami suka kunyah ais bila air dah habis' pun ada! (saya pun suka kunyah kadang-kadang).





Paling menonjol, di sini kita juga bersatu kerana sifat ke'Malaysia'an kita, juga kerana ke'ParitBuntar'an kita atau ke'SMAPLabu'an kita, dan juga kerana 'loghat' kita masing-masing. Lihat di sekeliling, tidak akan pernah kita jumpa seseorang yang membina hubungan dengan kita tanpa persamaan. Semuanya pasti ada.

Apabila persamaan sudah tidak ada lagi, maka dari situlah titik perpisahan berlaku antara dua pihak. Interest masing-masing sudah berlainan. Kalau begini jadinya, persamaan perlu dicari kembali untuk membina semula hubungan itu.


"dan Dia yang mempersatukan hati mereka. Walaupun kamu menginfakkan semua yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka.  Sungguh Dia Maha Perkasa, Maha Bijaksana." (Al-Anfal : 63)

Atas pengalaman beginilah, kita seharusnya berdoa, supaya ikatan yang menyatukan hati-hati kita adalah ikatan yang berpaksikan suatu persamaan yang kekal dan benar, supaya apabila datangnya perbezaan sebesar tsunami sekalipun, kita masih bertemu dalam kecintaan.

Atas persamaan yang kekal ini, biarlah kita tercampak di bumi mana pun, biarlah kita tidak berhubungan atau bersua muka, ikatan roh yang mantap itu akan memupuk persamaan itu sehingga ia menjadi rindu dan cinta.

Persamaan yang kita cari, bukanlah kerana ikatan-ikatan tanah yang secara semulajadinya mengikat pokok. Kita tidak dapat memilih dari perut mana kita dilahirkan, dari warna apa kita kelihatan atau dari tahap mana otak kita mampu fikirkan. 

Oleh kerana kita mampu memilih dari persamaan apa yang kita inginkan dalam mengikat sesuatu hubungan itu, maka kita perlu berfikir dengan teliti serta merenung, apakah kemungkinan yang persamaan itu akan hilang dan hanyut bersama angan-angan dan cita-cita hubungan yang tidak kesampaian.

Hadis Muadz bin Anas Al-Jahni bahawa Rasulullah SAW bersabda:


Sesiapa sahaja yang memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, dan menikah kerana Allah, maka bererti ia telah sempurna imannya. (riwayat Al-Hakim).


Ya Allah, jadikanlah kami saling mencintai kerana keagungan-Mu, menuju-Mu, di atas jalan-Mu.
Ya Allah, jadikanlah kami orang yang disempurnakan imannya oleh-Mu. 
Sesungguhnya Engkaulah Pemilik segala kesempurnaan.


Kadang-kadang kita takut, jika kita jatuh ke dalam ikatan yang salah. Kita juga takut untuk membuat keputusan kerana ketakutan tadi. Takut di atas takut. 

Walaupun kita tahu, perbezaan yang bermakna juga memainkan peranan penting dalam mana-mana ikatan. Plain soup is boring. Perlu ada macam-macam bahan berbeza seperti ayam, sayur, garam, etc. untuk membentuk sup yang sempurna.

Mungkin ini hanya sindrom kiasu. Ketakutan akan hilang dengan adanya niat yang benar.

Semoga niat kita benar lalu kita saling mencintai kerana kebenaran.

p.s. -

2 comments:

spring_4_al-adawiyah said...

salam ukhti...
ana begitu tersentuh dengan coretan ini kerana sesungguhNya diri ini juga sedang bersahabat. Bersahabat yang niat dan cita-citanya diharapkan hanya kerana Allah...
Memang tidak dinafikan bahawa kerenggangan sering berlaku dalam bersahabat. Bila ini terjadi, persamaan yang sedikit itu seolah-olah telah kalah dengan perbezaan yang banyak dalam bersahabat. Ini hanya satu perkongsian pandangan; bila sahaja kita renggang dengan Pencipta kita, maka itulah saatnya kita renggang dengan ciptaanNya... Subhanallah, inilah hubungan yang sering ana cuba hayati dalam kehidupan bersahabat. "Hablu min Allah wa hablu min an-Naas"...
Renggang yang dimaksudkan bukan pada jasadiahnya, tapi pada ruhiyahnya yang akhirnya memberi kesan pada luaran...

wallahu a'lam...sekadar perkongsian..jzkk

Munashah said...

Salam ukhti di pulau borneo :-P

Sangat betul.
Jika tak jaga HabluminAllah, maka Habluminannas pun akan kena kesannya.

Jzkk ukhti Rabiah.