Thursday, 21 April 2011

Sama Seperti Di Atas


Kita ini telah terbeban dengan suatu perasaan sulit yang sukar difahami. Cinta. Malukah diri seseorang untuk mengakui cinta? Mengapa? Ah ini soalan yang sama berat - menindih-nindih jiwa.

Berikutan kad-kad walimah yang tiba bertalu-talu di musim cuti ini. Ditambah lagi dengan kad akhi kandung yang stylo bangat. Makcik-makcik mula sibuk bertanya-tanya kita ini - bila lagi? bila lagi? etc. etc. Kita ini pula terbawa-bawa fikiran dek makcik-makcik itu, juga terlihat di kiri kanan kita penuh dengan cinta, juga telah ditanya pada kita 'Apa pendapatmu tentang cinta?' Maka tidaklah dapat kita ini bersajak indah bagai Anna Althafunnisa itu. Kita hanya mampu bercerita kisah kita ini sahaja. Mahu didengar maka baca. Tidak mahu maka simpan saja.
 
Kita ditanya: Apakah itu cinta? Bagaimana perasaan cinta? Siapa yang dicintai?

Jawapan kita:
 
Apabila saya mula mencintai dia, saya seolah-olah ingin menjadi mata, telinga, tangan, hatinya. Ini kerana saya ingin melihat apa yang ia lihat, mendengar apa yang ia dengar, menyentuh apa yang ia sentuh, merasa apa yang ia rasa dan paling penting, saya ingin sentiasa ada di mana sahaja ia berada.
 
Pada awalnya, saya merasa suatu perasaan yang bercampur-baur. Tidak pasti apa, tetapi yang saya tahu ia suatu perasaan yang indah sekali. Pada mulanya, saya berasa sangsi akan perasaan saya ini, adakah saya berasa begini kerana terasa dicintai atau saya memang cinta kepadanya? Ah, pusing sekali!
 
Saya ingin menyukai apa yang ia suka. Saya ingin menyelami apa yang difikirkannya. Apabila ia dilanda masalah dan kesedihan, saya sedaya upaya ingin menyelesaikan segala persoalannya, walaupun saya tidak mampu berbuat apa-apa sebenarnya. Saya juga ingin melindunginya dari segala bahaya, walaupun saya bukanlah yang terkuat. Saya ingin menjadi peti suratnya, dimana segala masalahnya akan sampai kepada saya dahulu sebelum dia, demi kesanggupan memikul segala masalahnya.
 
Saya ingin mengambil segala kesedihannya menjadi milik saya. Saya ingin memberi segala kegembiraan saya  kepadanya.
 
Menyakiti dirinya  bermaksud sama sahaja seperti melukakan hati saya sendiri. Saya  berasa lebih sakit melihat ia dibenci orang lain. Saya terlalu mencintainya, lalu saya takut jika musibah/sengsara menimpanya. Setiap masa fikiran saya seolah-olah miliknya seorang.
 
Jadi, cinta itu bukanlah tentang sesuatu yang menyeronokkan sahaja. Demi cinta pelbagai kesulitan, kesengsaraan dan penghinaan yang akan dilalui. Banyak perkara yang perlu dikorbankan. Namun, saya pasti lakukannya kerana saya mencintai dia.

Saya ingin ia mengetahui segala apa yang saya tahu. Saya selalu ingin bercerita segala-galanya kepadanya. Namun, masa dan jarak sering membataskan. Jaraknya jauh dengan nilai beribu-ribu... Dunianya sudah lain sedikit daripada saya. Ini menyebabkan saya menjadi rindu kepadanya. Tapi rindu itu hanya mengukuhkan cinta. Semakin lama perasaan cinta yang dirasa semakin kuat walaupun dia tidak berada di depan mata.
 
Pernah sekali seseorang mengkhianatinya. Saya terus berasa marah dan benci  kepada orang yang terbabit walaupun saya langsung tidak mengenalinya. Orang begini adalah musuh saya. Jika ada yang mencari masalah dengan orang yang saya cinta atau bercakap buruk tentangnya, saya pasti akan mempertahankan.

Dan, saya juga mencemburuinya. Saya ingin ambil tahu apa yang ia lakukan. Saya ingin ia update saya selalu. Saya juga ingin jadi yang terbaik untuk dirinya, supaya ia boleh senang berada bersama dengan saya. Saya ingin ia sentiasa mencintai saya. Saya sangat gembira jika ia berkongsi segala susah-senangnya dengan saya, bermaksud - ia mempercayai saya.
 
Siapakah dia itu? 

Cinta itu sifatnya sama, walaupun destinasinya berbeza - sama ada kepada Allah, agama, Rasul, ibu bapa, sahabat, mad'u, memori, tempat, harta benda, nama etc. Boleh dikatakan, cinta itu: 'Sama seperti di atas'.



p.s. Dalam suku perjalanan ini, semakin banyak muhasabah yang perlu kita ini lakukan. Kerana cerita itu tidak ada melainkan semakin dalam dan memanjang.
p.s.s. Found this post in the draft list. Written on 13th Nov 2010.
p.s.s.s. Start from the heart to the actions. Allah. Allah. Allah.

1 comment:

miss said...

angguk seribu kali atas definisi cinta anda itu!!