Sunday, 27 March 2011

Aku Belajar Mencintai

Jauh di sudut hati, hati ini begitu merindui saat dan masa lalu, apabila kami duduk dengan naifnya dalam keadaan saling menghadap. Memandang diri kami pada ketika itu, begitu manis sekali perasaanya. Kami hanya modal semangat yang tinggi dan hati yang basah, bersedia untuk ditarbiyyah. Selebihnya, kami bukanlah orang-orang yang laju dan fokus pada urusan gerak kerja da'i.


Aku terbayang saat kita duduk dan saling menangis pada suatu liqa' selepas cuti semester, kerana sedih mengenangkan cuti 3 bulan masing-masing yang terlalu lama, membuatkan hati semua menjadi kering. Semua masih bersemangat. Betapa rindunya kita pada pengisian dan telah menjadi sunyi dengan 'kerehatan'.

Aku masih teringat saat semua menyatakan masalah masing-masing. Macam mana nak dapatkan keizinan ibu bapa untuk keluar pergi program masa cuti. Macam mana nak kuatkan hati apabila berhadapan dengan tohmahan dan perlian orang yang kita cinta setelah dia melihat kita semakin 'lain'. Macam mana nak kekalkan persahabatan dengan orang lain setelah kita terjumpa titik perbezaan dengan mereka.

Kemudian, apabila semua terasa sedih kerana 'tidak bergerak-gerak' dalam dakwah, semua ini tidak lain hanyalah kerana ingin menjadi hamba Allah yang terbaik, semua pun bertatih-tatih dalam dakwah. Belajar untuk tajmik tetapi tidak berjaya. Mula-mula putus asa tetapi kemudian berusaha lagi.


Dalam waktu lain, ketika kembali dalam liqa'-liqa' kita, kita masih lain sahabat yang saling mencintai kerana Allah.

Kini, aku melihat mereka telah menjadi orang yang berbeza. 
 
Mereka telah jauh lebih baik. Mereka telah menjadi orang-orang yang berjaya, juga laju dalam gerak kerja dakwah. Aku yang masih memandang mereka dengan pandangan yang sama, sedikit terharu dengan perubahan ini, ada sedikit cemburu dan rindu. Aku cemburu kerana aku rindukan mereka. Aku cemburu kerana aku tidak dapat bersama-sama mereka ketika mereka berlari dalam jalan ini.

Aku sangat terharu yang kita masih akan bersama-sama dalam jalan ini. Kita hanya bermula dengan modal-modal harta dan jiwa. Dengan segala pengalaman dan susah payah yang kita harungi bersama, aku sangat gembira melihat mereka telah berjaya.

Semoga kita tetap saling mencintai. Mereka tetap orang yang sama yang aku letakkan kepala di atas bahu dan riba mereka. Mereka tetap orang yang mencintai aku sebagai sahabat mereka.

Cinta kita telah semakin luas dan banyak. Kita memulakan cinta dalam liqa' yang kecil ini, hinggalah ia tersebar kepada ukhti-ukhti yang lain. Tidak lama lagi, cinta kita akan tersebar kepada seseorang yang 'bukan-ukht' pula. 

Aku sangat gembira dengan pertemuan ini. Kita telah jarang bertemu. Namun, bertemu dan berpisah kerana Allah itu sentiasa indah dan memberi kesan yang lebih lama dan lebih emosi dalam hati. Aku belajar mencintai kerana kalian.

Semoga Allah sentiasa mengasihi sahabat-sahabat yang aku cintai ini, Qalbi, Yamini, 'Aini, Yasari dan Ruhi.
 

Mode: Bercinta.

No comments: