Friday, 25 March 2011

Ada Untukku


Hari ini merupakan hari terakhir dalam minggu keempat mengikut jadual universiti. Sudah satu pertiga dari tempoh semester telah berlalu. Saya masih lagi tidak percaya yang masa berlalu dengan begitu cepat.


Akhirnya saya tahu mengapa saya sering merasa bahawa masa itu tidak pernah cukup. Perasaan itu hanya datang bermula semester ini. Adakah kerana saya dah berada di hujung talian bersama Monash? Tidak berapa detik lagi Monash akan meletakkan gagangnya dan menelefon anak kaya yang lain. Adakah juga kerana ter'saiko' dengan claim seniors, "Tahun akhir.... ish3 (geleng kepala)."

Bukan sebab itu.

Hanya orang sibuk yang ada masa lapang.

Saya selalu sebutkan itu. Jadi sejak sebelum semester lagi saya begitu tekad untuk lebih bersungguh-sungguh untuk semester ini. Agaknya, itu sebabnya dunia saya sekarang dah jadi macam dunia olahraga. Saya terkejar-kejar semuanya, semakin alert lalu lebih risau tentang masa.

Lama-lama, dunia belajar ini seolah-olah menarik saya ke dalam sebuah lubuk hitam yang penuh dengan buku. Duduklah di situ sorang-sorang untuk sepanjang hari. Dalam kelas pula, saya lebih banyak 'berbual sebagai classmate' daripada 'berbual sebagai kawan'.

Bila balik rumah, duduk terperuk dalam bilik juga. Menghadap benda sama yang dihadap di universiti tadi.

Saya tidak sedar perkara itu membuatkan saya menjadi sunyi. Secara tak langsung. Bukan tak berbual atau bersama-sama dengan sahabat-sahabat lain. Semuanya masih sama macam semester-semester lepas. Cuma fokus saya sudah terlalu tajam terhadap pelajaran sampai terlupa nak 'senyum'.

Kawan yang lalu tegur kenapa muka 'ketat'. Ha ha. Saya pun - eh ye ke? Lepas tu dan-dan nak adjust muka bagi comel sikit.

Akhirnya, minggu ini jadi minggu super-sensitive. Kurang kasih sayang berbanding kerjalah katakan. Datanglah syaitan menggoda-goda untuk saya meratapi apa-apa yang tak patut.

Dalam tergoda ada sedikit rasa marah kerana tergoda dengan taktik syaitan. Lepas tu sedih (sesetengah orang menangis apabila marah). Lepas tu psyco. Sepanjang waktu asyik ingat dia je. Astaghfirullah.

Tengok baju ingat dia. Kerana beli bersama-sama dia.
Tengok minyak wangi ingat dia. Kerana beli sama-sama.
Tengok barang-barang mesin ingat dia. Kerana selalu rujuk dia kalau ada masalah.
Tengok nasi ingat dia. Kerana rindu.
Tengok dompet ingat dia. Kerana dalam tu ada lesen. Berusaha bersama dia untuk lesen.
Tengok cermin ingat dia. Kerana wajah kami banyak persamaan.

Dalam tak sedar, tengok orang lain pun nampak dia. 

Angau.

Dulu, waktu mula-mula terpisah, saya cool. Tak meratap pun. Sekarang lebih-lebih pula rindu. Ingat kenangan-kenangan. Saya tidak mahu meratap seperti orang jahiliyyah. Daku doakan kebahagianmu di mana sahaja kamu berada. Daku menantikan pertemuan kita. Daku merindui. Daku mencintaimu - ayah.

Mujurlah Allah ada untuk memberi hikmah dan penyelesaian. Penawar.

Lepas dah rasa lebih lapang daripada hal kerja semalam, seolah-olah berdesing satu suara dalam kepala yang berbunyi, 'Faiza faroghta fansob. Waila Robbika farghob.' 

Sekarang, sedang penuh dengan rasa cinta. Mujurlah Allah sentiasa ada untukku.

Ayah dan kami tiga beradik, lepas memborong durian.
Waktu kecil, tiap-tiap minggu ikut ayah pergi berniaga di pasar malam.
Baru tersedar saya pernah senyum betul-betul sama macam tu juga.

No comments: