Sunday, 27 February 2011

Yang Pentingkan Diri Sendiri


Segala puji bagi Allah yang mengeluarkan siang dari malam dan memberi petunjuk.

Mencintai-Mu tak mengenal waktu,
Tak mengenal puitis,
Hanya tulusnya hati,
Mencintai-Mu tak mengenal ragu,
Keyakinan hatiku hanya untuk diri-Mu,
Selalu.

Adalah menjadi suatu kepastian bagi setiap manusia di atas muka bumi ini untuk mencari cintanya yang sejati. Allah telah mencampakkan fitrah yang sangat indah ini dalam makhluk-Nya, ditambah pula dengan kelebihan akal manusia untuk mengkaji, menghayati, mengulangi bibit-bibit cinta itu.

Untuk bertahun-tahun, saya mencari cinta yang sejati ini di semua kawasan yang saya lalui. Saya telah menemui beberapa daripadanya yang dirasakan sejati. Namun, ada yang kurang sejati malah tidak sempurna. Saya sering bertanya kepada Tuhan, fitrah di dalam diriku ini begitu meyakinkan akan kewujudan cinta sejati, tetapi siapakah ia?
 
Who next? Your mother. Who next? Your mother. And then your faaaaaaather.
 
Pencarian cinta sejati ini mampu membuatkan semua manusia menjadi begitu pentingkan diri sendiri. Suami isteri yang bergaduh adalah kerana salah satu kemahuannya tidak dilengkapkan. Itu untuk diri sendiri. Seseorang berebut-rebut di kaunter tiket bas untuk dapat pulang ke rumah, supaya dapat menziarahi ibu bapa, supaya dengannya ibu bapa redha, lalu ia berasa tenang dan bahagia. Ini adalah untuk kebaikan diri sendiri. Yang berada di baris hadapan mestilah mereka yang telah berusaha awal untuk kejayaan yang ia inginkan. Juga untuk diri sendiri. Allah telah berfirman, "Fastabiqul khairat" yang bermaksud, "Berlumba-lumbalah dalam membuat kebaikan."

Malah, itsar di dalam ibadah adalah dibenci.

الإِيْثَارُفِي الْقُرَبِ مَكْرُوْهٌ، وَ فِي غَيْرِهاَ مَحْبُوْبٌ

Yang bermaksud: Mendahulukan orang lain dalam masalah ibadah, dibenci. Namun dalam masalah lainnya, disukai. 

Umar ra. sentiasa berusaha mendahului Abu Bakar ra. dalam bersedekah dan ibadah lain. Tidak boleh mengutamakan orang lain dalam soal ibadah kita. Mesti berebut-rebut untuk mendapat tempat dalam saf hadapan, sama ada saf solat atau saf perjuangan. Di sini, Allah telah menekankan bahawa manusia mesti berusaha untuk diri sendiri. Pahala untuk diri sendiri. Jadi, memang patutlah manusia itu mementingkan diri sendiri.

Bak kata orang Melayu bila ditegur akan kesalahan: "Kubur lain-lain, bro." :-)
 
Tetapi yang anehnya, tahap kepentingan diri seorang mukmin itu begitu tinggi, kerana ia 'aim' akan kepentingan akhirat. Ia ingin berada di tahap tertinggi. Ingin ingin berada di kalangan abid yang pertama-tama dapat melihat wajah Allah. Ia begitu mementingkan diri sendiri sehingga ia sanggup berlapar kerana ingin mengenyangkan 'akh/ukht'nya. Ia  begitu mementingkan diri sehingga ia sanggup mengorbankan jiwa, harta dan masanya demi keluar menyeru manusia kepada Allah. Ia begitu 'selfish' sehingga sanggup terjun ke dalam lumpur jahiliyyah yang kotor dan busuk demi menarik keluar manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada penyembahan Allah semata-mata.

Abu Bakar ra. begitu pentingkan diri sendiri sehingga sanggup membiarkan dirinya dilukai binatang berbisa demi melindungi Rasulullah s.a.w ketika di dalam gua tsur. Khadijah ra. memang pentingkan diri sendiri sehingga ia sanggup memberikan semua hartanya ketika umat islam dipulau dan dihalau ke lembah bukit selama tiga tahun.

Al-Bara' begitu mementingkan diri sendiri sehingga sanggup mencampakkan dirinya di dalam kota musuh demi mencari jalan membuka pintu kota itu lalu ia gugur syahid. Hanzalah ra. juga tidak terlepas daripada mementingkan dirinya apabila ia bangkit menyeru seruan jihad dan tegar meninggalkan isterinya pada malam perkahwinannya lalu akhirnya ia juga gugur syahid.



Abu Dzar ra. begitu mementingkan diri sehingga ia tidak mahu mengangkat wajahnya dari tanah sehingga Bilal ra. memijak wajahnya semata-mata kerana ia sesal akan kelancangan lidahnya yang menghina bekas hamba  yang mulia itu.

Matlamat seorang mukmin itu begitu tinggi, sehingga ia sanggup berkorban apa sahaja demi kepentingan matlamatnya itu. Ia begitu obses akan kehendak dirinya untuk menggapai cinta sejati itu, kerana ia tahu:

Di dalam al-Quran, Allah begitu menitikberatkan cinta-Nya kepada hamba dan cinta hamba kepada-Nya. (Cth: ”Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertakwa.” (At-Taubah : 7) dan ”Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan mencintai orang-orang yang mensucikan diri.” (Al-Baqarah : 222))

Juga yang di sini sangat bermanfaat.

Jalan keselamatan adalah cinta Allah. Bahkan cinta sejati itu adalah cinta Allah. Semua orang juga begitu mementingkan diri sendiri demi mencapai cinta sejati itu. Jadi apa sahaja yang ilaLlah (menuju Allah), maka ia rebutkan, termasuklah mendahulukan Allah dari yang selain-Nya, mencintai/mencontohi kekasih Allah, mencintai dan mentaati suami/ibubapa, mencintai saudaranya (lalu itsar), melaksanakan amar ma'ruf nahi mungkar, berkorban dan sebagainya.
 
Aim - anak tangga pertama dalam menuju jalan Allah.

Di dalam dunia ini, tidak ada yang tidak mementingkan diri sendiri. Yang membezakan di antara manusia ialah di mana martabat sifat itu ia letakkan. Kepentingan sementara dan duniawi semata-mata, atau yang selamanya kekal di akhirat kelak. ilaLlah atau li dunia yusibuha? (Hadith 1)

Cinta ini, mengatasi segala-galanya... Kemudian katakan: "Malangnya....  (sambil melihat kepada diri sendiri)." Dan sambung ayat mengikut muhasabah sendiri-sendiri. Nafsi-nafsi.

Ya Allah, sesungguhnya kemudahan dan kesulitan itu adalah milik-Mu. Permudahkanlah urusan kami dalam menjalankan ketaatan kepada-Mu...

p/s: Sudahkah kita mengingati Allah pada hari ini?

2 comments:

SyaPhoenix said...

best. sgt bermanfaat!!!! :)

Munashah said...

Alhamdulillah...